PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Monday, April 6, 2009

Allah sentiasa mendengar doa kita..

Perasan atau tidak, manusia selalu menjauhkan diri daripada Allah SWT. Sikap dan akhlak manusia terhadap Allah SWT menyebabkan manusia hilang pedoman, rasa terpencil dan tiada tempat meluahkan rintihannya. Sedangkan tempat untuk mengadu dan merintih senantiasa terbuka di sisi Allah SWT. Kadang-kala seseorang itu rela ke sana-sini memohon bantuan dalam urusannya dari makhluk sehingga terlupa untuk memohon bantuan dan bertawakkal kepada Allah SWT. Bersusah payah manusia berjumpa orang lain demi mengadu rasa hati dan derita sehingga dia lupa untuk mengadu kepada Allah SWT yang sentiasa mendengar rintihan hamba dengan penuh rahmat.

Ini semua kerana manusia merasakan Allah SWT itu jauh darinya dan dia lupa akan firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya engkau (Wahai Muhammmad) tentangKu, (maka jawablah) sesungguhnya Aku ini hampir, Aku menjawab seruan sesiapa yang berdo'a kepadaKu apabila dia berdo'a. Maka hendaklah dia menyahut seruan (menunaikan perintahKu) dan beriman kepadaKu mudah-mudah mereka selalu berada di atas petunjuk"
- Surah al-Baqarah ayat 186.


http://i50.photobucket.com/albums/f307/setanggisyurga/berdoa.jpg


Sesiapa yang hatinya bersih akan menangislah dia apabila membaca ayat di atas. Betapa Allah SWT dengan penuh kasih sayang meminta kepada RasulNya agar memberitahu bahawa Dia sangat hampir kapada mereka serta mendengar do'a dan rintihan mereka.

Sabda Nabi SAW kepada Ibnu 'Abbas ketika itu dia masih kecil yang bermaksud:

"Wahai anak kecil! Sesungguhnya aku ingin mengajarmu beberapa kalimat, iaitu, jagalah Allah (jagalah perintahNya) nescaya Allah menjagamu. Jagalah Allah (jaga perintahNya) nescaya engkau dapati Dia berada di hadapanmu (menunaikan keperluanmu). Apabila engkau memohon pohonlah daripada Allah. Apabila engkau meminta pertolongan minta tolonglah daripada Allah." -HR al-Tirmizi.

Mafhum firman Allah SWT: "Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdo'alah kepadaKu nescaya Aku menjawab untuk kamu" - Surah al-Ghafir ayat 60.

Al-Imam al-Qurtubi dalam al-Jami' li Ahkam al-Quran menyatakan bahawa perkataan ajib dan astajib (aku memperkenankan do'a) bukanlah bererti semestinya setiap do'a itu ditunaikan secara mutlak atau terperinci seperti yang dipohon. Bahkan do'a seseorang mungkin dimakbulkan melalui salah satu dari tiga cara seperti yang disebutkan oleh baginda Nabi SAW dalam hadith Abi Sa'id al-Khudri di bawah. Maksudnya:

"Tidak ada seorang muslim pun yang berdo'a dengan sesuatu do'a yang tidak ada di dalamnya dosa atau memutuskan kekeluargaan, melainkan Allah akan beri salah satu dari 3 perkara; sama ada disegerakan untuknya (dimakbulkan di dunia), ataupun disimpan untuknya pada hari akhirat (diberi balasan baik pada akhirat), ataupun diselamat dia dari keburukan yang seumpamanya."

Menerusi hadith di atas, baginda Nabi SAW telah menerangkan kepada kita bahawa setiap do'a yang tidak mempunyai sebab-sebab ditolak akan pasti diterima oleh Allah SWT menerusi tiga keadaan berikut;

Pertama: Dimakbulkan segara di dunia. Inilah yang biasanya menjadi harapan setiap yang berdo'a. Ramai di kalangan insan yang memperolehi kurniaan. Hasil kesungguhan mereka berdo'a, Allah SWT makbulkan buat mereka. Kadang-kala dengan begitu pantas. Kadang-kalanya dilewat disebabkan hikmah yang Allah Maha Mengetahui. Tiada yang mustahil untuk Allah SWT menerima do'a seseorang sekali dianggap mustahil oleh manusia.

Kedua: Tidak dilihat kemaqbulannya di dunia tetapi disimpan untuk balasan kebaikan yang besar di akhirat di atas hikmah yang hanya dihendaki oleh Allah SWT. Kalau ini berlaku hendaklah kita fahami bahawa ianya adalah pilihan terbaik daripada Allah SWT untuk kita. Akhirat adalah kehidupan yang hakiki, kebaikan di sana tidak ada tukar ganti dengan dunia yang sementara. Allah SWT tidak memaqbulkan sesuatu do'a secara mutlak di dunia kerana Allah Maha Mengetahui segala rahsia kehidupan alam, baik atau buruk di sebalik sesuatu perkara yang kita pohon. Akal kita kadang-kala tidak mampu menjangkau hakikat sesuatu.

Ketiga: Do'a diganti dengan keselamatan diri dari keburukan yang akan mengenainya. Hasilnya, betapa banyak keburukan yang insan terselamat darinya dengan rahmat Allah SWT yang barangkali datang hasil dari do'a-do'a kita yang berbagai kepada Allah SWT.

Terdapat banyak lagi dalil yang menggambarkan begitu besarnya kelebihan berdo'a. Ini kerana do'a adalah perlambangan tunduk serta rasa hina diri dan berhajatnya manusia kepada pertolongan Allah SWT yang Maha Berkuasa.



Oleh itu berdo'alah kita kepadaNya dan jangan berputus asa dari rahmatnya.

-ibnumustafa-

No comments: