PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Tuesday, September 22, 2009

Adakah SAYA?

Adakah saya seorang yang sibuk?
Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman AS.

Adakah saya seorang yang manis dalam senyuman?
Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang ditimpa musibah lalu dia berkata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun." Lalu sambil berkata, "Ya Rabbi, aku redha dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman.

Adakah saya seorang yang kaya?
Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak lupa akan kenikmatan dunia yang sementara ini.

Adakah saya seorang yang miskin?
Orang yang miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk - numpukkan harta.

Adakah saya seorang yang rugi?
Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikan.

Adakah saya seorang yang paling cantik?
Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik.

Adakah saya seorang yang mempunyai rumah paling luas?
Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal-amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaskan saujana mata memandang.

Adakah saya seorang yang mempunyai rumah sempit lagi dihimpit?
Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikkan lalu kuburnya menghimpitnya.

Adakah saya seorang yang mempunyai akal?
Orang yang mempunyai akal adalah orang-orang yang menghuni syurga kelak kerana telah mengunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari siksa neraka.


-ibnumustafa-

Sunday, September 13, 2009

Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1430H - Madrasah Ad-Diniah Islamiah

Assalamu'alaikum & salam sejahtera,

Majlis Sambutan Hari Raya Eidulfitr 1430H bersama bekas pelajar, tenaga pengajar & pendokong Madrasah Ad-Diniah Islamiah akan diadakan;

Tarikh: 4 Syawal 1430 / 23 Sept 2009
Masa: 3.00 petang
Tempat: Perkarangan Madrasah Ad-Diniah Islamiah, Jalan Besar Sg.Bakap.
Tema: Hari Raya Eidulfitr

Sila SMS nama, no.tel & alamat terkini ke pihak penganjur untuk proses pendaftaran dan kehadiran ke;

En.Fathi Hj.Mustafa - 019-4729811
En.Ahmad Taufiq Hj.Mustafa - 012-2587824

Sila majukan berita ini kepada semua kenalan anda. Terima Kasih..

Hukum Memotong Kuku Atau Rambut Dan Bercukur Semasa Dalam Keadaan Uzur Syar'ie

Soalan;

1. Apakah hukum memotong kuku atau rambut dan bercukur semasa dalam keadaan uzur syar'ie?

2. Benarkah bahawa membuang kuku setelah memotongnya termasuk perbuatan haram? Benarkah bahawa kuku-kuku itu harus ditanam?

Jawapan;

1. Terdapat ulama' memakruhkan kita memotong kuku, mencukur/menggunting bulu dan rambut, membuang darah (berbekam) dan seumpamanya semasa sedang berjunub dan semasa haid dan nifas. Mereka ialah Imam al-Ghazali dan Abu al-Faraj as-Syirazi (seorang ulama' dari Mazhab Hanbali).

Disebutkan di dalam syarah al-‘Iqna’ Matan Abi Syuja’, menurut Imam al-Ghazali di dalam Ihya' Ulumiddin;

“Tidak sepatutnya seseorang mencukur rambut, memotong kuku, mencukur bulu kemaluannya serta membuang sesuatu dari badannya pada ketika ia sedang berjunub kerana seluruh juzuk pada badannya akan dikembalikan kepadanya di akhirat kelak, lalu ia akan kembali berjunub.[1] Dikatakan bahawa; setiap bulu (yang dicukurnya ketika berjunub itu) akan menuntut dari tuannya dengan sebab junub yang ada padanya (kerana dicukur ketika sedang berjunub)” - Dinaqalkan dari kitab al-Iqna’, jil.1, hlm. 91.

Mereka berdalilkan hadith yang dikatakan dari Rasulullah SAW yang berbunyi;


لا يقلمن أحد ظفراً ، ولا يقص شعراً ، إلا وَهوَ طاهر

“Janganlah sesiapa memotong kukunya dan menggunting rambut kecuali ketika ia suci” - HR al-Ismaili dari Saidina ‘Ali RA.

"Tidaklah salah mencukur rambut atau janggut atau mengerat kuku sebelum mandi wajib (bagi yg hidup saja) dan tidak wajib mengangkat hadas ke atas benda-benda itu. Hanya sunat sahaja mencukur atau mengerat kuku selepas mandi." - dipetik dari kitab Panduan Ilmu Fiqih Bab Thahaarah (Hukum Bersuci Dalam Islam) oleh Sheikh Omar Al-Khatib.

Bagaimanapun, setelah diteliti asas kepada pendapat ini, maka tiada didapati sebarang dalil yang menyokongnya kecuali logik aqal semata-mata tadi. Demikian menurut Syeikh Sayyid Sabiq, Syeikh Atiyyah Saqar dan Dr. Rif`at Fawzi, professor Shari`ah di Univ. Kaherah.

Soalan ini pernah di tujukan kepada Imam Ibn Taymiah di dalam kitabnya “Ghiza’ al-albab, jil.1, hlm.382, maka beliau menjawab:

“Tidak aku ketahui hukum makruh membuang rambut dan bulu dan kuku ketika junub, bahkan Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya seorang mukmin tidak najis (tubuhnya) samada hidup ataupun mati, malah Nabi SAW memberitahu: “buangkan darimu bulu-bulu kufur (yang tidak dicukur semasa kafir) dan berkhatanlah (apabila masuk Islam) “maka arahan Nabi tidak menunjukkan sebarang tangguh cukur selepas mandi. Demikian juga diperintah wanita haid agar menyikat rambutnya semasa mandi junub, yang mana diketahui bahawa dengan menyikat ini boleh menggugurkan rambut (sebelum tamat mandi). Justeru apa yang dikatakan sebenarnya tiada asalnya."

Jumhur ulama' tidak bersetuju dengan pandangan tersebut. Menurut mereka; tidak ada dalil dari Nabi SAW yang menegah orang berjunub atau wanita yang sedang haid atau nifas dari melakukan perkara-perkara yang disebut tadi. Adapun hadith di atas, ia adalah munkar dan maudhu’ (yakni palsu), tidak harus sekali-kali dijadikan hujjah (lihat; Syarah Soheh al-Bukhari, oleh; Imam Ibnu Rajab). Berkata Imam ‘Ato’ (seorang Tabi’in terkenal);

“Harus orang yang berjunub untuk berbekam, memotong kuku dan mencukur rambut sekalipun tanpa mengambil wudhuk terlebih dahulu”[2] - HR Imam al-Bukhari.

Imam Ahmad tatkala ditanya berkenaan hukum orang berjunub yang berbekam (yakni mengeluarkan darah dari kulitnya), mencukur rambut, memotong kuku dan mewarnai rambut atau janggutnya, ia menjawab; “Tidak mengapa (yakni harus)”.

Syeikh Atiyah Saqar dalam fatwanya juga menegaskan; pendapat Imam al-Ghazali itu tidak ada sebarang dalil untuk menyokongnya. Syeikh ‘Atiyah kemudiannya menaqalkan ulasan Imam Ibnu Taimiyyah yang berkata; aku tidak mengetahui ada sebarang dalil yang memakruhkan membuang rambut dan kuku oleh orang berjunub. Malah Nabi SAW ada bersabda kepada orang kafir yang baru masuk Islam;

ألق عنك شعر الكفر ثم اختتن

“Buangkanlah darimu rambut/bulu kekufuran (yakni rambut/bulu yang tumbuh semasa kamu kafir), kemudian berkhatanlah” - HR Imam Ahmad dan Abu Daud dari ‘Uthaim bin Kulaib RA. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no; 1580).

Di dalam hadith di atas Nabi SAW hanya menyuruh orang yang baru masuk Islam itu agar berkhatan dan membuang rambut/bulu di badannya. Tidak ada arahan dari baginda supaya ia melakukannya selepas mandi, menunjukkan bahawa membuang rambut/bulu dan berkhatan itu harus dilakukan sama ada sebelum mandi atau selepas mandi.

2. Alhamdulillah, memotong kuku adalah perkara yang disyariatkan, hal itu termasuk salah satu perkara fitrah. Tidaklah masalah membuangnya di tempat sampah atau menanamnya. Tiada kemestian menanam (mengebumikan) rambut, kuku yang dipotong dan sebagainya juga tiada sebarang dalil (kecuali jika dibimbangi akan diambil dan disihirkan), demikian juga larangan memotong kuku di waktu malam. Fatwa Lajnah Daimah V/174.

Akan tetapi jika ia khuatir kuku-kuku itu jatuh ke tangan tukang-tukang sihir, hendaklah dia menanamnya atau membuangnya di tempat yang tidak dapat dijangkau oleh tukang-tukang sihir..

Wallahu a’lam.

--------------------------------------------------------------------------

Rujukan;

1. al-Iqna’, Imam as-Syabini, 1/91.

2. al-Fatawa; Min Ahsanil-Kalam, Syeikh Atiyah Saqar, 1/438.

3. Kitab Panduan Ilmu Fiqih Bab Thahaarah (Hukum Bersuci Dalam Islam) oleh Sheikh Omar Al-Khatib.

4. Fathul-Bari (Syarah Soheh al-Bukhari), Imam Ibnu Rajab al-Hanbali, bab al-Junub Yakhruju Wa Yamsyi Fi as-Suq Wa Ghairihi.

Nota Kaki;

[1] Kembali berjunub kerana bulu, kuku dan rambut yang dibuangnya sebelum mandi itu masih berhadas.

[2] Terdapat hadith di mana seorang yang berjunub jika hendak tidur (sebelum mandi wajib), hendak menikmati makanan dan minuman atau hendak kembali bersetubuh dengan isterinya, ia disunatkan mengambil wudhuk terlebih dahulu. Jadi adalah makruh ia melakukan perkara-perkara tersebut tanpa mengambil wudhuk terlebih dahulu. Namun bagi perbuatan mencukur rambut/bulu, memtong kuku dan sebagainya tadi, tidak ada sebarang hadis menyarankan supaya mengambil wudhuk terlebih dahulu sebelum melakukannya. Kerana itu Imam Atha’ menyatakan; harus melakukannya sekalipun tanpa mengambil wudhuk terlebih dulu.

-ibnumustafa-

Monday, August 31, 2009

Lima Asas Utama Jiwa Remaja Merdeka

PADA saat rakyat seluruh negara menyambut kemerdekaan yang ke-52 pada hari ini, ramai remaja masih tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan jiwa remaja merdeka. Lahir pasca merdeka terutama menyebabkan mereka hanya mendengar kisah kemerdekaan daripada generasi emas atau berusaha memahaminya menerusi rakaman yang masih tersimpan.
Sesungguhnya tidak. Mengapa? Kerana erti sebenar jiwa merdeka lebih daripada itu! Mengetahui erti sebenar jiwa merdeka serta batasnya, dan memahami nilainya yang sebenar boleh memberikan kita kesedaran betapa penting dan berharganya aset ini. Kefahaman ini memandu kita dengan jelas dan selamat agar tidak melangkaui sempadan kemerdekaan diberikan kepada kita.
Dalam konteks ini, jiwa remaja yang merdeka dapat difahami berdasarkan lima asas utama yang sangat penting;
Pertama, jiwa remaja yang merdeka kenal jati dirinya. Jiwa remaja yang merdeka memahami dari mana dirinya datang, mengapa dirinya diciptakan dan ke mana dirinya akan kembali. Kefahaman ini bukan sekadar maklumat pengetahuan yang dihafal daripada buku, tetapi dihayati dan dijelmakan dalam kehidupan seharian.
Contoh remaja yang berjiwa merdeka sangat jelas pada zaman Rasulullah. Remaja seperti Ali bin Abi Talib KW serta Aisyah binti Abu Bakar RA faham mereka diciptakan Allah SWT dan akan kembali semula kepada-Nya. Mereka juga mengerti dengan sebenar-benarnya hidup di dunia yang singkat ini harus digunakan untuk menjadi hamba yang taat kepada Allah SWT dan berusaha mengembalikan dunia dalam ketaatan kepada hakimiyah Allah SWT. Remaja berjiwa merdeka juga tidak pernah ketinggalan daripada memahami sejarah dan mengambil pengajaran daripadanya. Mereka berusaha menekuni iktibar daripada kegemilangan dan keruntuhan tamadun manusia sepanjang sejarah. Mereka memahami bahawa sepanjang sejarah manusia, kebenaran tidak akan pernah lapuk ditelan zaman. Kebenaran akan tetap menang dan menyerlah! Dengan kefahaman inilah, mereka benar-benar kenal siapa diri dan betapa tingginya nilai diri mereka apabila menjadi remaja berusaha memenuhi tujuan hidup.
Kedua, berbekalkan kefahaman jati diri sebenar, jiwa remaja merdeka akan memperoleh lebih kekuatan daripada kemerdekaannya kerana dia memahami dirinya hanya perlu tunduk kepada Penciptanya. Dasar hidupnya adalah dua kalimah syahadah yang difahami implikasinya dengan sepenuh jiwanya. Tuntutan kalimah syahadah akan memberikan lonjakan hebat yang mampu menolak segala kesetiaan dan ketaatan kepada selain dari-Nya.
Walaupun 52 tahun Malaysia merdeka, remaja menemui kemerdekaan jiwa mampu membawa dirinya keluar daripada belenggu ketaatan kepada makhluk menuju kesetiaan hanya kepada Pencipta. Hidup dan matinya, seluruhnya diasaskan secara jelas kepada paksi ini. Seluruh denyutan nadi dan degup jantungnya berlaku dengan kesedaran bahawa inilah erti kemerdekaan sebenar!
Ketiga, jiwa merdeka juga yakin dengan kewujudan dan kebenaran hari pembalasan. Remaja berjiwa merdeka memahami bahawa kematian itu pasti. Setiap yang hidup pasti akan menemui kematian dan hanya Allah SWT yang mengetahui bilakah ajal setiap makhluk-Nya. Firman Allah:

"Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, sekalipun kamu berada di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh...." - Surah An-Nisa', ayat 78.
Bertitik tolak daripada kepercayaan yang kuat inilah, remaja berjiwa merdeka sentiasa memperhatikan tingkah lakunya agar menjadi modal paling strategik untuk manfaat kehidupan selepas mati. Jika terjatuh dalam lubang kealpaan dan kelalaian, remaja berjiwa merdeka akan bangkit kembali menebus kesalahannya dan tidak akan mengulanginya.
Keempat, kesannya, lahir remaja merdeka yang sentiasa berlumba-lumba untuk menjadikan seluruh hidupnya bermakna. Tidak ada satu detik pun yang akan diizin untuk dibazirkan ke jalan tidak berguna. Begitulah hebatnya jiwa remaja yang merdeka. Mereka menyedari bahawa hidup di dunia ini hanya sekali, maka sebaik-baiknya mereka harus hidup dengan penuh erti. Apabila dipanggil kembali, remaja berjiwa merdeka tersenyum bangga membawa bekal bersinar untuk dipersembahkan kepada Tuhannya. Firman Allah:
"Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredai-Nya. Masuklah ke dalam barisan hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku" -Surah Al-Fajr, ayat 27-30.
Mereka puas kerana memanfaatkan anugerah kehidupan di dunia sebagai manusia yang menjalankan amanahnya, bukan robot yang sekadar mengulangi rutin kehidupannya tanpa mengetahui tujuan hidupnya. Remaja berjiwa merdeka sedar dan faham bahawa berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran bukanlah tujuan akhir hidupnya. Mereka tidak terperangkap dalam kerugian menagih seluruh masa mereka hanya untuk mengisi maklumat di minda dan mendapatkan makanan untuk survival fizikal. Mereka tidak akan membiarkan hati kecut dan gersang kerana perangkap ini. Mereka tidak akan tertekan dengan himpitan beban pelajaran, tetapi rasa bertanggungjawab untuk menimba ilmu sebanyak mungkin untuk memajukan diri dan ummah.
Kelima, jiwa remaja merdeka adalah jiwa sentiasa memperjuangkan kebenaran. Kisah interaksi manusia dan kebenaran sepanjang sejarah membentangkan kepada kita pelbagai jenis episod. Ada yang untung dan ada rugi. Remaja berjiwa merdeka termasuk dalam golongan mereka yang untung. Mengapa? Kerana jiwa merdeka sentiasa mencari kebenaran, tidak menolaknya, berusaha memperjuangkannya dan menyokongnya dengan sepenuh jiwa dan sepanjang hayatnya. Hidup dan mati dengan asas kebenaran itu adalah tanggungjawab. Ia bukan pilihan, tapi ia anugerah. Yang pentingnya merdeka pada jiwa dan bukan hanya pada fizikal.

Pernahkah kita terfikir mengapa ikan hidup di laut yang masin tidak terasa masin, tetapi ikan masin yang disaluti garam terasa sangat masin? Kerana bezanya ikan di laut hidup, tetapi ikan masin mati. Begitulah jiwa manusia. Jiwa yang hidup tidak akan terpengaruh dengan anasir buruk yang sentiasa cuba untuk dipengaruhi tetapi jiwa mati mudah sekali terjebak dengan apa juga anasir buruk yang datang kepadanya. Semoga kemerdekaan kita terus berkekalan sebagai umat yang soleh dan diredai Allah SWT. Kita isi makna kemerdekaan negara dengan akhlak terpuji, bukan merosakkan erti kemerdekaan itu sendiri.
Selamat Menyambut Hari kemerdekaan Yang ke 52..
-ibnumustafa-

Hadiah hari merdeka, harga minyak naik lagi?

KUALA LUMPUR, 31 Ogos: Rakyat mendapat hadiah istimewa sempena menyambut Hari Kemerdekaan tahun ini apabila harga petrol dipercayai akan mula naik mulai tengah malam ini.

Menurut sumber, Ron 95 akan naik dari RM1.75 ke RM1.80 malam ini manakala F1 akan naik dari RM1,80 ke RM2.05. Bagaimanapun sehingga kini tidak ada sebarang pengumuman rasmi mengenainya.
"Ketika ekonomi rakyat meleset dan bakal berhadapan dengan hari raya Aidil Fitri, inilah hadiah kerajaan BN kepada kita," kata Salahudin Ayub, Naib Presiden PAS.

PAS bersama dengan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat serta NGO prihatin telah beberapa kali membantah kenaikan minyak sehingga ramai antara mereka terpaksa bermalam dalam lokap.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan debat khas dengan Menteri Penerangan sebelum ini, Datuk Ahmad Shabery Cheek bagi membincangkan isu kenaikan harga minyak ini.

Dipercayai, kenaikan kali ini akan membuatkan kemarahan rakyat kembali semula dan bakal menjana protes sekali lagi.

Ini kerana, barangan keperluan harian sebagaimana biasa akan naik menjelang hari perayaan nanti.

"Kenaikan harga minyak akan menambahkan lagi beban rakyat," kata Salahudin.
* sumber dari harakahdaily.net

Sunday, August 30, 2009

Errkkk.. Dia tu muslim ke tak??

Air tgn org yang tidak solat...

Patutlah kita masing2 kepala batu & degil
... Suka sangat makan roti canai kat mamak... Tak solat tu satu hal... Ntah2 mamak tu hindu... Lagi parahh... Semua orang tahu bahawa kalau meninggalkan solat tu, adalah dosa besar, dan malahan lebih hina drpd khinzir... Betapa hinanya kita kalau meninggalkan solat seperti yang dikisahkan pada zaman Nabi Musa AS..



Begini kisahnya... Pada zaman Nabi Musa AS, ada seorang lelaki yg sudah berumahtangga, dia tidak ada zuriat, lalu terdetik di dalam hatinya (nazar),

"Kalau aku mendapat anak, aku akan minum air kencing anjing hitam."

Nak dijadikan cerita, Allah SWT maha Berkuasa, lalu Allah SWT pun mengurniakan isteri si lelaki itu hamil dan melahirkan seorang anak. Bila sudah mendapat anak, lelaki itu pun runsing... Dia sudah bernazar hendak minum air kencing anjing hitam.. Syariat pd zaman Nabi Musa AS berbeza dengan syariat yang turun untuk umat Nabi Muhammad SAW. Kalau umat Nabi Muhammad SAW, nazar benda yg haram, maka tak payah buat, tapi kena denda 'dam' atau sedekah..

Tetapi, di zaman Nabi Musa AS, barang siapa yang bernazar, walaupun haram, tetap kena laksanakan nazar tersebut.. Lalu, si lelaki yang mendapat anak itu, dengan susah hatinya, pun pergilah bertemu dgn Nabi Allah Musa AS.. Dan menceritakan apa yang terjadi ke atas dirinya.. Lalu, Nabi Musa AS menjawab bahawa lelaki tu tidak perlu meminum air kencing anjing hitam, tetapi mesti meminum air yg lebih hina dari air kencing anjing hitam.. Nabi Musa AS memerintahkan lelaki tersebut untuk pergi menadah air yang jatuh dari bumbung rumah orang yang meninggalkan solat dan minum air tersebut..

Lalu, lelaki itu pun senang hati, menjalankan apa yg diperintahkan oleh Nabi Musa AS tadi... Lihat.. betapa hinanya org yang meninggalkan solat, sampai dikatakan air yg jatuh dari bumbung rumahnya pun lebih hina dari air kencing anjing hitam.. Itu baru air bumbung rumah, belum air tangan lagi.. Menyentuh bab air tangan ni, selalu kita suka makan masakan ibu, isteri kita.. Jadi, kepada para ibu, para isteri dan muslimat sekalian, peliharalah solat, sebab jikalau meninggalkan solat (bukan disebabkan uzur syar'ie), air tangan akan menitik ke dalam basuhan makanan, nasi, dan sebagainya.. anak-anak, suami pulak yang akan memakan makanan ygan dimasak.. Adakah hendak dibiarkan suami & anak2 gelap hati meminum air tangan orang yang meninggalkan solat.. Tergamakkah kita??

Tetapi.. Lain pulak halnya dgn kita ni.. Pagi petang siang malam.. Mamak!! Teh tarik satu, roti canai satu.. Ada pulak segelintir tukang masak yang tidak solat.. Kita pun makan bekas air tangan dia.. Gelaplah hati kita.. Sebab itulah susah untuk kita melakukan perkara-perkara yang baik terutamanya solat.. Berhati-hati dengan apa yang kita makan...

Betapa beratnya amalan solat ni, hatta Allah SWT mensyariatkan solat kepada Nabi Muhammad SAW melalui Isra' Mikraj, sedangkan kewajipan-kewajipan lain memadai diutus melalui Jibril AS. Ketika saat Rasulullah SAW nazak, sempat Baginda SAW berpesan kepada Saidina Ali KW (untuk umat Islam) "As-solah as-Solah wa 'amalakat aimanukum." maknanya, "Solat, solat jangan sesekali kamu abaikan dan peliharalah orang-orang yang lemah di bawah tanggunganmu."



Jadi, sama-samalah kita memelihara solat kita, dari segi zahir & batinnya, kerana amalan solatlah amalan yg mula-mula akan ditimbang di neraca Mizan kelak..

-ibnumustafa-

Saturday, August 29, 2009

Astaghfirullah al-Azieemm.. Luasnya Neraka Allah SWT..

Yazid Arraqqasyi dari Anas bin Malik RA berkata:

"Jibrail datang kepada Nabi SAW pada waktu yg ia tidak biasa datang dalam keadaan berubah mukanya, maka ditanya oleh Nabi SAW: "Mengapa aku melihat kau berubah muka?"
Jawabnya: "Ya Muhammad, aku datang kepadamu di saat Allah menyuruh supaya dikobarkan penyalaan api neraka, maka tidak layak bagi orang yg mengetahui bahawa neraka Jahannam itu benar, dan siksa kubur itu benar, dan siksa Allah itu terbesar untuk bersuka-suka sebelum ia merasa aman dari padanya."

Lalu Nabi SAW bersabda:

"Ya Jibrail, jelaskan padaku sifat Jahannam."


Jawabnya:

"Ya. Ketika Allah menjadikan Jahannam, maka dinyalakan selama seribu tahun, sehingga merah, kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga putih, kemudian seribu tahun sehingga hitam, maka ia hitam gelap, tidak pernah padam nyala dan baranya. Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan terbuka sebesar lubang jarum nescaya akan dapat membakar penduduk dunia semuanya kerana panasnya. Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan satu baju ahli neraka itu digantung di antara langit dan bumi nescaya akan mati penduduk bumi kerana panas dan basinya
. Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan satu pergelangan dari rantai yg disebut dalam Al-Quran itu diletakkan di atas bukit, nescaya akan cair sampai ke bawah bumi yg ke tujuh. Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan seorang di hujung barat tersiksa, nescaya akan terbakar orang-orang yang di hujung timur kerana sangat panasnya, Jahannam itu sangat dalam dan perhiasannya besi, dan minumannya air panas campur nanah, dan pakaiannya potongan-potongan api. Api neraka itu ada tujuh pintu, tiap-tiap pintu ada bahagiannya yang tertentu dari orang laki-laki dan perempuan."

Nabi SAW bertanya:

"Apakah pintu-pintunya bagaikan pintu-pintu rumah kami?"

Jawabnya:

"Tidak, tetapi selalu terbuka, setengahnya di bawah dari lainnya, dari pintu ke pintu jarak perjalanan 70,000 tahun, tiap pintu lebih panas dari yang lain 70 kali ganda." (nota kefahaman: iaitu yg lebih bawah lebih panas)

Tanya Rasulullah SAW:

"Siapakah penduduk masing-masing pintu?"

Jawab Jibrail:

"Pintu yg terbawah untuk orang-orang munafik, dan orang-orang yg kafir setelah diturunkan hidangan mukjizat Nabi Isa AS serta keluarga Fir'aun sedang namanya Al-Hawiyah. Pintu kedua tempat orang-orang musyrikin bernama Jahim. Pintu ketiga tempat orang shobi'in bernama Saqar. Pintu ke empat tempat Iblis LA dan pengikutnya dari kaum majusi bernama Ladha. Pintu kelima orang yahudi bernama Huthomah. Pintu ke enam tempat orang nasara bernama Sa'eir..."


Kemudian Jibrail AS diam segan pada
Rasulullah SAW sehingga ditanya:

"Mengapa tidak kau terangkan penduduk pintu ke tujuh?"


Jawabnya:

"Di dalamnya orang-orang yg berdosa besar dari ummatmu yg sampai mati belum sempat bertaubat."

Maka Nabi SAW jatuh pengsan ketika mendengar keterangan itu, sehingga Jibrail meletakkan kepala Nabi SAW di pangkuannya sehingga sedar kembali dan sesudah sedar Nabi SAW bersabda:

"Ya Jibrail, sungguh besar kerisauanku dan sangat sedihku, apakah ada seorang dari ummat ku yang akan masuk ke dalam neraka?"


Jawabnya:

"Ya, iaitu orang yg berdosa besar dari ummatmu."


Kemudian Nabi SAW menangis, Jibrail juga menangis, kemudian Nabi SAW masuk ke dalam rumahnya dan tidak keluar kecuali untuk solat kemudian kembali dan tidak berbicara dengan orang dan bila solat selalu menangis dan berdoa kepada Allah.

Dari Hadith Qudsi:

Bagaimana kamu masih boleh melakukan maksiat sedangkan kamu tidak dapat bertahan dengan panasnya terik matahari Ku?


Tahukah kamu bahawa neraka jahanamKu itu:

1. Neraka Jahanam itu mempunyai 7 tingkat
2. Setiap tingkat mempunyai 70,000 daerah
3. Setiap daerah mempunyai 70,000 kampung
4. Setiap kampung mempunyai 70,000 rumah
5. Setiap rumah mempunyai 70,000 bilik
6. Setiap bilik mempunyai 70,000 kotak
7. Setiap kotak mempunyai 70,000 batang pokok zarqum
8. Di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 ekor ular
9. Di dalam mulut setiap ular yang panjang 70 hasta mengandungi lautan racun yang hitam pekat
10. Juga di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 rantai
11. Setiap rantai diseret oleh 70,000 malaikat


Gambar di atas bukanlah gambaran neraka sebenar. Ia hanyalah gambaran permukaan matahari yang dirakam.

Andai gambaran matahari yang kerdil ini juga amat panas dan mengerikan, bagaimana pula dengan gambaran sebenar neraka Allah SWT. Mudah-mudahan ianya dapat menimbulkan keinsafan kepada kita semua. Semoga kita tidak tergolong dari golongan orang-orang yg berdosa besar dari ummat Nabi Muhammad SAW yang sampai matinya belum sempat bertaubat. Amieenn..

"Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayat, sesudah Kami terangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk." - S
urah Al- Baqarah, Ayat 159.

-ibnumustafa-