PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Saturday, February 7, 2009

Kenapa Zionisme muncul dalam fikrah Melayu?

Sewaktu saya menulis artikel ini, Kuala Terengganu telah jatuh ke tangan Pakatan Rakyat. Ketika saya menulis, warga Palestin di Gaza masih lagi digodam. Ketika saya menulis, masih ramai lagi warganegara kita ini kurang faham tentang apakah itu Zionisme.

Zionisme ini satu pandangan politik. Zionisme bukan orang Yahudi tetapi pengasas Zionisme memang seorang Yahudi. Hari ini Zionisme bukan lagi milik eksklusif orang Yahudi. Zionisme yang wujud dan sedang menggodam rakyat Palestin ini majoritinya didukung hebat oleh individu dan kumpulan yang bukan Yahudi.

Agama Yahudi ialah Judaism. Kitab suci agama ini adalah Torah. Rumah sembahyang penganut agama ini dipanggil synagogue. Kepala agama mereka dipanggil rabbai. Maklumat ini mungkin semua telah diketahui umum.

Wajib juga diketahui bahawa ramai orang Yahudi sendiri yang menentang Zionisme. Di Isreal sendiri ada kumpulan penganut Judaisme yang menentang keras fahaman Zionisme. Mereka menolak masuknya fahaman Zionisme ini ke Palestin.

Untuk kumpulan ini, mereka percaya bahawa fahaman atau ideologi Zionisme telah membawa porak-peranda dan kesengsaraan terhadap orang-orang Yahudi di seluruh dunia dan juga kesengsaraan yang tidak terhingga kepada warga Palestin.

Kumpulan ini bernama Neturei Karta – mereka ini pada 2006 telah datang ke Iran atas jemputan Ahmadinejad, presiden Iran. Neturei Karta bersama rakyat dunia telah mengutuk negara yang dipanggil Israel.

Neturei Karta adalah kumpulan Yahudi yang menyokong perjuangan adil rakyat Palestin. Mereka juga menentang Zionisme bermatian-matian.

Perkembangan ini menjadi satu bukti bahawa Zionisme bukan ajaran Judaisme. Zionisme adalah falsafah yang menggunakan agama sebagai jubah untuk mengabui mata penganut agama Judaisme.

Ramai pemikir dan intelektual Yahudi yang unggul dalam ilmu pengetahuan dan falsafah juga menentang fahaman Zionisme. Noam Chomsky seorang daripada mereka. Susuk intelektual ini adalah suara Yahudi yang paling lantang menentang keganasan Israel.

Albert Einstein ahli sains yang menemui teori e=mc2 seorang lagi Yahudi yang anti-Zionisme.

Di Israel sendiri, ramai orang Yahudi-Israel yang menentang fahaman tersebut. Mordechai Vanunu adalah contoh terbaik warga Isreal yang menentang Zionisme.

Susuk ini telah membocorkan kepada dunia tentang senjata nuklear Israel yang kini tersimpan secara rashia di padang pasir Negev. Vanunu diperangkap dan diculik dari London untuk dibawa pulang ke Israel.

Kerana membocorkan rashia 'bom nukelar' Israel dan memberi amaran kepada dunia tentang bahayanya Zionisme, Vanunu telah dipenjara selama 20 tahun sejak 1986. Selama 18 tahun Vanunu dikurung bersendirian. Apabila dibebaskan, Vanunu terus ditahan lagi. Hingga ke hari ini Vanunu tidak boleh keluar meninggalkan Israel.

Pada ketika saya menulis ini, berpuluh-puluh anak muda Israel yang sedang dipenjara kerana tidak mahu mengangkat senjata membunuh warga Arab Palestin. Juga terdapat beratus-ratus anak muda dan warga Israel telah lari meninggalkan negara itu kerana menentang perang dan keganasan daulah Israel.

Semua ini bukti bahawa bukan semua Yahudi itu Zionis. Bukan semua Yahudi menyokong Israel.

Saya mengulangi ini kerana saya perhatikan terlalu ramai warga Malaysia menganggap konflik Palestin-Israel sebagai konflik agama, terutama di kalangan Melayu. Pandangan ini salah. Konflik di Palestin bukan konflik agama. Konflik ini konflik hak milik bumi tanah Palestin. Ia lahir kerana bumi Palestin telah dirampas oleh penganut fahaman Zionisme untuk mendirikan apa yang kini dipanggil Israel.

Konflik di Gaza, Tebing Barat, Jenin, Hebron – umumnya konflik Arab-Israel – bukan konflik antara penganut Islam dengan penganut Yahudi.

Wajib diketahui ada hampir 10 peratus warga Palestin beragama Kristian. Hanan Ashrawi perempuan yang pada 1980-an sering kita dengar namanya kerana memulakan rundingan damai Palestin-Israel ialah seorang Kristian. Edward Said intelektual bertaraf dunia itu seorang Kristian.

George Habaash pemimpin Popular Front for Liberation of Palestine beragama Kristian. Kristian di Palestin adalah Kristian yang berasal-usul dari susur galur pengikut Isa kerana nabi itu dilahirkan di Nazareth, Palestin.

Betul, agama dilihat memainkan peranan penting tetapi yang diperjuangkan ialah menuntut kembali bumi Palestin yang telah dirompak dan dirampas oleh penganut Zionisme. Tanah air Palestin yang telah dirampas ini melahirkan nasionalisme Palestin.
Semangat nasionalisme inilah yang membolehkan rakyat Palestin terus berjuang bermati-matian menentang bala tentera yang terbesar di Timur Tengah.

Kita wajib memahami dengan lebih mendalam tentang apa itu Zionisme. Fahaman ini percaya kepada satu bangsa – Yahudi. Hanya bangsa Yahudi sahaja yang terpilih. Yahudi sahaja yang ada hak keistemewaan di Israel.

Bangsa-bangsa lain diangggap bangsa kelas kedua. Agama orang lain salah. Kitab suci agama mereka sahaja yang betul. Kitab suci agama lain dianggap menyeleweng. Hanya agama mereka sahaja yang dipilih oleh Yang Maha Esa. Justeru, di sini jelas bahawa Zionisme ialah satu fahaman rasis.

Apa yang kita lihat di Gaza dan Tebing Barat hari ini adalah manifestasi daripada fahaman ini. Keganasan yang wujud di Palestin adalah hasil daripada falsafah rasis Zionisme. Merompak tanah-tanah warga Palestin, menghalau mereka keluar dari tanah air mereka juga manifestasi dari fahaman rasis ini.

Kita dikatakan hanya dapat memberikan bantuan ubatan-ubatan, wang ringgit, makanan atau menerima warga Palestin datang ke negara kita untuk belajar atau menetap. Semua ini betul. Semua ini amat-amat dihargai. Semua ini adalah kerja baik yang wajib diteruskan.

Tetapi saya menolak pandangan yang mengatakan bahawa kita tidak dapat membuat apa-apa lagi untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin. Pasti ada lebih daripada ini yang dapat kita sama-sama lakukan.

Pada hari ini bukan susah untuk kita memahami bahawa pendukung unggul fahaman Zionisme dan Israel ialah Amerika Syarikat. Ini bukan kerana adanya Yahudi di New York atau California. Zionisme wujud kukuh di Amerika kerana kepentingan ekonomi Amerika pada ketika ini berjalan selari dengan kepentingan Zionisme dan Israel.

Bukan sahaja Zionis Israel mendapat sokongan kuat dari Amerika, malah Kesatuan Eropah – Perancis, Jerman, Itali – semuanya menyokong Israel. Ini bukan kerana mereka cintakan Yahudi atau benci kepada Palestin – TIDAK. Mereka menyokong Israel kerana kepentingan ekonomi mereka.

Ekonomilah yang menjadi asas kepada fahaman Zionisme ini. Pemodal–pemodal global melihat bahawa Zionisme dapat membantu mereka meneruskan dan mengembangkan modal mereka. Kaum pemodal antarabangsa melihat fahaman Zionisme ini sedang memberikan keuntungan melimpah ruah.

Industri persenjataan dunia bergantung kepada perang. Dengan wujudnya perang atau konflik yang berkemungkinan membawa perang adalah cuaca dan suasana yang amat baik untuk pembuat dan peniaga senjata antarabangsa.

Israel yang sedang memporakperandakan Timur Tengah adalah pemangkin perang.

Lihat bagaimana Amerika menjual dan membekal senjata kepada Isreal - ia menakut-nakutkan negara-negara Arab. Suasana takut ini memberi peluang kepada Amerika untuk menjual senjata kepada Mesir, Jordan dan Arab Saudi.

Negara-negara ini tidak ada bezanya dengan Zionis Israel. Mereka tidak berani secara terbuka menyatakan sokongan kepada Israel – takut kepada rakyat mereka sendiri. Tetapi perangai dan tingkah laku terhadap warga mereka tidak jauh berbeza daripada apa yang sedang dilakukan oleh Israel terhadap warga Palestin.

Apabila kita telah memahami semua ini, saya rasa kita akan dapat melakuan lebih daripada apa yang sedang kita lakukan hari ini. Ada satu perkara yang dapat kita lakukan bersama yang pasti akan memberikan tamparan maut kepada Zionisme. Pekara ini ialah menentang sifat dan fahaman Zionisme di mana sahaja ia muncul dan bertapak.

Zionisme pada ketika ini bukan lagi bergerak di Israel atau di Palestin sahaja. Zionisme telah menjadi fahaman yang meluas dan telah melintasi sempadan Israel. Jika sesiapa memiliki ciri-ciri fahaman rasis yang telah dinyatakan tadi bermakna mereka juga pendukung Zionisme. Zionisme ialah kezaliman.

Di sini ingin saya nyatakan bahawa kita tidak perlu ke Palestin untuk menentang kezaliman. Apa yang perlu kita lakukan ialah menentang kezaliman dan kejahatan di mana sahaja ia berada, termasuk dalam negara kita sendiri. Zionisme tidak memiliki sempadan.

Tetapi, saya agak kecewa apabila melihat orang Melayu berlumba-lumba bangun menentang Isreal yang zalim. Mereka bertempik marah apabila rumah diruntuhkan di Hebron. Tetapi mereka tidak bersuara apabila rumah diruntuhkan di Kampong Berembang atau di Plentong atau di Chubadak.

Orang Melayu marah apabila masjid diroboh di Jenin tetapi orang Melayu tidak marah apabila melihat gereja Orang Asli diruntuhkan di Gua Musang.

Orang Melayu keluar berdemonstrasi kerana tanah rakyat Palestin dirampas tetapi mereka tidak pula bersuara apabila tanah-tanah Orang Penan dirampas. Mereka tidak pula bersuara apabila tanah adat di Sarawak satu demi satu dirampas oleh pemodal antarabangsa.

Hairan. Di mana silapnya fikrah Melayu ini? Kenapa bangsa Melayu memiliki nilai yang setengah jalan? Di mana akal fikrah mereka terputus?

Kalau di Palestin mereka yakin rakyat di sana sedang dizalami, kenapa apabila orang Penan dizalimi hati mereka tidak tergerak untuk membantu?

Apakah mereka tidak memahami bahawa kezaliman dan kejahatan itu tidak berbangsa dan tidak beragama? Kebaikan dan keadilan juga tidak berbangsa dan beragama.

Orang Melayu tidak dapat menerima Ketuanan Yahudi tetapi bagaimana orang Melayu yang sama dapat pula menerima Ketuanan Melayu? Di mana songsangnya fikrah Melayu ini? Apakah mereka telah terputus nilai kemanusiaannya?

Justeru sesudah membaca tulisan ini, marilah kita bersama-sama meneliti dan menilai kembali nilai Melayu kita. Apakah kita benar-benar faham tentang kezaliman dan keadilan.

Atau kita hanya menjadi pak turut – ber-Gaza ke hulu ber-Gaza ke hilir. Orang bercakap hal Gaza, maka kita pun bercakap hal Gaza tanpa kita melihat ke dalam hati nurani kita sendiri.

* Sumber dari www.malaysiakini.com

No comments: