PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Wednesday, August 24, 2011

Panduan Beriktikaf Di Bulan Ramadhan

Di antara rangkaian ibadah dalam bulan suci Ramadhan yang sangat dipelihara sekaligus diperintahkan (dianjurkan ) oleh Rasulullah S.A.W adalah iktikaf. Setiap muslim dianjurkan (disunatkan) untuk beriktikaf di masjid, terutama pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan.

Iktikaf merupakan pendekatan ibadat yang sangat efektif bagi muslim dalam memelihara keIslamannya khususnya dalam era globalisasi, materialisasi dan informasi masa kini.

Definisi Iktikaf

Para ulama' mendefinisikan iktikaf iaitu berdiam atau tinggal di masjid dengan adab-adab tertentu, pada masa tertentu dengan niat ibadah dan untuk mendekatkan kepada Allah S.W.T.

Ibnu Hazm berkata:

"Iktikaf adalah berdiam di dalam masjid dengan niat mendekatkan diri (taqorrub) kepada Allah S.W.T pada waktu tertentu pada siang atau malam hari." - al Muhalla V/179.

Hukum Iktikaf

Para ulama' telah berijmak bahawa iktikaf khususnya 10 hari terakhir bulan Ramadhan merupakan suatu ibadah yang disyariat dan disunatkan oleh Rasulullah S.A.W.

Rasulullah S.A.W sendiri sentiasa beriktikaf pada bulan Ramadhan selama 10 hari.

Aisyah, Ibnu Umar dan Anas R.A meriwayatkan:

"Adalah Rasulullah S.A.W beriktikaf pada 10 hari terakhir bulan Ramadan" - Hadith Riwayat Bukhari & Muslim.

Hal ini dilakukan oleh Baginda S.A.W hingga wafat, kecuali pada tahun wafatnya, Baginda S.A.W beriktikaf selama 20 hari.

Demikian halnya para sahabat dan isteri Baginda S.A.W sentiasa melaksanakan ibadah yang amat agung ini. Sehubungan itu, Imam Ahmad berkata:

"Sepengetahuan saya tak seorang pun ulama' mengatakan iktikaf bukan sunat."

Fadhilat (keutamaan) iktikaf

Abu Daud pernah bertanya kepada Imam Ahmad:

"Tahukah anda hadith yang menunjukkan keutamaan iktikaf?"

Imam Ahmad menjawab:

"Tidak, kecuali ia hadith lemah (daif)."

Namun demikian tidaklah mengurangi nilai ibadah iktikaf itu sendiri sebagai taqorrub kepada Allah S.W.T dan cukuplah keuatamaannya bahawa Rasulullah S.A.W, para sahabat, para isteri Rasulullah S.A.W dan para ulama' salafus soleh sentiasa melakukan ibadah ini.

Jenis-jenis iktikaf

Iktikaf yang disyariatkan ada dua bentuk; pertama sunat, dan kedua wajib.

Iktikaf sunat iaitu yang dilakukan secara sukarela semata-mata untuk bertaqorrub kepada Allah S.W.T seperti; iktikaf 10 hari terakhir bulan Ramadhan.

Dan iktikaf yang wajib iaitu yang didahului dengan nazar (janji), seperti:

"Kalau Allah S.W.T menyembuhkan penyakitku ini, maka aku akan beriktikaf."

Waktu iktikaf

Iktikaf wajib tergantung pada berapa lama waktu yang dinazarkan, sedangkan iktikaf sunat tidak ada batasan waktu tertentu, bila-bila saja pada malam atau siang hari, waktunya boleh lama atau singkat.

Ya'la bin Umayyah berkata:

"Sesungguhnya aku berdiam satu jam di masjid tak lain hanya untuk beriktikaf."

Syarat-syarat iktikaf

Orang yang iktikaf harus memenuhi kriteria-kriteria sebagai berikut:

1. Muslim
2. Berakal
3. Suci dari janabah (junub), haid dan nifas.

Oleh kerana itu, iktikaf tidak diperbolehkan bagi orang kafir, anak yang belum mumaiyiz (mampu membezakan), orang junub, wanita haid dan nifas.

Rukun-rukun iktikaf

1. Niat - Al-Quran, Surah Al-Bayyinah; ayat 5, Hadith Riwayat Bukhari & Muslim tentang niat.
2. Berdiam di masjid - Al-Quran, Surah Al-Baqarah; ayat 187.

Di sini ada dua pendapat ulama' tentang masjid tempat iktikaf. Sebahagian ulama' membolehkan iktikaf di setiap masjid yang diguna untuk solat berjemaah lima waktu.

Hal itu dalam rangka menghindari seringnya keluar masjid dan untuk menjaga pelaksanaan solat jemaah setiap waktu.

Ulama' lain mensyaratkan agar iktikaf itu dilaksanakan di masjid yang diguna untuk membuat solat Jumaat, sehingga orang yang beriktikaf tidak perlu meninggalkan tempat iktikafnya menuju masjid lain untuk solat Jumaat.

Pendapat ini dikuatkan oleh para ulama' Syafiiyah bahawa yang afdhal iaitu iktikaf di masjid jami', kerana Rasulullah S.A.W iktikaf di masjid jami'. Lebih afdal di tiga masjid; Masjid al-Haram, Masjid an-Nabawi dan Masjid al-Aqsa.

Awal dan akhir iktikaf

Khusus iktikaf Ramadhan waktunya dimulai sebelum terbenam matahari malam ke-21. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W:

"Barang siapa yang ingin beriktikaf denganku, hendaklah ia beriktikaf pada 10 hari terakhir Ramadhan." - Hadith Riwayat Bukhari. 10 (sepuluh) di sini adalah jumlah malam, sedangkan malam pertama dari sepuluh itu adalah malam ke-21 atau 20.

Adapun waktu keluarnya atau berakhirnya, kalau iktikaf dilakukan 10 malam terakhir, iaitu setelah terbenam matahari, hari terakhir bulan Ramadhan.

Akan tetapi beberapa kalangan ulama' mengatakan yang lebih mustahab (disenangi) adalah menuggu sampai solat hari raya.

Hal-hal yang disunatkan waktu beriktikaf

Disunatkan agar orang yang beriktikaf memperbanyak ibadah untuk bertaqorrub kepada Allah S.W.T, seperti solat, membaca al-Quran, tasbih, tahmid, tahlil, takbir, istighfar, selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W, doa dan sebagainya serta termasuk juga di dalamnya pengajian, ceramah, majlis ta'lim, diskusi ilmiah, mentelaah buku tafsir, hadith, sirah dan sebagainya.

Hal-hal yang diperbolehkan bagi mutakif (orang yang beriktikaf)

1. Keluar dari tempat iktikaf untuk menghantar isteri, sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W terhadap isterinya Sofiyah R.A. - Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.
2. Menyisir atau mencukur rambut, memotong kuku, membersihkan tubuh dari kotoran dan bau badan.
3. Keluar dari tempat keperluan yang harus dipenuhi, seperti membuang air besar dan kecil, makan, minum (jika tidak ada yang menghantarkannya), dan segala sesuatu yang tidak mungkin dilakukan di masjid, tetapi ia harus segera kembali setelah menyelesaikan keperluannya .
4. Makan, minum, dan tidur di masjid dengan sentiasa menjaga kesucian dan kebersihan masjid.

Hal-hal yang membatalkan iktikaf

1. Meninggalkan masjid dengan sengaja tanpa keperluan walaupun sebentar, kerana meninggalkan salah satu rukun iktikaf iaitu berdiam di masjid.
2. Murtad ( keluar dari agama Islam )
3. Hilangnya akal, kerana gila atau mabuk
4. Haid atau Nifas
5. Berjimak (bersetubuh dengan isteri) - Al-Quran, Surah Al-Baqarah; ayat 187, akan tetapi memegang tanpa syahwat, tidak apa-apa sebagaimana yang dilakukan Nabi dengan isteri- isterinya.
6. Pergi solat Jumaat (bagi mereka yang membolehkan iktikaf di surau yang tidak digunapakai untuk solat Jumaat).

Wallahu'alam..

-ibnumustafa-

Tuesday, August 23, 2011

Panduan Ramadhan Bagi Saudara Baru

Bagi golongan yang baru memeluk Islam, pertama kali mengerjakan ibadat puasa mungkin satu pengalaman yang agak berbeza dengan kehidupan terdahulu.

Mungkin juga ada di kalangan saudara baru beranggapan ibadat berpuasa ini sesuatu yang agak 'berat' untuk dikerjakan.

Saudara baru harus memahami bahawa puasa merupakan satu ibadah yang menunjukkan tanda ketaatan serta menambahkan ketaqwaan kepada Allah S.W.T.

Golongan yang baru memeluk Islam tidak seharusnya merasakan ibadat puasa ini 'suatu paksaan' dan membebankan. Sebaliknya, apabila pertama kali mengerjakan puasa, mereka boleh melakukannya mengikut kemampuan masing-masing.

'Lakukan yang terbaik berdasarkan kemampuan'

Perkara ini berdasarkan firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Baqarah, ayat 185 yang bermaksud;

"(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Qur'an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil). Kerana itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa di bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur."

Apa yang dimaksudkan dalam firman Allah S.W.T di atas ialah 'do your best' atau lakukan yang terbaik mengikut kemampuan masing-masing. Sewaktu bersahur, mungkin ada di kalangan saudara baru yang tidak biasa makan makanan yang 'berat'. Bagaimanapun, sekurang-kurangnya minum seteguk air, susu atau kurma sudah memadai kerana dalam bersahur itu ada barakahnya.

Keupayaan berpuasa bergantung kepada kemampuan seseorang. Jika dalam pukul 12 tengahari terasa lapar dan tidak boleh meneruskan puasa, dibolehkan berbuka. Jika keesokannya juga tidak dapat menahan puasa, dia juga boleh berbuka. Begitu juga dengan hari seterusnya.

Apa yang penting, saudara baru ini perlu memahami tuntutan berpuasa ini satu kewajipan dan dilakukan kerana Allah S.W.T.

Dalam minggu kedua berpuasa, mungkin puasa tersebut boleh dilanjutkan sehingga ke pukul 2 petang. Bagi saudara baru, mungkin tahun pertama tidak boleh berpuasa penuh, tapi apabila tahun kedua berpuasa, dalam minggu kedua atau ketiga bermungkinan individu tersebut sudah dapat berpuasa sepenuhnya.

Perbanyakkan amalan menjelang sepuluh malam terakhir Ramadhan

Bagi individu yang baru memeluk Islam mungkin menganggap amalan solat sunat Tarawih juga agak sukar untuk dikerjakan.

Dalam hal ini, amalan solat sunat ini boleh dilakukan secara berjemaah atau bersendirian. Bagi saudara baru, mereka boleh melakukannya bersendirian di rumah.

Sementara itu, mengenai kelebihan sepuluh malam terakhir, budaya masyarakat Malaysia hari ini dilihat kurang menyemarakkan sepuluh malam terakhir Ramadhan ini.

Kita menyatakan kelebihan sepuluh malam terakhir, tetapi kita sendiri tidak menggunakan malam ini untuk amal ibadat sepenuhnya, sebaliknya sibuk dengan perkara lain seperti membeli belah atau membuat kuih raya.

Jadi, apabila kita menyuruh mereka yang baru memeluk Islam ini mempraktikkan sepuluh malam terakhir ini atau 'mengejar' malam Lailatul Qadar, mungkin mereka berasa pelik. Untuk itu kita harus mengubah sikap dan perbanyakkanlah amalan-amalan sunat.

Justeru, formula bagi saudara baru ini apabila melalui sepuluh malam terakhir ini juga tetap sama iaitu berdasarkan kemampuan masing-masing. Jika tidak mampu untuk melakukan solat-solat sunat, mereka boleh melakukan amalan lain seperti berzikir dan sebagainya.

Wallahu'alam..

-ibnumustafa-

Monday, August 22, 2011

Pemakaian Hijab Di Bulan Ramadhan

PERKARA yang perlu diberi perhatian oleh setiap muslimah, adalah supaya ada di dalam hatinya rasa takut jika ibadah puasanya tidak diterima di sisi Allah S.W.T, dengan mentaati segala titah perintah Allah S.W.T dengan menyembah dan tunduk kepada-Nya dan bukan 'menyembah' bulan Ramadhan.

Memakai hijab (tudung kepala) khusus di bulan Ramadhan adalah antara perkara atau amalan yang baik yang akan diberi ganjaran pahala yang besar, tetapi bagaimana pula di luar Ramadhan?


Jadikan pemakaian hijab di bulan Ramadhan sebagai permulaan perubahan dalam diri. Ketahuilah bahawa memakai hijab adalah perintah secara langsung daripada Allah S.W.T, bukannya cadangan Nabi Muhammad S.A.W atau pandangan ulama' fiqh. Ia wajib dipakai bukan sahaja dalam bulan Ramadhan, malah sepanjang hidup hanya di depan lelaki ajnabi atau wanita kafir, sementara bersama suami, ayah, ayah mertua, adik-beradik lelaki atau mahram adalah tidak wajib.


Mohonlah kepada Allah S.W.T dalam Ramadhan, agar dicampakkan dalam hati rasa tanggungjawab untuk memakai hijab, rujuklah ayat 30-31; Surah an-Nur (24) dan ayat 59; Surah al-Ahzab (33) dan mentelaah kitab agama yang membicarakan persoalan hikmah Allah S.W.T mewajibkan pemakaian hijab ke atas muslimah.


Mohonlah keampunan Allah S.W.T terhadap kesalahan tidak memakai hijab sebelum Ramadhan pada tahun ini. Ramadhan memberi peluang seluas-luasnya untuk kembalikan hamba kepada Tuhan. Rasakanlah dalam diri tanggungan dosa-dosa besar kerana tidak berhijab yang merupakan kesalahan amat besar yang hanya boleh ditebus dengan taubat kepada Allah S.W.T.


Akhir sekali, perbetulkan niat untuk menjadi hamba Allah S.W.T yang baik, kerana kita tidak tahu, apakah kita boleh bertemu dengan Ramadhan pada tahun hadapan. Sehubungan itu Baginda S.A.W bersabda:


"Kalaulah hamba-hamba Allah S.W.T tahu apa yang ada dalam bulan Ramadhan, mereka akan bercita-cita agar sepanjang tahun itu dijadikan Allah S.W.T sebagai bulan Ramadhan."


Sama-samalah kita merenung agar Ramadhan tahun ini adalah yang terbaik yang pernah kita lalui.


Wallahu'alam..

-ibnumustafa-

Perbanyakkan Amalan, Perkasakan Diri Di Dalam Bulan Ramadhan Al-Mubarak

RAMADHAN adalah antara bulan yang mulia, kerana terdapat di dalamnya beberapa pengajaran yang perlu diperhatikan oleh setiap muslim bagi mempertingkat hubungan dan memperkasa diri sebagai muslim sejati di sisi Allah S.W.T seperti berlakunya perang Badar Kubra yang terjadi pada bulan Ramadhan.

Ini membuktikan bahawa bulan Ramadhan khususnya dari pelaksanaan ibadah puasa bukan penghalang untuk mencapai matlamat kejayaan dari apa yang dirancang oleh mereka yang mahukan kejayaan.


Ramadhan juga memberi peluang kepada hamba-hamba Allah untuk mendapatkan sebanyak mungkin koleksi pahala yang tidak ada pada bulan-bulan lain.


Justeru, setiap kali menjalani Ramadhan, amat malang jika kita tidak merebut peluang untuk menambahkan ketaqwaan, kerana matlamat berpuasa adalah untuk menjadi golongan hamba yang bertaqwa.


Apa sebenar definisi taqwa? Perkara ini telah dihurai oleh Saidina Ali Bin Abi Talib K.W. Taqwa itu ialah takut kepada Allah Yang Maha Mulia, beramal dengan al-Quran, redha dengan sedikit yang ada pada diri dan bersiap untuk bertemu dengan Allah S.W.T.


Motivasi Nabi S.A.W menjelang Ramadhan

Salman al-Farisi berkata, bahawa baginda Rasulullah S.A.W berkhutbah di akhir bulan Sya'aban, sabda Baginda S.A.W:

"Wahai manusia! Sesungguhnya kamu dibayangi dengan satu bulan yang agung lagi diberkati, iaitu bulan yang ada di dalamnya satu malam yang lebih baik dari seribu bulan, bulan yang diwajibkan Allah puasa fardhu pada siang hari, amalan sunnat pada malam-malamnya.

Sesiapa yang melakukan sesuatu kebaikan daripada amal-amal kebajikan dan kebaikan, seolah-olah dia telah melakukan satu perkara fardhu, sementara yang melakukan satu perkara fardhu (pada bulan Ramadhan), seolah-olah dia telah melakukan 70 perkara fardhu."

Ramadhan adalah bulan kesabaran, dan pahala sabar itu akan membawa ke syurga. Ia juga bulan bertolak ansur, berkasih sayang, bulan yang menambahkan rezeki golongan mu'min.

Sesiapa yang memberi dan menyediakan juadah berbuka puasa kepada orang yang berpuasa, baginya keampunan seluruh dosa-dosa yang pernah dilakukannya serta pelepasan dari api neraka. Baginya juga pahala yang tidak berkurangan dari orang yang berpuasa.

Para sahabat bertanya: "Sebenarnya kami tidak ada apa yang boleh dijadikan juadah berbuka puasa untuk yang berpuasa, bagaimana kami boleh meraih pahala?"

Baginda S.A.W menjawab: "Allah tetap akan memberi pahala menyediakan juadah berbuka puasa kepada orang yang memberi walaupun sebiji tamar, atau seteguk air atau setitis susu untuk orang berpuasa."

Ini kerana sabda Baginda S.A.W, pada 10 pertama Ramadhan adalah rahmat, 10 pertengahan Ramadhan disediakan keampunan dan 10 akhir Ramadhan adalah pelepasan daripada api neraka.

Justeru, tegas Baginda S.A.W, perbanyakkan pada bulan Ramadhan dengan empat perkara:

"Dua perkara daripadanya adalah untuk mendapatkan keredaan Tuhan kamu dan dua perkara lagi tidak boleh tidak, kamu mesti melakukannya.

Dua perkara untuk mendapatkan Tuhan kamu itu adalah dengan mengucap syahadat La Ilaha Illallah (tiada Tuhan melainkan Allah) dan memperbanyak Istighfar.

Sementara dua perkara yang mesti kamu lakukan adalah memohon kepada Allah untuk memasuki syurga-Nya dan minta dijauhkan daripada memasuki neraka-Nya.

Sesiapa yang memberi minum kepada orang yang berpuasa, maka Allah akan memberi minum kepadanya dari telagaku, di mana dia tidak akan merasa dahaga selepas meminumnya hingga dimasukkan dalam syurga." - Hadith Riwayat Ibnu Khuzaimah dalam kitab sahihnya, al-Baihaqi dan Ibnu Hibban.

Renung-renungkanlah. Selamat beramal..

-ibnumustafa-

Sunday, August 21, 2011

Puasa Kembalikan Manusia Ke Alam Fitrah

Antara sedar dengan tidak kita telah memasuki fasa ke tiga berpuasa dalam bulan Ramadhan yang mulia yang jatuh pada bulan kemerdekaan ini. Sesungguhnya pada bulan Ramadhan inilah kita akan kembali kepada alam fitrah yang semulajadi jika kita puasa mengikut acuan sunnah Rasulullah S.A.W.

Pada ketika kita mengamalkan puasa itulah kita akan melakukan beberapa ibadah yang menyesuaikan diri kita dengan alam kejadian kita.

Amalan puasa yang bermula dengan sahur waktu malam / awal pagi dan berbuka waktu Maghribnya memakan masa lebih kurang tiga belas jam.

Masa itulah yang sebenarnya diperlukan oleh tubuh untuk menghadam makanan keseluruhannya. Makanan yang masuk ke dalam perut itu akan dihadam menjadi sel, darah, otot dan lain-lain.

Inilah sepatutnya kita lakukan hari-hari tetapi dalam keadaan sebenarnya dalam tabiat kita makan sehari-hari kita makan banyak kali.

“Sarapan, makan pukul sepuluh, makan tengah hari, makan dan minum teh petang dan makan malam.”

Di mana belum pun sempat proses penghadaman berlaku sepenuhnya makanan dimasukkan ke dalam perut terus menerus sehingga proses penghadaman terganggu.

Ini menyebabkan makanan yang tidak sempat dihadam akan diketepikan sahaja dan membusuk di dalam perut dan usus. Gas pun terkumpul dan gas ini menyebabkan kita sakit perut, sakit kepala dan bila gas dan toksid naik ke permukaan kulit di muka maka jerawat timbul, kelumumur dan macam-macam lagi.

Maka puasa di siang hari sebenarnya kembalikan kita ke alam fitrah di mana kita telah mendisiplin diri kita makan ikut fitrah dan ini sesuai dengan sains perubatan.

Ketika berbuka, hendaknya jangan kita makan banyak cukup sekadar minum segelas air dan makan kuih sedikit atau makan sedikit kurma.

Kemudian kita tunaikan solat Maghrib. Setelah itu minumlah sedikit demi sedikit setiap setengah jam hingga waktu jam sepuluh malam barulah makan yang berat sedikit.

Kalau kita terus makan dengan banyaknya ketika berbuka ianya akan menyebabkan perut menjadi terkejut dan mengalami sakit. Bila kita hendak memulakan perjalanan dengan kenderaan kita tidak memulakan enjin dengan kuat tapi dalam keadaan perlahan-lahan sebelum melajukan kenderaan. Begitu juga dengan tubuh kita.

Begitu juga ketika kita bersahur jangan makan banyak sangat. Ketika kita puasa disiang hari tubuh kita akan menghadam makanan yang kita makan ketika bersahur.

Kalau kita makan banyak maka banyaklah kerja alat penghadaman kita maka kita akan menjadi tersangat letih kerana kekuatan tenaga akan tertumpu pada penghadaman sahaja. Sedangkan di siang hari kita perlu juga terus bekerja mencari nafkah untuk diri dan keluarga.

Solat Fardhu

Dan sudah tentu kita mesti menunaikan solat-solat fardhu yang lima waktu. Kalau pada hari dan bulan lain dari Ramadhan kita lakukan solat tapi tidak regular maka pada bulan Ramadhan lakukanlah dengan penuh semangat tanpa ponteng.

Pada orang yang tidak solat dia tetap akan membasuh muka dan tangan sekejap-kejap untuk merasa nyaman bekerja maka waktu solat sudah tentu kita akan membasuh muka dan lain-lain kawasan tubuh kita; maka dengan sendirinya kita telah merasa nyaman, bersih dan membersihkan diri kita dari dihinggapi jutaan kuman pada kulit kita yang terdedah. Tambahkan pahala kita dengan solat-solat sunat rawatib.

Solat Tarawih

Pada malam harinya kita solat tarawih atau nama sebenarnya solatullail. Pada siang hari dengan kita berpuasa maka perjalanan darah agak 'slow' sedikit maka dengan kita solat tarawih kelancaran perjalanan darah menjadi laju sedikit dan kembalikan kita kepada edaran darah yang normal.

Sesungguhnya solat tarawih sepatutnya dilakukan setiap hari, tarawih pada bulan Ramadhan adalah sebagai latihan kepada bulan-bulan yang lain.

Mengaji / Bertadarus Al-Quran

Kita digalakkan membaca al-Quran pada setiap malam Ramadhan sebagai latihan kepada membaca al-Quran setiap hari di bulan-bulan selain Ramadhan.

Bila kita membaca al-Quran kita mencipta gelombang suara, secara automatik kita mencas kuasa elektrik-magnetik di dalam diri kita, mata kita bergerak, otot-otot muka bergerak, leher kita bergerak, telinga bergerak untuk mendengar bacaan kita itu, 'MAKA JADILAH KEPALA KITA SEPERTI KOTAK SUIS ELEKTRIK' atau seperti komputer yang diberi isiannya.

Inilah satu daripada kebaikan membaca al-Quran setiap hari, tetapi hari ini kita perhatikan amalan bacaan al-Quran tidak lagi menjadi amalan seharian umat Islam. Kalau ada pun mereka menyimpan kaset atau CD al-Quran sahaja.

Kalau di rumah kita baca dengan anggota keluarga kita dan ini akan rapatkan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak. Di peringkat masyarakat membaca atau bertadarus di surau dan masjid akan merapatkan ukhuwah Islamiyah di kalangan penduduk.

Orang yang puasa dengan sendirinya mendisiplinkan dirinya dengan tidak makan dan minum di siang hari, menjauhkan perkara maksiat dan lain-lain perkara mungkar.

Dan dia bersama-sama jutaan umat Islam seluruh dunia melakukan puasa ini. Gambarkan keadaan suasana puasa, buka, sahur dan melakukan ibadah solat tarawih dan tadarus al-Quran di seluruh dunia oleh umat Islam - alangkah indahnya suasana ini.

Maka sesungguhnya dengan ibadah puasa manusia telah kembalikan dirinya ke alam fitrah.

-ibnumustafa-

Thursday, August 18, 2011

Ramadhan dan Kematian..

Ramadhan dihayati lagi. Alhamdulillah kita sempat menyapa dan mendakapinya penuh erat. Antara sedar dan tidak sudah separuh bulan ia berlalu. Bulan kurniaan Ilahi maha hebat, cukup sempurna, menyejukkan gelisah, mententeramkan resah..

Awalannya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirannya bebas dari api neraka. Masya-Allah..

Namun, ini mungkin Ramadhan yang terakhir buat kita. Penghujung nyawa adalah rahsia. Renungilah..

Berapa ramai anggota keluarga terdekat dan teman rakan, yang bersama kita Ramadhan setahun lalu, kini tiada lagi, tidak sempat untuk menikmati ujian dan menjalani tarbiyah dalam madrasah penuh pengorbanan ini..

Justeru jangan terleka. Peluklah dengan penuh kecintaan - setelah rindu yang amat sangat terlerai sudah - Ramadhan yang sarat dengan keberkatan ini. Pintu-pintu syurga terbuka, pintu-pintu neraka ditutup, syaitan terbelenggu. Hamparan ketaqwaan dibentang seluas-luasnya..

Detik nafasmu adalah ibadah. Tidur rehatmu adalah ibadah. Apa lagi dengan bertadarus, menyantuni anak yatim, menyempurnakan silaturrahim, membela golongan tertindas, bersedekah, memuliakan ibu bapa, mengasihi orang tua, membantu golongan tidak berupaya, menyediakan bahan berbuka, selain berdoa dan memanjangkan sujud, serta menghidupkan malam dengan munajat dan taubat selepas bertarawih, sementara menanti malam seribu bulan..

Menghampiri Ramadhan kerap mengingatkan saya tentang pemergian secara tiba-tiba buat selama-lamanya, jantung hati kami sekeluarga, Kanda Hj Ahmad Fuad Bin Hj Mustafa, pada malam 19 Ramadhan 1421 bersamaan 15 Disember 2000, sebelas tahun lalu. Dalam usia 27 tahun, kematian kanda tercinta, anak lelaki pertama harapan ayah dan ibu, cukup meremukkan hati; mencampakkan saya, adik-beradik, ayah & ibu terutamanya dan saudara mara yang lain ke penjuru satu dunia yang berbeza..

Ternyata kasih sayang buat saudara darah daging sendiri begitu luar biasa, tertanam jauh di dalam kalbu, menyelinap setiap denyut nadi..

Ya, Ramadhan dan kematian menjadi cukup intim, saling mengingatkan, walaupun selalunya peringatan itu mudah dilupakan. Khabar kematian sering mengejutkan. Debarannya keras sekali..

Hentakannya boleh memutuskan angan-angan. Sayang, insan selalu alpa. Kematian saudara kandung yang belum berkeluarga, yang masih muda, apa lagi yang tidak didahului dengan sakit memanjang, lebih "istimewa" berbanding kehilangan ibu atau ayah, atau keluarga terdekat lainnya..

Ia memang menyesakkan nafas, membuntukan fikir, namun secara misteri mudah menyuntik rasa sedar-insaf bahawa panggilan Ilahi bisa datang secara tiba-tiba, tanpa bertanyakan apakah persiapan sudah beres atau masih khayal dengan hal duniawi yang tidak berkesudahan..

Benar sekali Sabda Nabi S.A.W, perbanyakkanlah mengingati sesuatu yang dapat meragut kelazatan dunia, iaitu mati. Rasulullah S.A.W pernah ditanya tentang orang Mu'min yang paling mulia, maka jawabnya adalah orang yang paling baik akhlaknya..

Ditanya lagi, orang Mu'min mana yang paling beruntung atau cerdas, maka jawab Baginda S.A.W, mereka yang paling banyak mengingati mati dan mempunyai bekal yang banyak untuk menghadapi kematian..

Ramadhan menjanjikan gandaan pahala, menghaluskan jiwa dan mendorong untuk melakukan amalan kebajikan. Manakala mengingati kematian menyebabkan seseorang menyegerakan taubat, rendah hati dan rajin beribadah. Namun Ramadhan bukan pula membungkus seseorang dengan aktiviti individualistik semata..

Khidmat buat masyarakat, menarik tangan masyarakat bawahan yang tertekan, terutama dalam kesempitan hidup yang menggigit ini; semuanya perlu ditingkatkan setulusnya, sebagai satu persembahan agung buat Ilahi Rabbul A'lamin. Sesungguhnya Allah SWT amat mencintai makhluk yang paling penyayang pada makhluk yang lain, yang paling bersungguh-sungguh dalam memenuhi keperluannya..

Usah terlepas lagi daripada merangkul kenikmatan Ramadhan yang sangat istimewa itu. Pesanku buat diri yang sangat mudah terleka ini, juga kita semua.. walaupun kanda kerap mengejutkannya..

Al-Fatihah buat kedua orang kanda & kekanda tercinta

Hj Ahmad Fuad Bin Hj Mustafa

19 Ramadhan 1421H / 15 Disember 2000

&

Hjh Latifah Binti Hj Mustafa

25 Jamadil Awal 1421H / 26 Ogos 2000

Kalian tetap di jiwa kami selamanya~

-ibnumustafa-

Ramadhan Menggamit Keinsafan, Mengisi Bekalan Iman Dan Taqwa..

Ramadhan bulan ajaib sedang dilalui. Keinginan untuk mendekatkan diri pada-Nya serta merta bertambah. Sebuah tarikan yang amat kuat. Kita ingin menjadi manusia baru melalui proses The Power of 30 days.

Bulan retreat, segala perlakuan biasa kita, kita tinggalkan pada genap 30 Sya'aban yang lalu, melangkah masuk ke Bulan penuh keberkatan, Ramadhan al-Kareem dengan program komprehensif, bertubi-tubi.


Hari biasa, jadual sarapan, makan tengahari dan malam, kini kita berlapar. Haus.


Lintasan fikiran kita terus ke Padang Mahsyar dengan segala kehausan dan kelaparan, lama dan berat. Tidak tertanggung.


Bukankah, timbul keinsafan untuk kita menjadi manusia baik yang tidak akan kelak menderita tanpa sesiapa menjenguk menghulur segelas Teh O Ais Limau di Perhimpunan Pembalasan yang ngeri itu.


Perut yang kita rajakan selama ini mengempis, membakar lemak-lemak yang telah kita kumpulkan setahun lamanya, lalu tidakkah hati tertumpah kepada para fuqara', anak-anak yatim dan mereka yang melarat, di mana kelaparan adalah hiasan hidup mereka seharian. Bukan seperti kita yang sering bermewah-mewahan.


Hati kita menjadi lebih syahdu. Keinsanan seorang insan, dan keihsanan seharusnya segera memancar, lalu anda menjadi pemurah. Bukankah itu selanjutnya menambahkan pertautan kasih sesama insan sharing is caring?


Paling tidak, anda hulurkan semangkuk kuah, pada jiran anda, sabda Rasulullah S.A.W.


Kita dahulukan dengan sahur. Kita dipaksa, ya, dipaksa 30 hari dalam setahun untuk bangun pada waktu yang sukar, tapi penuh berkat. Waktu Tuhan menjanjikan pengampunan dan kurnia, waktu si mu'min bertekuk;


“..pada waktu Sahur, mereka memohon keampunan...” - Surah az-Zaariyat; ayat 18.

Al-Quran? Ia email Tuhan untuk kita. Tapi kesibukan kita, atau sebenarnya sikap tak endah kita, kita lupa membaca warkah yang mahal itu. Kita, kita gelarkan diri kita para pejuang Islam, juga lupa mentelaahnya.. ah? Ramadhan merayu kita untuk berfikir semula tentang Quran dan kita. Nuzul al-Quran yang baru berlalu beberapa hari yang lalu apakah kita benar-benar menghayatinya? atau sekadar meraikan hari cuti seperti cuti-cuti umum yang lain.

Dalam qiam Tarawih yang indah dan dalam sayup suara di mana-mana, alunan Quran membawa kita membacanya dari lembar ke lembar, sehingga tamat.

Suluhan petunjuknya kita sematkan di dada, kisah dan teladan kita telusuri semula, hikmah dan maknanya, kita belajar sekali lagi. Harapan dan suruhannya, kita perkukuhkan azam menghayatinya.

Larangannya, kita tidak biarkan ia berlalu tanpa menyentuh hati kita untuk berubah.

Bulan ulangkaji. Bulan koreksi diri. Bulan mengisi tangki bekalan iman dan taqwa. Bulan kesabaran. Jika ada yang mengherdik dan menyakiti hati anda, katakanlah pada mereka,

“Saya berpuasa.. Saya berpuasa.. Saya berpuasa..”

Ia tidak mudah. Tapi kan Ramadhan itu meninggalkan yang buruk-buruk di pagar harinya yang pertama.

Sabda Rasulullah S.A.W, berapa ramai orang yang berlapar, berdahaga dan berdiri malam, ia hanya sia-sia? Malang sekali. Ini yang seharusnya paling kita takuti. Dalam asyik mengejar ganjarannya, kita terlepas semuanya.

Bukankah ini sahaja sudah cukup untuk mentransform individu dan masyarakat Islam seluruhnya melalui Ramadhan al-Kareem?

Ahli Dewan Undangan, Ahli Parlimen, Para Menteri dan pembuat dasar, karyawan, pengarang dan penulis, peniaga, pekerja, berpuasa dengan ingatan ini, mana lagi kacau bilau dan hiruk pikuk yang tidak menentu dalam masyarakat Malaysia kita?

Muhasabahlah, Allah S.W.T menjanjikan keampunan kepada hamba-Nya yang 'berpuasa' dengan keimanan yang penuh.

Berikanlah kami peluang mengutip kuntum-kuntum pahala yang mekar mewangi di Ramadhan-Mu, wahai Maha Pengasih. Jambangannya menghiasi Malaysia Baru dengan pemimpin dan rakyat yang bertaqwa, satu masa. Teduhan dan bekalan kami untuk ke syurga-Mu.

Alangkah bahagianya, sekali lagi Engkau izinkan aku menemui Ramadhan-Mu yang Pemurah...

-ibnumustafa-