PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Saturday, February 19, 2011

Hiburan: Apakah boleh atau tidak?

Malam itu di pinggir kota Makkah dua orang pemuda sedang berbincang, “Tolong jaga kambing-kambingku, aku ingin pergi ke kota untuk menyertai para pemuda di sana,” pinta salah seorang pemuda itu. “Baiklah, aku akan menjaga kambing-kambingmu,” jawab temannya.

Lalu pergilah pemuda itu ke kota Makkah. Setibanya di sana, dia terus menuju ke sebuah rumah yang sedang mengadakan pesta. Pemuda tersebut turut serta dalam pesta tersebut. Tetapi apa yang terjadi??? Baru sahaja dia duduk di tengah-tengah keramaian, tiba-tiba dia rasa mengantuk lalu tertidur dengan nyenyaknya, dan hanya terjaga apabila matahari telah tinggi keesokan harinya.

Pemuda itu tidak berputus asa, sekali lagi dia meminta bantuan temannya untuk menjaga kambing-kambingnya. Pada malam harinya, pemuda itu datang lagi. Dia begitu ingin menyaksikan pesta dan hiburan yang berlangsung pada waktu malam di kota Makkah ketika itu. Setibanya di sana sekali lagi dia tertidur di tengah pesta keramaian tersebut. Sejak itu dia bertekad tidak lagi mencari hiburan dengan gaya jahiliah seperti itu.

Siapakah pemuda itu? Tidak lain dan tidak bukan dialah Muhammad S.A.W. Seorang pemuda calon pemimpin umat. Dia kemudiannya diangkat menjadi Rasul (utusan) Allah yang membawa rahmat ke sekalian alam. Dia telah mendapat jaminan Allah dan Allah telah memelihara hati, mata, telinga dan pemikirannya daripada segala sesuatu yang merosakkan.

Hiburan, walau apapun bentuknya dan bagaimanapun caranya juga, akan menyentak-nyentak hati dan keinginan manusia untuk mendatanginya. Nabi Muhammad S.A.W ketika zaman mudanya juga tidak terkecuali dari rontaan hati untuk turut menyaksikan hiburan. Namun Allah S.W.T melindungi dan menjaga Baginda S.A.W daripada pelbagai bentuk kerosakan.

Hiburan, walau bagaimanapun jua kita harus akui, ia merupakan unsur yang akan meracuni hati, pemikiran dan perasaan. Terlalu banyak racun yang disebarkan melalui hiburan filem, muzik dan tarian. Hiburan bagaikan gula, rasanya manis namun ia akan menimbulkan mudharat malah boleh merosakkan seluruh organ manusia apabila ia tidak dikawal atau diambil secara berlebihan. Begitu juga hiburan yang tidak dijiwai dan dibingkai dengan nilai-nilai Islam sejagat akan menjadi racun dalam setiap diri individu, perlahan tetapi mengganas. Hiburan menyebarkan kebencian terhadap nilai-nilai mulia Islam. Ia merosakkan nilai-nilai mulia tatasusila, moral dan adab kesopanan. Akhirnya matilah roh dan jiwa seorang beriman apabila hiburan diserap berlebihan dan hiburan itu pula bukan berlandaskan Islam. Banyak bukti boleh dipamerkan untuk menunjukkan keadaan ini berlaku.

Pelbagai filem samada dari Barat, India malah negara Islam sendiri tidak menunjukkan nilai yang baik. Malah Islam diperkecilkan, disalah tafsirkan atau penafsiran yang sama sekali tidak bertepatan dengan nilai sebenar. Bukan itu sahaja, yang ditonjolkan hanyalah unsur-unsur nafsu syahwat, adegan-adegan lucah dan keganasan. Tidak ketinggalan juga dalam dunia nyanyian. Amat menyedihkan lagi apabila hiburan untuk kanak-kanak juga penuh dengan unsur keganasan, kerosakan malah diselitkan unsur seks. Kesimpulannya, terlalu sedikit kebaikan yang dapat dipetik daripada hiburan. Terlalu menakutkan apabila hampir semua adegan hiburan menuju ke arah kerosakan akhlak, nilai dan yang lebih dahsyat menyebarkan persepsi buruk terhadap Islam.

Banyak hiburan seakan-akan mahu memberi madu kepada kita, tetapi hakikatnya ia merupakan racun berbisa yang membinasakan dunia dan akhirat kita. Tetapi apa hendak dikata, racun itu sering kali terlalu manis untuk tidak diteguk sehingga ramai manusia yang tidak sedar, sebaliknya membela dan mendorong orang lain untuk terus meneguknya.

Allah S.W.T secara langsung melindungi dan memelihara calon Rasul-Nya daripada segala bentuk hiburan yang merosakkan. Lalu siapakah yang akan melindungi kita, keluarga kita, dan masyarakat kita daripada hiburan-hiburan seperti itu?

Tiada siapa yang boleh kita harapkan kecuali kepada Allah S.W.T kita mohon perlindungan. Hanya pada Dia satu-satunya tempat kita bergantung. Dia akan melindungi mata, telinga, hati dan fikiran kita daripada virus hiburan yang sangat merbahaya. Tetapi, harapan ini jangan dibiarkan tinggal harapan. Ia mestilah disertai dengan usaha. Usaha serta tugas pertama dan utama yang mesti kita lakukan adalah meningkatkan sensitiviti kita, keluarga dan masyarakat kita terhadap nilai-nilai Islam. Langkahnya dengan kembali menghidupkan hati-hati kita dengan Al-Quran dan Sunnah Rasul S.A.W. Allah SWT berfirman:

Dan apakah orang yang telah mati dan kemudian dia Kami hidupkan dan Kami berikan cahaya yang terang yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia serupa dengan orang-orang yang berada di dalam kegelapan yang sekali-kali tidak dapat keluar daripadanya? Demikianlah Kami jadikan orang kafir itu memandang baik apa yang mereka kerjakan”. - Surah Al-An’aam; ayat 122.

-ibnumustafa-

No comments: