PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Thursday, August 4, 2011

Adab Berpuasa Dan Solat Sunat Tarawih

Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut. Antara yang terpenting adalah:

1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengannya;

2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syarak dan yang sia-sia;

3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.

Ulama' silam pernah berpesan:

“Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka?”

Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri daripada terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal;

4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah SAW:

“Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga.” - Hadith Riwayat an-Nasaei.

Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam sama ada mereka sedang berpuasa atau tidak. Apatah lagi bagi yang berpuasa, ia lebih dituntut dan diwajibkan. Sabda Rasulullah S.A.W, Puasa itu adalah ‘perisai', sekiranya seseorang daripada kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakan kepada orang itu: “Saya sedang berpuasa.” - Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.

5. Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai;

6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. Penggemblengan diri dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadhan.

Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan iblis L.A. Rayuannya bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan daripada Allah S.W.T, kekhusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir kepada-Nya.

Kenyang

Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas untuk taat kepada Allah S.W.T. Sabda Rasulullah S.A.W yg bermaksud;

“Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya.” - Hadith Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi.

Terdapat ulama' yang mengungkapkan kata-kata berikut:

“Sekiranya perutmu kenyang anggota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang.”

As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat pada bulan Ramadan secara khusus bahkan itulah adat mereka sepanjang masa;

7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadhan, bahkan mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah S.W.T dan mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru, dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhirat;

8. Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.

Nabi S.A.W berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib. Sabda baginda S.A.W:

“Umatku sentiasa berada dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur.” - Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.

9. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda baginda S.A.W:

“Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa).” - Hadith Riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah.

10. Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat tarawih, witir dan sebagainya.

Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat tarawihnya seperti mana amalan kebiasaan di masjid dan surau.

Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadat solat tersebut kerana meninggalkan ‘wajib-wajib' solat seperti meninggalkan tomakninah semasa rukuk dan sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin kecepatan dalam mengejar waktu sehingga menyebabkan makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya. Amalan tarawih seperti itu adalah tidak sempurna dan berkurangan pahalanya.

Oleh itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan ibadah solat seperti waktu-waktu lain, menyempurnakan kiam, bacaan al-Fatihah, rukuk, sujud, khusyuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya.

Bagi ma'mum pula disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya sepanjang solat tarawih itu sehinggalah selesai sama ada 20 rakaat ataupun 8 rakaat. Sabda Rasulullah S.A.W;

“Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (ma'mum) pahala qiam semalaman.” - Hadith Riwayat an-Nasaei.

-ibnumustafa-

Wednesday, August 3, 2011

Adab Berbuka Puasa Menurut Sunnah Rasulullah S.A.W

Adab-adab berhubung ibadat mestilah merujuk kepada ajaran yang ditunjuk oleh Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W, iaitu Al-Quran dan Sunnah. Ada sebahagian pihak yang cenderung mencipta adab-adab ibadah tanpa merujuk kepada dua sumber agung itu, misalnya dakwaan yang menyatakan makruh mandi terlalu kerap, atau mandi pada hampir waktu berbuka kerana ia boleh mengurangkan keletihan dan sekali gus menghilangkan kelebihan puasa.

Sedangkan di dalam hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud di dalam sunannya, Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan:

“Telah berkata sahabat yang menceritakan kepadaku: Aku melihat Rasulullah S.A.W di al-'Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda S.A.W ketika Baginda S.A.W berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”


Dengan itu Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) menyatakan:


“Tidak mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kepalanya (ketika puasa) disebabkan panas atau dahaga kerana diriwayatkan oleh sebah
agian sahabat bahawa mereka melihat Rasulullah S.A.W di al-'Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda S.A.W ketika Baginda S.A.W berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”

(Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, 2/18, cetakan Dar al-Fikr, Beirut).

Yang penting di dalam bulan Ramadhan ini adalah adab-adab yang kita kaitkan dengan ibadah puasa mestilah mempunyai asas yang boleh dipegang, iaitu al-Quran atau sunnah. Antara adab-adab berbuka puasa yang dinyatakan di dalam hadith:

1. Membaca doa yang thabit daripada Nabi S.A.W.

Ibn ‘Umar RA berkata:

“
Apabila berbuka puasa, Nabi SAW akan membaca: Hilanglah segala kehausan, segala urat-urat telah basah dan semoga tetaplah beroleh pahala. (Dzahabaz zhoma u wabtallatil ‘uruuqu wa thabatal ajru insyaallah)” – Hadith Riwayat Abu Dawud.

Abdullah Ibn ‘Umar R.A berkata:

“Apabila berbuka puasa bacalah: Ya Allah! sesungguhnya aku memohon rahmat-Mu yang meliputi segala sesuatu agar Engkau mengampunkan aku. (Allahumma inni as aluka birahmatikal lati wasi’ta kulla syai inan taghfirali)” - Hadith Riwayat Ibn Majah.

Di samping doa-doa di atas, kita juga boleh berdoa apa sahaja yang dihajati kerana di antara waktu yang mustajab (makbul) untuk berdoa adalah ketika berbuka puasa.

Sabda Rasulullah S.A.W:

"Sesungguhnya doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa itu ialah ketika dia berbuka.”
– Hadith Riwayat Ibn Majah.

2. Menyegerakan berbuka apabila masuknya waktu atau disebut ta'jil al-Iftar.

Ini berdasarkan hadith-hadith yang menyebut perkara ini, antaranya: Daripada Sahl bin Sa'ad bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

“Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa.” - Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.

Hadith ini menerangkan punca kebaikan di dalam agama ialah mengikut sunnah Nabi S.A.W, iaitu Baginda S.A.W menyegerakan berbuka puasa. Ini menolak dakwaan ajaran-ajaran karut yang kononnya melewatkan berbuka menambah pahala. Kata at-Tibi (meninggal 743H):

“Barangkali sebab Allah S.W.T menyukai mereka yang bersegera membuka puasa, ialah kerana apabila seseorang berbuka puasa sebelum solat, membolehkannya menunaikan solat dengan dihadirkan hati. Juga ia menyanggahi ahli bidaah yang berpendapat wajib melewatkannya.”

(at-Tibi, Syarh Miskhat al-Masabih, 4/183, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Berut).

3. Berbuka puasa dengan rutab, atau tamar atau air.

Rutab ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering, ia lembut dan manis. Adapun tamar ialah buah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu’jam al-Wasit 1/88). Sekarang di negara kita rutab sudah mula dikenali. Ia kurma yang masak dan masih lagi belum kering dan mengecut. Apabila ia mengecut dipanggil tamar. Di dalam hadith daripada Anas R.A katanya:

“Bahawa Rasulullah S.A.W berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum bersolat. Sekiranya tiada rutab, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar, maka Baginda minum beberapa teguk air.” - Hadith Riwayat Imam Ahmad dan at-Tirmizi, katanya hadith ini hasan) Ad-Diya al-Maqdisi (meninggal 643H) telah mensahihkan hadith ini.

(lihat: al-Ahadith al-Mukhtarah, 4/411 cetakan: Maktabah al-Nahdah al-Hadithah, Mekah).

Inilah tertib yang dilakukan oleh Baginda S.A.W, pilihan pertama ialah rutab, jika tiada tamar dan jika tiada air. Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H):

“Hadith ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan rutab, sekiranya tiada, maka dengan tamar, dan sekiranya tiada, maka dengan air. Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zam-zam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan air zam-zam adalah ditolak. Ini kerana ia menyanggahi sunah. Adapun Nabi S.A.W telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota Mekah, namun tidak pernah diriwayatkan baginda S.A.W menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air.”

(al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/311, cetakan Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, Beirut).

Di samping itu, dakwaan jika tiada tamar, maka dengan buah-buahan yang lain juga tiada sebarang dalil daripada sunah Nabi S.A.W.

4. Menyegerakan solat Maghrib selepas berbuka dengan tamar atau air, sekiranya makanan belum dihidangkan.

Hadith yang kita nyatakan di atas menunjukkan Baginda Nabi S.A.W berbuka dengan rutab atau tamar atau air sebelum bersolat Maghrib. Maka kita disunatkan juga mengikuti langkah tersebut, iaitu selepas berbuka dengan perkara-perkara tadi, lantas terus menunaikan solat. Ini sekiranya makanan belum
dihidangkan. Adapun sekiranya makanan telah dihidangkan di depan mata, maka dimakruhkan meninggalkan makanan untuk menunaikan solat. Ini berdasarkan apa yang dinyatakan dalam hadith-hadith baginda Nabi S.A.W antaranya: Daripada Anas bin Malik R.A.: Bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

“Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah ia sebelum kamu menunaikan solat Maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu.” - Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.

Dalam hadith yang lain daripada Abdullah bin Umar, Baginda S.A.W bersabda:

“Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesa." - Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.

Riwayat di atas juga menambah:

Bahawa Ibn Umar R.A. apabila dihidangkan untuknya makanan, manakala solat pula sedang didirikan, maka beliau tidak mendatangi solat melainkan hingga beliau selesai makan, sedangkan beliau mendengar bacaan imam. Ini kerana meninggalkan makanan dalam keadaan keinginan yang kuat untuk menjamahnya atau dalam perasaan lapar, boleh menghilangkan khusyuk di dalam solat, disebabkan ingatan terhadap makanan tersebut. Dengan itu para ulama' menyatakan dimakruhkan solat setelah makanan terhidang di hadapan mata. Kata an-Nawawi (meninggal 676H): Di dalam hadith-hadith tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk.

(An-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/208, cetakan: Dar al-Khair, Beirut).

Sebenarnya bukan pada makan malam atau solat Maghrib sahaja kita disunatkan mendahulukan makanan yang dihidang sebelum solat, bahkan sunah ini meliputi semua solat dan waktu makan kerana dibimbangi menghilangkan khusyuk. Ini sekiranya makanan telah terhidang di depan mata. Al-Munawi (meninggal 1031H) pula menyebut:

“Hadith tersebut menyatakan hendaklah didahulukan makan malam sebelum solat Maghrib. Namun ia juga dipraktikkan juga pada solat-solat yang lain. Ini kerana punca arahan ini ialah bimbang hilangnya khusyuk.”

(al-Munawi, Faidh al-Qadir, 1/295, cetakan: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, Mesir).

Malangnya ada di kalangan yang kurang faham, lalu mereka menyatakan bahawa kalau azan sudah berkumandang, hidangan dan makanan hendaklah ditinggalkan demi mengutamakan solat jemaah. Inilah kedangkalan meneliti hadith-hadith Nabi S.A.W, lalu mengandaikan agama dengan emosi sendiri.

Adapun sekiranya makanan belum terhidang atau perasaan keinginan terhadap makanan tiada, maka tidaklah dimakruhkan untuk terus solat. Ini bukanlah bererti kita disuruh mementingkan makanan melebihi solat, sebaliknya tujuan arahan Nabi S.A.W ini ialah untuk memastikan kesempurnaan solat. Al-Imam Ibn Hajar al-'Asqalani (meninggal 852H) memetik ungkapan Ibn Jauzi (meninggal 597H):

“Ada orang menyangka bahawa mendahulukan makanan sebelum solat adalah bab mendahulukan hak hamba ke atas hak Tuhan. Sebenarnya bukan demikian, tetapi ini adalah menjaga hak Allah S.W.T agar makhluk masuk ke dalam ibadahnya dengan penuh tumpuan. Sesungguhnya makanan mereka (para sahabat) adalah sedikit dan tidak memutuskan mereka daripada mengikuti solat jemaah.”

(Ibn Hajar al-`Asqalani, Fath al-Bari, 2/385, cetakan: dar al-Fikr, Beirut).

5. Makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka.

Ini bertepatan dengan firman Allah S.W.T maksudnya:

“Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan.” - Al-Quran, Surah al-`Araf; ayat 31


Di dalam hadith Baginda S.A.W menyebut:

“Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.” - Riwayat at-Tirmizi, katanya: hadith ini hasan sahih. Al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani dalam Fath al-Bari menyatakan hadith ini hasan.

Hadith ini salah difahami oleh sesetengah pihak, lalu mereka menyangka Nabi S.A.W menyuruh umatnya jika makan, hendaklah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan. Sebenarnya jika kita teliti hadis ini bukan demikian, pembahagian tersebut ialah had maksimum. Kalau boleh kurang daripada itu. Sebab itu Baginda S.A.W menyebut jika tidak dapat, maka tidak melebihi pembahagian tadi. Namun yang lebih utama digalakkan sekadar yang dapat memberi tenaga.

6. Berdoa ketika berbuka.

Ini berdasarkan hadith Nabi S.A.W:


“Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka.” - Hadith Riwayat Ibn Majah, sanadnya pada nilaian hasan dan ke atas. Ishaq bin 'Abd Allah al-Madani dithiqahkan oleh Abu Zur'ah dan disebut saduq oleh al-Zahabi dalam al-Kasyif.

Maka kita boleh berdoa dengan apa sahaja doa yang kita hajati. Doa orang berpuasa makbul disebabkan jiwa yang telah dibersihkan daripada kotoran dosa dan syahwat. Justeru itu al-Munawi menyebut:

"Hadith di atas hanya untuk sesiapa yang telah menunaikan tanggungjawab puasa dengan menjaga lidah, hati dan anggota.” (Faidh al-Qadir, 2/500).

Di sana ada doa yang ditunjukkan oleh Nabi S.A.W ketika berbuka dan disunatkan kita membacanya:

“Adalah Rasulullah S.A.W apabila berbuka, Baginda S.A.W bersabda: Telah hilanglah dahaga, telah basahlah peluh (hilang kekeringan) dan telah tetaplah pahala, insya-Allah.” - Hadith Riwayat Abu Daud, sanadnya hasan.

Namun setiap orang yang menunaikan puasa dengan sepenuhnya, hendaklah merebut peluang doa yang makbul ketika dia berbuka.

7. Berdoa kepada sesiapa yang menjamu kita berbuka.

Telah berkata Anas R.A:


“Baginda S.A.W pernah datang kepada (rumah) Saad bin Ubadah. Dia menghidangkan roti dan minyak. Baginda pun makan dan bersabda: Telah berbuka puasa di sisi kamu mereka yang berpuasa, telah makan makanan kamu mereka yang baik dan telah berselawat ke atas kamu para malaikat.” - Hadith Riwayat Abu Daud, ad-Diya al-Maqdisi dalam Al-Ahadith al-Mukhtarah menyatakan ia sahih 5/158). Maka berdoalah kepada mereka yang menjamu kita berbuka puasa. Ini adab yang sangat baik.

Demikian senarai adab-adab yang terkandung di dalam sunnah Nabi S.A.W ketika berpuasa. Semoga pengamalan adab-adab ini menambahkan lagi pahala puasa kita.

-ibnumustafa-

Adab Bersahur Menurut Sunnah Rasulullah S.A.W

Rasulullah SAW amat menganjurkan umatnya agar bersahur kerana terdapat keberkatan pada waktu itu. Sabda baginda SAW:

"Bersahurlah kamu semua kerana sesungguhnya pada waktu makan sahur itu terdapat keberkatan." - Hadith Riwayat al-Bukhari.

Maksud kerberkatan di sini ialah wujudnya ganjaran serta pahala yang besar di dalam ibadah sahur tersebut. Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani RA:

"Keberkatan sahur itu diperolehi melalui beberapa segi, iaitu mengikuti sunnah, menyelisihi ahli kitab, menambah kekuatan dan semangat untuk beribadah, menghindari tabiat buruk yang timbul akibat lapar, menjadi sebab untuk bersedekah kepada orang yang meminta saat itu, menjadi sebab untuk berzikir dan berdoa pada waktu yang mustajab dan memberi kesempatan untuk berniat bagi mereka yang belum sempat berniat puasa sebelum tidur.”

Antara hikmah disyariatkan bersahur adalah untuk membezakan antara ibadah puasa orang Islam dengan ibadah puasa orang Yahudi dan Kristian (ahli kitab).

Sabda Rasulullah S.A.W:

"Pemisah (yang membezakan) antara puasa kita dan puasa ahli kitab ialah makan sahur.” - Hadith Riwayat Imam at-Tarmizi.

Ibadah sahur adalah ibadah yang begitu agung sehinggakan Allah S.W.T melimpahkan rahmat dan malaikat-Nya memohon keampunan bagi orang-orang yang makan sahur. Oleh itu, Nabi S.A.W amat menitik beratkan umatnya untuk bersahur walaupun dengan hanya meminum seteguk air.

Sabda baginda S.A.W:

"Makan sahur ada keberkatan. Oleh itu, janganlah kamu meninggalkannya meskipun salah seorang antara kamu hanya meminum seteguk air. Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas orang-orang yang makan sahur.” - Hadith Riwayat Imam Ahmad.

Sebenarnya, kita dibenarkan bersahur sehingga fajar terbit, iaitu sehingga azan solat Subuh dilaungkan. Sabda Rasulullah S.A.W:

"Kamu semua boleh makan dan minum sehingga Ibn Ummi Maktum melaungkan azan kerana sesungguhnya dia tidak akan melaungkan azan (melainkan) hingga fajar sodiq benar-benar telah terbit.” - Hadith Riwayat al-Bukhari.

Hadith ini secara tidak langsung membantah pendapat sesetengah pihak yang tidak membenarkan makan dan minum apabila telah masuk waktu imsak. Apatah lagi Allah S.W.T sendiri telah menegaskan bahawa dibenarkan makan dan minum sehingga terbit fajar, iaitu apabila azan Subuh dilaungkan. Firman Allah S.W.T:

"Makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).” - Surah al-Baqarah; ayat 187.

Adalah disunnahkan juga untuk dilewatkan sahur sehingga hampir terbit fajar. Sahal bin Sa’ad R.A berkata:

"Aku makan sahur bersama keluargaku, kemudian aku pun tergesa-gesa untuk mendapatkan sujud bersama Rasulullah SAW.” - Hadith Riwayat al-Bukhari.

Qadi Iyadh RA berkata:

"Tujuan Sahal terburu-buru makan sahur adalah kerana waktunya sangat dekat dengan terbitnya fajar.” - Dinukil dari Fathul Baari.

Waktu yang terbaik untuk makan sahur adalah lebih kurang sama dengan kadar waktu seseorang membaca 50 ayat al-Quran iaitu kira-kira 10 hingga 20 minit sebelum azan solat subuh dikumandangkan. Menurut Anas R.A, Zaid bin Thabit R.A berkata:

"Kami makan sahur bersama Nabi S.A.W, kemudian baginda berdiri untuk solat. Aku berkata: Berapa lama antara azan dan sahur?” Beliau menjawab: “Kira-kira (membaca) lima puluh ayat.” - Hadith Riwayat al-Bukhari.

Hadith ini telah digunakan oleh mereka yang berpendapat bahawa waktu imsak itu adalah sepuluh minit sebelum terbit fajar. Apabila masuk waktu imsak maka seseorang tidak lagi diperbolehkan makan dan minum. Namun tafsiran yang benar terhadap hadith tersebut adalah Rasulullah S.A.W langsung mendirikan solat subuh setelah baginda makan sahur. Kadar membaca 50 ayat al-Quran antara azan subuh dan sahur bukan waktu imsak seperti yang disangka oleh mereka, tetapi ia adalah kadar waktu Nabi S.A.W memulakan dan mengakhirkan sahur baginda.

Antara hikmah mengakhirkan sahur adalah:

1. Sekiranya seseorang bangun awal untuk sahur, tentu sekali setelah selesai bersahur dia akan kembali ke tempat tidur. Hal ini memungkinkan seseorang itu meninggalkan solat Subuh.

2. Mengakhirkan sahur juga boleh menambahkan kekuatan bagi orang yang berpuasa. Sekiranya seseorang bersahur terlalu awal maka ia akan menyebabkan seseorang itu cepat merasa lapar, dahaga dan keletihan pada siang harinya.

-ibnumustafa-

Monday, August 1, 2011

Antara Yang Palsu dan Yang Benar: 'Doa Jibril A.S diaminkan Nabi Muhammad S.A.W.'

Saban tahun menjelangnya Ramadhan, akan berlegar email-email memohon maaf dengan bersandarkan pernyataan yang dikatakan doa daripada Jibril A.S iaitu:

Doa Malaikat Jibril A.S menjelang Ramadhan,

"Ya Allah tolong abaikan puasa ummat Muhammad S.A.W, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut:

* Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada);
* Tidak bermaafan terlebih dahulu antara suami & isteri;
* Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang di sekitarnya."

Maka Rasulullah S.A.W pun mengatakan Amieen sebanyak 3 kali..

Dapatkah kita bayangkan, yang berdoa itu adalah Malaikat Jibril A.S dan yang meng-amieenkannya adalah Rasulullah S.A.W dan juga para sahabat, dan ianya dilakukan pada hari Jumaat yg penuh barakah..

Namun, ketahuilah bahawa ianya tidak diketahui asal-usulnya. Bila para pengkaji hadith mengkajinya, ia didapati palsu, suatu cubaan untuk berdusta atas nama baginda Nabi Muhammad S.A.W. Para pengkaji hadith menemui hadith lain yang mirip kepada kata-kata di atas iaitu:

Dari Ka’ab Bin ‘Ujrah R.A katanya:

Rasulullah S.A.W bersabda:
“Berhimpunlah kamu sekalian dekat dengan mimbar. Maka kami pun berhimpun. Lalu beliau menaiki anak tangga mimbar, beliau berkata: Amin. Ketika naik ke anak tangga kedua, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika menaiki anak tangga ketiga, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika beliau turun (dari mimbar) kami pun bertanya: Ya Rasulullah, kami telah mendengar sesuatu dari tuan pada hari ini yang kami belum pernah mendengarnya sebelum ini.”

Lalu Baginda S.A.W menjawab:

“Sesungguhnya Jibrail A.S telah membisikkan (doa) kepadaku, katanya: Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni. Lalu aku pun mengaminkan doa tersebut. Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata lagi: Celakalah orang yang (apabila) disebut namamu di sisinya tetapi dia tidak menyambutnya dengan salawat ke atasmu. Lalu aku pun mengaminkannya. Dan ketika aku naik ke anak tangga yang ketiga, dia berkata lagi: Celakalah orang yang mendapati ibubapanya yang sudah tua atau salah seorang daripadanya, namun mereka tidak memasukkan dia ke dalam syurga. Lalu aku pun mengaminkannya.
”

Hadith Riwayat Bazzar dalam Majma’uz Zawaid 10/1675-166, Hakim 4/153 disahihkannya dan disetujui oleh Imam Adz-Dzahabi dari Ka’ab bin Ujrah, diriwayatkan juga oleh Imam Bukhari dalam Adabul Mufrad no. 644 (Shahih Al-Adabul Mufrad No.500 dari Jabir bin Abdillah)

Maka, nasihat saya.. Berhati-hatilah bila disampaikan sesuatu kepada kita yang dikaitkan dengan baginda Nabi S.A.W. Cuba teladani kisah bagaimana para sahabat bersikap terhadap sesuatu yang dikaitkan dengan baginda Nabi S.A.W seperti yang diriwayatkan dalam Shahih Bukhari (no: 5891) di bawah:

Daripada Abu Sa’id al-Khudri, dia berkata: Aku (Sa’id al-Khudri) sedang menghadiri majlis yang diadakan oleh kaum Ansar, kemudian Abu Musa datang mendekatiku, dia berkata: Aku (Abu Musa) telah mengucapkan salam tiga kali di hadapan pintu rumah Umar namun tidak mendapati jawapan, lalu aku pun pulang, kemudian aku ditanya orang: “Mengapa engkau pulang?” Aku telah mengucapkan salam tiga kali namun tidak mendapati jawapan, oleh sebab itu aku harus pulang, sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W:

“Apabila kamu mengucapkan salam sebanyak tiga kali dan tidak mendapat jawapan maka hendaklah kamu pulang”

Abu Sa’id berkata: Demi Allah engkau telah mengeluarkan satu penjelasan, adakah diantara kamu sekalian yang pernah mendengarkan apa yang telah didengar oleh Abu Musa daripada Rasulullah S.A.W? Lalu Ubay bin Ka’ab berkata: Demi Allah tidak ada yang turut mendengarnya melainkan orang yang lebih muda diantara kami dan aku adalah orangnya, aku bersamanya semasa itu dan aku juga telah mengkhabarkan kepada Umar bahawa bahawa Rasulullah S.A.W bersabda sedemikian.

Namun, saya akui tidak ramai yang mampu untuk menilai setiap apa yang disampaikan kepadanya. Jadi, saya sarankan agar kita memilih antara dua pilihan di bawah:

1. Berdiam diri daripada menyebarkannya sehinggalah jelas diketahui bahawa ianya benar shahih daripada Nabi Muhammad S.A.W, atau;

2. Menyampaikannya kepada mereka yang dipercayai sebagai ahli dalam bidang hadith untuk memintanya agar membuat semakan terhadap hadith itu.

Apabila telah dijelaskan kepalsuan sesuatu hadith, sebaiknya kita berhenti menyebarkannya dan seboleh-bolehnya maklumkan semula kepada mereka yang pernah mendengarnya daripada kita bahawa ianya adalah palsu. Ini kerana Rasulullah S.A.W telah memberi ancaman kepada pendusta atas namanya:

“Barangsiapa yang dengan sengaja berdusta ke atas aku, maka tersedialah baginya tempat duduk dari api neraka.” - Hadith Shahih Mutawattir, Riwayat Bukhari, Muslim, Ibn Majah, ad-Darimi dan lain-lain.

Akhir kata, sama-samalah kita menyambut bulan Ramadhan ini dengan penuh kegembiraan, seperti mana gembiranya kita dapat bonus gaji, sepatutnya begitulah (atau lebih daripada itu) kita gembira dengan bonus pahala berlipat ganda dalam bulan Ramadhan ini.

Dalam hadith Rasulullah S.A.W mengaminkan doa Jibril A.S itu, disebut salah satu yang diaminkan ialah “Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni.” Cubalah kita muhasabah diri, bagaimana agaknya dosa tidak diampun itu? Yang utama ialah jauhilah mensyirikkan Allah dan jagalah iman kita. Berpuasalah atas sebab iman, bukannya berpuasa kerana ianya budaya sebelum berhari raya. Disebut dalam hadith shahih yang maksudnya:

“Barang siapa yang berpuasa ramadhan kerana didorong oleh iman dan mengharapkan keredhaan Allah, maka diampunkan baginya dosa-dosanya yang lalu” - Hadith Riwayat Bukhari : 38 dan Muslim : 175.

Teruskan mempelajari ilmu Islam untuk memperkuatkan lagi iman kita dan perbanyakkan doa memohon keredhaan Allah SWT ke atas kita. Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua yang membaca. Salam maaf dan sekian, wassalam.

Ramadhan al-Kareem!

-ibnumustafa-

Ahlan Wasahlan Wamarhaban Bikom Ya Ramadhan Al-Mubarak..





Perkara yang baik sempena bulan yang penuh barakah Ramadhan al-Mubarak ini, marilah kita sama-sama bermaaf-maafan terutamanya dengan kedua orang tua kita (jika masih ada), antara suami & isteri dan dengan orang-orang di sekitar kita dan jauhkanlah dari kita sifat sombong dan bakhil.. maka perbanyakkanlah amalan sedekah di bulan mulia ini..

Oleh itu saya dengan penuh rasa rendah diri memohon ampun & maaf jika saya ada berbuat kesalahan, dari segi perilaku, perbuatan, perkataan @ apa jua yg menyinggung perasaan, baik yang disengajakan mahupun yang tidak disengajakan, semoga kita dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna sepanjang Ramadhan al-Mubarak ini..

Awalnya Rahmat,
Pertengahannya Keampunan,
Penutupnya Bebas Dari Neraka..

“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa.” - Surah Al-Baqarah; ayat 183.

Hadith Rasulullah S.A.W: Ditegaskan oleh Rasulullah S.A.W melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad, An-Nasa'i dan Al-Baihaqi dari Abu Hurairah R.A, yang bermaksud:

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardhukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu Syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan.”

Semoga kita sama2 mendapat barakah & ma'firah dari-Nya..
Rebutlah peluang sebaik mungkin di setiap saat dalam bulan yg penuh mulia ini..
Amieen..

Kullu 'Am Wa Antum Bikhair..
May Allah Bless You..
Have a Nice day..
..:: You’ll Never Walk Alone, Allah Is Always By Your Side ::..

-ibnumustafa-

Friday, July 15, 2011

Nisfu Sya'aban: Amalan Setahun Diangkat Untuk Diaudit

Assalamu'alaikum Wrt. Wbt..

Nisfu Sya'aban akan tiba lagi pada hari ini sebaik saja masuknya waktu maghrib..

Oleh itu, marilah kita sama-sama mengambil saat keemasan ini untuk menutup catatan amal ibadah kita kpd Allah S.W.T dengan baik dan sempurna dan seterusnya berazam untuk memperbaiki diri kita untuk catatan yang baru.




Sebagaimana yang telah kita ketahui apabila tibanya malam 15 Sya’aban, ramai yang akan ke masjid untuk solat jemaah dan membaca Yaasin sebanyak 3 kali. Tetapi tahukah kita dari mana amalan itu berasal? Sedangkan kita tahu, bahawa sesuatu ibadah khusus yang dilakukan jika tiada amalan atau dalil dari Nabi Muhammad S.A.W maka dikira bid’ah. Persoalannya mengapa perlu dilakukan sebanyak 3 kali dan dikhususkan pada malam tersebut? Sedangkan bacaan Yaasin boleh dilakukan pada bila-bila masa dan tidak terhad kepada berapa kali.


Seperti yang selalu saya lihat, bacaan Yaasin yang dibuat sebanyak 3 kali itu dilakukan dengan pantas dan terkejar-kejar. Mungkin ianya sesuai dengan orang yang sudah mahir membaca Qasar, tetapi bagaimana dengan mereka yang tidak mahir dengan bacaan Qasar lebih-lebih lagi bagi yang tidak mahir membaca Al-Quran bertajwid. Tidakkah itu sudah menjadi tunggang-langgang dan tidak berlaku dalam keadaan yang tenang. Apakah bagus membaca Al-Quran dalam keadaan tergesa-gesa dan salah tajwidnya? Apakah hikmah di sebalik tergesa-gesa dan tidak faham apa yang dibaca itu?


Sebenarnya tiada hadith yang sahih yang memberitahu tentang bacaan Yaasin 3 kali pada malam Nisfu Sya'aban ini dan jika ada pun, ianya adalah hadith berkenaan kelebihan malam Nisfu Sya'aban yang dhaif dan juga terdapat dalam hadith maudhu’ (palsu). Walau bagaimanapun ada sebahagian ulama berpendapat hadith dhaif boleh dipegang dalam amalan sunat secara perseorangan. Tetapi tidak sekali-kali dengan hadith maudhu’. Ingat, hadith maudhu’ maknanya hadith PALSU, dan hadith PALSU hanyalah hadith yang direka-reka oleh golongan tertentu. Dengan kerana itu, adalah penting agar kita berhati-hati dalam memahami martabat sesuatu hadith itu.


Namun, dalam soal bacaan Yaasin sebanyak 3 kali dalam Nisfu Sya'aban tetap tidak ada hadith yang sahih berkenaannya dan amalan tersebut tiada ditunjukkan contoh langsung oleh Nabi S.A.W dan sahabat. Maka mengapa kita sekarang ini mengadakan majlis tersebut di masjid-masjid apabila tibanya malam Nisfu Sya'aban sahaja? Mengapa perlu menetapkan malam itu untuk membaca Yaasin 3 kali dan berduyun-duyun menuju ke masjid sedangkan malam lain tidak? Itu yang perlu diperhati bersama.


Dan saya tidak berani mengatakan amalan tersebut haram. tetapi kita perlu ingat, amalan ibadah khusus yang bukannya berasal dari Nabi S.A.W sudah dikira bid’ah dan dibimbangi amalan itu akan menjadi penat dan lelah semata-mata kerana tidak berasas atau menambah dosa sahaja. Tetapi menurut fatwa dari Syeikh Abdul Aziz bin Baaz, amalan itu dikira bid’ah dan penjelasannya ada saya sertakan di bawah nanti.


Maka sebaiknya adalah kita lakukan sahaja amalan membaca Yaasin atau apa-apa sahaja bacaan Al-Quran, tanpa perlu dikhususkan 3 kali dan seumpamanya. Dan yang penting, bacaan itu biarlah TERTIB, TENANG dan memberi keinsafan kepada kita dan bukannya semata-mata mahu mengejar pahala sehingga membaca Al-Quran dengan tergopoh dan salah tajwid dan mengatakan sepatutnya melakukan bacaan Yaasin 3 kali itu.


Pengertian Nisfu Sya'aban


Nisfu dalam bahasa arab bererti setengah. Nisfu Sya'aban bererti setengah bulan Sya'aban. Malam Nisfu Sya'aban adalah malam 15 Sya'aban iaitu siangnya 14hb Sya'aban.


Malam Nisfu Sya'aban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul Qadr. Saidatina Aisyah R.A meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W tidak tidur pada malam itu sebagaimana yang tersebut dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi R.A:
“Rasulullah S.A.W telah bangun pada malam (Nisfu Sya'aban) dan bersolat dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda S.A.W dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda S.A.W berkata dalam sujudnya: Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yang akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kepadaMu daripadaMu. Aku tidak dapat menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri.”

Setelah Baginda S.A.W selesai bersolat, Baginda S.A.W berkata kepada Saidatina Aisyah R.A: “Malam ini adalan malam Nisfu Sya'aban. Sesungguhnya Allah Azzawajjala telah datang kepada hambaNya pada malam Nisfu Sya'aban dan memberi keampunan kepada mereka yang beristighfar, memberi rahmat ke atas mereka yang memberi rahmat dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap orang-orang yang dengki.”
 

Nisfu Sya’aban adalah hari di mana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatat di buku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuknya waktu Maghrib, (15 Sya’aban yang siang sebelumnya 14hb Sya’aban).

Fatwa Tentang Merayakan Malam Nisfu Sya'aban


Bacaan Yaasin


Umat Islam di Malaysia umumnya menyambut malam Nisfu Sya'aban (15hb Sya'aban) dengan mengadakan majlis membaca surah Yaasin sebanyak 3 kali selepas solat Maghrib. Di celah-celah bacaan Yaasin ini diselitkan dengan bacaan doa seperti, selepas bacaan Yaasin pertama dengan doa untuk diselamatkan dunia akhirat, selepas bacaan Yaasin kedua doa supaya dipanjangkan umur dalam keberkatan dan selepas bacaan Yaasin ketiga doa supaya dianugerahkan rezeki yang halal.


Diperhatikan bahawa amalan sambutan Nisfu Sya'aban yang kaifiatnya sebegini tidak diamalkan di tempat lain di seluruh dunia. Tidak hairanlah tiada fatwa yang dikeluarkan oleh Ulama muktabar dunia masa kini tentang sahih batilnya amalan ini.


Kita beramal dan beribadah adalah untuk mendapat pahala dan kebaikan. Amalan ini hendaklah ada contohnya dari Rasulullah S.A.W atau sahabat-sahabat atau ada petunjuk yang jelas dari Al-Quran dan As-Sunnah. Amalan mengkhususkan bacaan dan doa tertentu pada sesuatu masa tanpa nas yang sahih adalah amalan bid'ah yang tertolak dan dikhuatiri berdosa; setidak-tidaknya ia akan membazirkan masa dan memenatkan badan.


Kita boleh membaca surah Yaasin sebanyak mungkin pada bila-bila masa untuk mendapat pahala tetapi tidak dengan mengkhususkan kepada malam Nisfu Sya'aban dan dengan bilangan 3 kali. Kita digalakkan berdoa apa saja kepada Allah S.W.T untuk kebaikan dunia dan di akhirat tetapi tidak perlu dikhususkan di celah-celah bacaan Yaasin di malam Nisfu Sya'aban. Dan kita boleh membaca surah Yaasin dan berdoa bersendirian, di mana-mana dan bila-bila saja dan tidak perlu berkampung di masjid-masjid dengan harapan mendapat ganjaran istimewa dari Allah S.W.T.


Berikut adalah fatwa yang dikeluarkan oleh seorang ulama terkemuka di Timur Tengah untuk menjelaskan tentang amalan bid'ah di malam Nisfu Sya'aban. Perhatikan bahawa beliau tidak menyebut amalan membaca Yaasin dan doa-doa yang mengiringinya kerana amalan tersebut tidak diamalkan oleh penduduk di Timur Tengah atau di bahagian lain dunia Islam. Boleh dikatakan bahawa amalan baca Yaasin dan doa ini adalah sebahagian dari sekian banyak amalan bid'ah ciptaan rakyat tempatan khusus untuk amalan penduduk nusantara ini.


‘Solat Sunat’ Nisfu Sya'aban


Firman Allah S.W.T (mafhumnya): “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” - Surah Al-Maa’idah; ayat 3.

“Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana bahagian dari agama mereka sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah?” - Surah Asy-Syura; ayat 21.


Dalam kitab as-Sahihain diriwayatkan daripada Saidatina 'Aisyah R.A bahawa Rasulullah S.A.W pernah bersabda: “Barangsiapa mengada-adakan perkara baru dalam urusan (agama) kita ini yang mana bukan sebahagian daripadanya, akan tertolak.”


Dalam Sahih Muslim diriwayatkan daripada Jabir R.A, Nabi S.A.W bersabda dalam khutbah Baginda: “Tetaplah kamu dengan Sunnahku dan Sunnah para Khulafa’ Rasyidun, serta berpegang teguhlah padanya. Berwaspadalah terhadap perkara yang baru diada-adakan, kerana setiap perkara baru adalah bid’ah dan setiap perkara bid’ah itu adalah sesat.” Terdapat banyak lagi ayat Qur’an dan hadith yang seumpamanya.


Ini jelas sekali menunjukkan bahawa Allah S.W.T telah menyempurnakan agama umat ini, dan mencukupkan nikmatNya ke atas mereka. Tuhan tidak mengambil nyawa RasulNya sehinggalah Baginda S.A.W selesai menyampaikan perutusan dengan seterang-terangnya dan menghuraikan kepada ummah segala apa yang telah diperintahkan Allah samada amalan perbuatan mahupun percakapan. Baginda S.A.W telah menerangkan bahawa untuk ibadah yang direka selepas kewafatan Baginda S.A.W, segala bacaan dan amalan yang kononnya dilakukan menurut Islam, kesemua ini akan dicampakkan kembali kepada orang yang mencipta amalan tersebut, meskipun ia berniat baik.


Para Sahabat Nabi S.A.W tahu tentang hakikat ini, begitu juga para salaf selepas mereka. Mereka mengecam bid’ah dan menegahnya, sebagaimana telah dicatatkan dalam kitab-kitab yang menyanjung Sunnah dan mengecam bid’ah, ditulis oleh Bin Waddah, At-Tartushi, Bin Shamah dan lain-lain.


Antara amalan bid’ah yang direka manusia ialah menyambut hari pertengahan dalam bulan Sya'aban (Nisfu Sya'aban), dan menganjurkan puasa pada hari tersebut. Tidak ada nas (dalil) yang boleh dipercayai tentang puasa ini. Ada beberapa hadith dhaif telah dirujuk tentang fadhilat puasa ini, tetapi ianya tidak boleh dijadikan pegangan. Hadith-hadith diriwayatkan mengenai fadhilat doa sempena Nisfu Sya'aban kesemuanya adalah maudhu’ (rekaan semata-mata), sebagaimana telah diperjelaskan oleh sebahagian besar alim ulama. Kita akan lihat beberapa petikan dari ulasan para alim ulama ini.


Beberapa riwayat tentang hal ini telah dinukilkan daripada sebahagian ulama salaf di Syria dan lain-lain. Menurut jumhur ulama, menyambut Nisfu Sya'aban adalah bid’ah, dan hadith-hadith tentang fadhilat-fadhilat berkenaan hari tersebut adalah dhaif (lemah), sebahagian besar yang lain pula adalah maudhu’ (rekaan). Antara ulama yang memperjelaskan hal ini adalah al-Haafiz bin Rejab, di dalam kitabnya Lataa’if al-Ma’aarif, dan lain-lain. Hadith-hadith dha`if berkenaan ibadah hanya boleh diterimapakai untuk amalan ibadat yang terdapat menerusi nas-nas yang Sahih. Tidak ada asas yang Sahih bagi sambutan Nisfu Sya'aban, oleh itu hadith-hadith dha`if tersebut tidak dapat digunapakai.


Prinsip asas yang penting ini telah disebutkan oleh Imam Abu’l-‘Abbas Sheikh al-Islam bin Taymiyah Rahimahullah. Para alim ulama Rahimahumullah telah sepakat bahawa apabila wujud perselisihan di kalangan umat, maka wajiblah merujuk kepada Kitab Allah S.W.T dan Sunnah Rasulullah S.A.W. Apa-apa keputusan yang diperolehi daripada salah satu atau kedua-duanya adalah syariat yang wajib ditaati, sebaliknya apa-apa yang didapati bercanggah dengan kedua-duanya mestilah ditolak. Oleh itu sebarang amalan ibadat yang tidak dinyatakan di dalam kedua-dua (Al-Qur’an dan Sunnah) adalah bid’ah dan tidak dibenarkan melakukannya, apatah lagi mengajak orang lain melakukannya atau mengiktirafkannya.


Sebagaimana Firman Allah S.W.T (mafhumnya): “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.” - Surah An-Nisa’; ayat 59.


“Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): Apa jua perkara agama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam segala keadaan).” - Surah Ash-Shura; ayat 10.

“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” - Surah Ali ‘Imran; ayat 31.


“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” - Surah An-Nisa’; ayat 65.


Banyak lagi ayat-ayat lain yang serupa maksudnya seperti di atas, yang menyatakan dengan jelas bahawa sebarang perselisihan wajib dirujuk kepada Al-Qur’an dan Sunnah, seterusnya wajib mentaati keputusan yang diperolehi daripada kedua-dua Nas ini. Ini merupakan syarat iman, dan inilah yang terbaik untuk manusia di dunia dan di akhirat: “Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya” - Surah An-Nisa’; ayat 59.


Al-Hafiz bin Rejab R.A menyebut di dalam kitabnya Lataa’if al-Ma’aarif tentang isu ini – setelah membincangkannya secara panjang lebar – “Malam Nisfu Syaaban asalnya diutamakan oleh golongan Tabi’in di kalangan penduduk Syam, antaranya Khalid bin Mi’dan, Makhul, Luqman bin ‘Amir dan lain-lain, di mana mereka beribadah bersungguh-sungguh pada malam tersebut. Orang awam menganggap bahawa malam tersebut adalah mulia kerana perbuatan mereka ini. Disebutkan bahawa mereka telah mendengar riwayat-riwayat Israiliyyat berkenaan kelebihan malam tersebut, sedangkan jumhur ulama di Hijaz menolak kesahihan riwayat ini, antara mereka adalah ‘Ata’ dan Ibnu Abi Malikah. ‘Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam meriwayatkan fatwa ini daripada fuqaha’ (Ulama Ahli Fiqh) di Madinah, dan inilah pandangan ulama-ulama Maliki dan lain-lain. Kata mereka: semua ini adalah bid’ah…


Imam Ahmad tidak pernah diketahui menyebut apa-apa pun tentang (adanya sambutan) Malam Nisfu Syaaban… Tentang amalan berdoa sepanjang Malam Nisfu Syaaban, tidak ada riwayat yang sahih daripada Nabi S.A.W ataupun daripada Para Sahabat Baginda…”


Inilah apa yang telah disebutkan oleh al-Hafiz bin Rejab R.A. Beliau menyatakan dengan jelas bahawa tidak ada langsung riwayat sahih daripada Rasulullah S.A.W mahupun daripada Sahabat-sahabat Baginda R.A mengenai Malam Nisfu Sya'aban (pertengahan bulan Sya'aban).


Dalam keadaan di mana tidak ada bukti shar’ie bahawa apa-apa perkara itu disuruh oleh Islam, tidak dibenarkan bagi Umat Islam untuk mereka-reka perkara baru dalam agama Allah S.W.T, tidak kiralah ianya amalan perseorangan ataupun berkumpulan, samada dilakukan secara terbuka mahupun tertutup, berdasarkan maksud umum hadith Rasulullah S.A.W: “Barangsiapa melakukan apa sahaja amalan yang bukan sebahagian daripada urusan kita ini [Islam], amalan itu akan tertolak.” Banyak lagi dalil yang menegaskan bahawa bid’ah mesti ditegah dan memerintahkan agar menjauhinya.


Imam Abu Bakr al-Tartushi R.A menyebut dalam kitabnya al-Hawadith wa’l-Bida’: “Ibn Waddah meriwayatkan bahawa Zayd bin Aslam berkata: Kami tidak pernah menemui seorang pun dari kalangan ulama dan and fuqaha’ kami yang memberi perhatian lebih kepada Malam Nisfu Sya'aban, tidak ada juga yang memberi perhatian kepada hadith Makhul, atau yang beranggapan bahawa malam tersebut adalah lebih istimewa daripada malam-malam lain. Pernah ada orang mengadu kepada Ibnu Abi Maleekah bahawa Ziyad an-Numairi mengatakan bahawa pahala di Malam Nisfu Sya'aban adalah menyamai pahala Lailatul-Qadar. Beliau menjawab; Sekiranya aku dengar sendiri dia berkata begitu dan ada kayu di tanganku, pasti aku akan memukulnya (dengan kayu itu). Ziyad seorang pereka cerita.”


Al-Shaukani R.A berkata dalam al-Fawa’id al-Majmu’ah: “Hadith yang berbunyi: ‘Wahai Ali, barangsiapa bersolat seratus rakaat di Malam Nisfu Sya'aban, dengan membaca pada setiap rakaat Ummul Kitab [Surah al-Fatihah] dan Qul Huwallahu Ahad sepuluh kali, Allah akan memenuhi segala keperluannya…’ Hadith ini maudhu’ (rekaan semata-mata). Susunan katanya menyebut dengan jelas ganjaran yang akan diterima oleh orang yang melakukannya, dan tidak ada orang yang waras yang boleh meragui bahawa hadith ini adalah rekaan. Lebih-lebih lagi, perawi dalam isnad hadith ini adalah majhul (tidak dikenali). Hadith ini juga diriwayatkan melalui sanad yang lain, yang mana kesemua adalah direka dan kesemua perawinya adalah majhul (tidak diketahui asal-usulnya).”


Di dalam kitab al-Mukhtasar, beliau menukilkan: Hadith yang menyebut tentang solat di tengah bulan Sya'aban adalah hadith palsu, dan hadith Ali yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban – “Apabila tiba malam pertengahan Sya'aban, penuhilah malamnya dengan solat dan berpuasalah di siang harinya.” – adalah dhaif (lemah).


Di dalam kitab al-La’aali’ beliau berkata, “Seratus rakaat di pertengahan Sya'aban, membaca (Surah) al-Ikhlas sepuluh kali di setiap rakaat.. (hadith ini) adalah maudhu’ (direka), dan kesemua perawi dalam tiga isnadnya adalah majhul (tidak dikenali) dan dhaif (lemah). Katanya lagi: dan dua belas rakaat, membaca al-Ikhlaas tiga puluh kali setiap rakaat, ini juga adalah maudhu’; dan empat belas (rakaat), juga adalah maudhu’.

Beberapa orang fuqaha’ telah tertipu oleh hadith palsu ini, antaranya pengarang al-Ihya’ dan lain-lain, dan juga sebahagian ulama mufassirin. Solat khusus di malam ini – di pertengahan bulan Sya'aban – telah diterangkan dalam pelbagai bentuk, kesemuanya adalah palsu dan direka-reka.”


Al-Hafiz al-‘Iraqi berkata: “Hadith tentang solat di malam pertengahan Sya'aban adalah maudhu’, dan disandarkan secara palsu terhadap Rasulullah S.A.W.”


Imam an-Nawawi berkata di dalam bukunya al-Majmu’: “Solat yang dikenali sebagai solat al-Raghaa’ib, didirikan sebanyak dua belas rakaat antara Maghrib dan Isya' pada malam Jumaat pertama di bulan Rejab, dan solat sunat Malam Nisfu Sya'aban, sebanyak seratus rakaat – kedua-dua solat ini adalah bid’ah yang tercela. Sepatutnya orang ramai tidak tertipu disebabkan ianya disebut dalam Qut al-Qulub dan Ihya’ ‘Ulum al-Din, atau oleh hadith-hadith yang disebutkan dalam kedua-dua kitab ini. Kesemuanya adalah palsu. Orang ramai juga tidak sepatutnya tertipu disebabkan kerana beberapa imam telah keliru dalam hal ini dan menulis beberapa helaian yang menyebut bahawa solat ini adalah mustahabb (sunat), kerana dalam hal ini mereka tersilap.”


Sheikh al-Imam Abu Muhammad Abd al-Rahman bin Ismail al-Maqdisi telah menulis sebuah kitab yang amat berharga, yang membuktikan bahawa riwayat-riwayat tersebut adalah palsu, dan jasa beliau sangatlah besar. Alim ulama telah membincangkan hal ini dengan panjang lebar, dan sekiranya kami ingin memetik keseluruhan perbincangan tersebut untuk dicatatkan di sini, tentu akan mengambil masa yang sangat panjang. Mudah-mudahan apa yang telah disebutkan di atas sudah memadai bagi anda yang mencari kebenaran.


Daripada ayat-ayat al-Qur’an, Hadith-hadith dan pendapat ulama yang dipetik di atas, sudah jelas bagi kita bahawa menyambut pertengahan bulan Sya'aban dengan cara bersolat di malamnya atau dengan mana-mana cara yang lain, atau dengan mengkhususkan puasa pada hari tersebut, adalah bid’ah yang ditolak oleh jumhur ulama. Amalan tersebut tiada asas dalam syariat Islam yang tulin; bahkan ianya hanyalah salah satu perkara yang diada-adakan dalam Islam selepas berakhirnya zaman Sahabat R.A.


Amat memadai, dalam hal ini, untuk kita fahami kalam Allah S.W.T: “Pada hari ini Aku telah sempurnakan agama kamu untukmu…” - Surah al-Ma’idah 5:3; dan beberapa ayat yang seumpamanya; dan sabda Nabi S.A.W: “Barangsiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan (agama) kita ini yang (pada hakikatnya) bukan sebahagian daripadanya, tidak akan diterima.” dan beberapa hadith yang serupa.


Dalam Sahih Muslim diriwayatkan bahawa Abu Hurarah R.A berkata, Rasulullah S.A.W bersabda: “Janganlah kamu khususkan malam Jumaat untuk bersolat malam dan janganlah khususkan siang hari Jumaat untuk berpuasa, melainkan jika puasa di hari itu adalah sebahagian daripada puasa-puasa yang kamu amalkan berterusan-berterusan.”


Seandainya dibenarkan untuk mengkhususkan mana-mana malam untuk amalan ibadah yang istimewa, sudah tentu malam Jumaat adalah yang paling sesuai, kerana siang hari Jumaat adalah hari yang paling baik bermula terbit mataharinya, sebagaimana disebutkan dalam hadith Sahih yang diriwayatkan daripada Rasulullah S.A.W. Memandangkan Nabi Muhammad S.A.W sendiri melarang dari mengkhususkan malam tersebut untuk bertahajjud, itu menandakan bahawa adalah lebih dilarang sekiranya dikhususkan malam-malam lain untuk sebarang bentuk ibadah, kecuali di mana terdapat nas yang Sahih yang mengkhususkan malam tertentu.


Oleh kerana telah disyariatkan untuk memenuhi malam Lailatul-Qadr dan malam-malam lain di bulan Ramadhan dengan bersolat, Rasulullah S.A.W memberi perhatian kepadanya dan menyuruh umatnya bersolat malam sepanjang tempoh tersebut. Baginda S.A.W sendiri melaksanakannya, sebagaimana disebut dalam as-Sahihain, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: “Barangsiapa bersolat qiyam di bulan Ramadhan dengan penuh iman dan mengharapkan pahala, Allah akan mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” dan “Barangsiapa memenuhi malam Lailatul Qadr dengan bersolat (sunat) disebabkan iman dan mencari pahala, Allah akan mengampunkan kesemua dosanya yang telah lalu.”


Akan tetapi sekiranya disyariatkan untuk mengkhususkan malam pertengahan bulan Sya'aban, atau malam Jumaat pertama di bulan Rejab, atau di malam Isra’ dan Mi’raj, dengan meraikannya ataupun dengan melakukan amalan ibadah yang khusus, maka sudah tentu Rasulullah S.A.W telah mengajar umatnya melakukannya, dan Baginda S.A.W sendiri melakukannya. Jika pernah berlaku sedemikian, para Sahabat Baginda R.A pasti akan memperturunkan amalan-amalan tersebut kepada umat terkemudian; tidak mungkin mereka menyembunyikan amalan daripada umat terkemudian, kerana mereka adalah generasi yang terbaik dan yang paling amanah selepas Rasulullah S.A.W, Radhiallahu anhum, dan semoga Allah merahmati kesemua sahabat Rasulullah S.A.W.


Sekarang kita telah membaca sendiri kata-kata ulama yang dipetik di atas bahawa tidak ada riwayat daripada Rasulullah S.A.W mahupun Para Sahabat R.A berkenaan kelebihan malam Jumaat pertama bulan Rejab, atau malam pertengahan bulan Sya'aban. Maka kita tahu bahawa menyambut hari tersebut adalah satu perkara baru yang dimasukkan ke dalam Islam, dan mengkhususkan waktu-waktu ini untuk amalan ibadah tertentu adalah bid’ah yang tercela.


Samalah juga dengan sambutan malam ke dua puluh tujuh bulan Rejab, yang mana disangkakan oleh sesetengah orang sebagai malam Isra’ dan Mi’raj; tidak dibenarkan mengkhususkan hari tersebut untuk amalan tertentu, atau meraikan tarikh tersebut, berdasarkan dalil yang dipetik di atas. Ini sekiranya tarikh sebenar Isra’ and Mi’raj telah diketahui, maka bagaimana sekiranya pandangan ulama yang benar adalah tarikh sebanar Isra’ and Mi’raj tidak diketahui! Pandangan yang mengatakan ianya berlaku pada malam ke dua puluh tujuh di bulan Rejab adalah riwayat yang palsu yang tiada asas dalam hadis-hadis sahih. Baik sekiranya seseorang itu berkata: “Perkara paling baik adalah yang mengikut jalan para salaf, dan perkara paling buruk adalah perkara yang diada-adakan.”


Kita memohon agar Allah membantu kita dan seluruh umat Islam untuk berpegang teguh kepada Sunnah dan menjauhi segala yang bertentangan dengannya, kerana Dialah yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Semoga Allah merahmati Pesuruh dan UtusanNya, Nabi kita Muhammad S.A.W, serta kesemua ahli keluarga dan Para Sahabat Baginda S.A.W.

Wallahu'alam..

-ibnumustafa-

Monday, July 4, 2011

Tarikh sebenar berlaku Israk dan Mikraj

Melalui tinjauan sejarah waktu, tarikh terjadinya Israk dan Mikraj masih diperdebatkan oleh para ulama'. Bukan sahaja tarikh/harinya, berkenaan bulannya juga masih diperselisihkan sehingga kini. Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani Rahimahullah telah memaparkan perselisihan tersebut di dalam kitabnya, Fathul Bari, 7/203 sehingga mencapai lebih dari sepuluh pendapat. Ada yang berpendapat bahawa Israk dan Mikraj terjadi pada bulan Ramadhan, Syawwal, Rabi’ul Awwal, Rabi’ul Akhir dan seterusnya. (Lihat: Abu Ubaidah Yusuf As-Sidawi dan Abu ‘Abdillah Syahrul Fatwa, Ensiklopedi Amalan Sunnah Di Bulan Hijriyah, m/s. 62, Pustaka Darul Ilmi, Cet. 1, Sya’ban 1429H/Ogos 2008M, Bogor)

Al-Imam Ibnu Katsir Rahimahullah menyebutkan dari Az-Zuhri dan Urwah bahawa Israk dan Mikraj berlaku setahun sebelum Nabi S.A.W berhijrah ke Kota Madinah, iaitu bulan Rabi’ul Awwal. Ada pun pendapat As-Suddi, waktunya adalah enam belas bulan sebelum hijrah, iaitu bulan Dzulqa’edah. Al-Hafiz Abdul Ghani As-Surur Al-Maqdisi membawakan dalam sirahnya hadith yang tidak sahih sanadnya tentang waktu Israk dan Mikraj pada tanggal 27 Rejab. Dan sebahagian manusia menyangka bahawa Israk dan Mikraj terjadi pada malam Jumaat pertama bulan Rejab, iaitu malam Raghaib, iaitu yang ditunaikan pada waktu tersebut sebuah solat yang masyhur tetapi tidak ada asalnya. (Al-Bidayah wan Nihayah, 3/108-109, Cet. Maktabah al-Ma’arif. Lihat: Abu Ubaidah Yusuf as-Sidawi dan Abu ‘Abdillah Syahrul Fatwa, Ensiklopedi Amalan Sunnah Di Bulan Hijriyah, m/s. 62, Pustaka Darul Ilmi, Cet. 1, Sya’ban 1429H/Ogos 2008M, Bogor)


Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah Rahimahullah berkata:


Tidak ada dalil yang sahih yang menetapkan bulan atau pun tarikhnya, seluruh nukilan tersebut munqathi’ (terputus) dan berbeza-beza. (Ibnul Qayyim, Za’adul Ma’ad, 1/57. Lihat: Abu Ubaidah Yusuf as-Sidawi dan Abu ‘Abdillah Syahrul Fatwa, Ensiklopedi Amalan Sunnah Di Bulan Hijriyah, m/s. 62, Pustaka Darul Ilmi, Cet. 1, Sya’ban 1429H/Ogos 2008M, Bogor)


Imam Abu Syamah Rahimahullah menegaskan:


Sebahagian tukang cerita menyebutkan bahawa Israk dan Mikraj berlaku pada bulan Rejab. Perkara tersebut menurut ahli hadith merupakan kedustaan yang amat nyata. (Al-Ba’its ‘ala Inkar Bida’ wal Hawadith, m/s. 171. Lihat: Abu Ubaidah Yusuf As-Sidawi dan Abu ‘Abdillah Syahrul Fatwa, Ensiklopedi Amalan Sunnah Di Bulan Hijriyah, m/s. 63, Pustaka Darul Ilmi, Cet. 1, Sya’aban 1429H/Ogos 2008M, Bogor)


Kesimpulannya:


Tiada tarikh tertentu yang muktamad bila terjadinya Israk dan Mikraj. Dengan itu, tarikh berlakunya Israk dan Mikraj adalah tidak diketahui dan masih diperbahaskan hingga ke hari ini..


Wallahu'alam~

-ibnumustafa-