PADA saat rakyat seluruh negara menyambut kemerdekaan yang ke-52 pada hari ini, ramai remaja masih tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan jiwa remaja merdeka. Lahir pasca merdeka terutama menyebabkan mereka hanya mendengar kisah kemerdekaan daripada generasi emas atau berusaha memahaminya menerusi rakaman yang masih tersimpan.
Sesungguhnya tidak. Mengapa? Kerana erti sebenar jiwa merdeka lebih daripada itu! Mengetahui erti sebenar jiwa merdeka serta batasnya, dan memahami nilainya yang sebenar boleh memberikan kita kesedaran betapa penting dan berharganya aset ini. Kefahaman ini memandu kita dengan jelas dan selamat agar tidak melangkaui sempadan kemerdekaan diberikan kepada kita.
Dalam konteks ini, jiwa remaja yang merdeka dapat difahami berdasarkan lima asas utama yang sangat penting;
Pertama, jiwa remaja yang merdeka kenal jati dirinya. Jiwa remaja yang merdeka memahami dari mana dirinya datang, mengapa dirinya diciptakan dan ke mana dirinya akan kembali. Kefahaman ini bukan sekadar maklumat pengetahuan yang dihafal daripada buku, tetapi dihayati dan dijelmakan dalam kehidupan seharian.
Contoh remaja yang berjiwa merdeka sangat jelas pada zaman Rasulullah. Remaja seperti Ali bin Abi Talib KW serta Aisyah binti Abu Bakar RA faham mereka diciptakan Allah SWT dan akan kembali semula kepada-Nya. Mereka juga mengerti dengan sebenar-benarnya hidup di dunia yang singkat ini harus digunakan untuk menjadi hamba yang taat kepada Allah SWT dan berusaha mengembalikan dunia dalam ketaatan kepada hakimiyah Allah SWT. Remaja berjiwa merdeka juga tidak pernah ketinggalan daripada memahami sejarah dan mengambil pengajaran daripadanya. Mereka berusaha menekuni iktibar daripada kegemilangan dan keruntuhan tamadun manusia sepanjang sejarah. Mereka memahami bahawa sepanjang sejarah manusia, kebenaran tidak akan pernah lapuk ditelan zaman. Kebenaran akan tetap menang dan menyerlah! Dengan kefahaman inilah, mereka benar-benar kenal siapa diri dan betapa tingginya nilai diri mereka apabila menjadi remaja berusaha memenuhi tujuan hidup.
Kedua, berbekalkan kefahaman jati diri sebenar, jiwa remaja merdeka akan memperoleh lebih kekuatan daripada kemerdekaannya kerana dia memahami dirinya hanya perlu tunduk kepada Penciptanya. Dasar hidupnya adalah dua kalimah syahadah yang difahami implikasinya dengan sepenuh jiwanya. Tuntutan kalimah syahadah akan memberikan lonjakan hebat yang mampu menolak segala kesetiaan dan ketaatan kepada selain dari-Nya.
Walaupun 52 tahun Malaysia merdeka, remaja menemui kemerdekaan jiwa mampu membawa dirinya keluar daripada belenggu ketaatan kepada makhluk menuju kesetiaan hanya kepada Pencipta. Hidup dan matinya, seluruhnya diasaskan secara jelas kepada paksi ini. Seluruh denyutan nadi dan degup jantungnya berlaku dengan kesedaran bahawa inilah erti kemerdekaan sebenar!
Ketiga, jiwa merdeka juga yakin dengan kewujudan dan kebenaran hari pembalasan. Remaja berjiwa merdeka memahami bahawa kematian itu pasti. Setiap yang hidup pasti akan menemui kematian dan hanya Allah SWT yang mengetahui bilakah ajal setiap makhluk-Nya. Firman Allah:
"Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, sekalipun kamu berada di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh...." - Surah An-Nisa', ayat 78.
Bertitik tolak daripada kepercayaan yang kuat inilah, remaja berjiwa merdeka sentiasa memperhatikan tingkah lakunya agar menjadi modal paling strategik untuk manfaat kehidupan selepas mati. Jika terjatuh dalam lubang kealpaan dan kelalaian, remaja berjiwa merdeka akan bangkit kembali menebus kesalahannya dan tidak akan mengulanginya.
Keempat, kesannya, lahir remaja merdeka yang sentiasa berlumba-lumba untuk menjadikan seluruh hidupnya bermakna. Tidak ada satu detik pun yang akan diizin untuk dibazirkan ke jalan tidak berguna. Begitulah hebatnya jiwa remaja yang merdeka. Mereka menyedari bahawa hidup di dunia ini hanya sekali, maka sebaik-baiknya mereka harus hidup dengan penuh erti. Apabila dipanggil kembali, remaja berjiwa merdeka tersenyum bangga membawa bekal bersinar untuk dipersembahkan kepada Tuhannya. Firman Allah:
"Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredai-Nya. Masuklah ke dalam barisan hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku" -Surah Al-Fajr, ayat 27-30.
Mereka puas kerana memanfaatkan anugerah kehidupan di dunia sebagai manusia yang menjalankan amanahnya, bukan robot yang sekadar mengulangi rutin kehidupannya tanpa mengetahui tujuan hidupnya. Remaja berjiwa merdeka sedar dan faham bahawa berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran bukanlah tujuan akhir hidupnya. Mereka tidak terperangkap dalam kerugian menagih seluruh masa mereka hanya untuk mengisi maklumat di minda dan mendapatkan makanan untuk survival fizikal. Mereka tidak akan membiarkan hati kecut dan gersang kerana perangkap ini. Mereka tidak akan tertekan dengan himpitan beban pelajaran, tetapi rasa bertanggungjawab untuk menimba ilmu sebanyak mungkin untuk memajukan diri dan ummah.
Kelima, jiwa remaja merdeka adalah jiwa sentiasa memperjuangkan kebenaran. Kisah interaksi manusia dan kebenaran sepanjang sejarah membentangkan kepada kita pelbagai jenis episod. Ada yang untung dan ada rugi. Remaja berjiwa merdeka termasuk dalam golongan mereka yang untung. Mengapa? Kerana jiwa merdeka sentiasa mencari kebenaran, tidak menolaknya, berusaha memperjuangkannya dan menyokongnya dengan sepenuh jiwa dan sepanjang hayatnya. Hidup dan mati dengan asas kebenaran itu adalah tanggungjawab. Ia bukan pilihan, tapi ia anugerah. Yang pentingnya merdeka pada jiwa dan bukan hanya pada fizikal.
Pernahkah kita terfikir mengapa ikan hidup di laut yang masin tidak terasa masin, tetapi ikan masin yang disaluti garam terasa sangat masin? Kerana bezanya ikan di laut hidup, tetapi ikan masin mati. Begitulah jiwa manusia. Jiwa yang hidup tidak akan terpengaruh dengan anasir buruk yang sentiasa cuba untuk dipengaruhi tetapi jiwa mati mudah sekali terjebak dengan apa juga anasir buruk yang datang kepadanya. Semoga kemerdekaan kita terus berkekalan sebagai umat yang soleh dan diredai Allah SWT. Kita isi makna kemerdekaan negara dengan akhlak terpuji, bukan merosakkan erti kemerdekaan itu sendiri.
Selamat Menyambut Hari kemerdekaan Yang ke 52..
-ibnumustafa-
No comments:
Post a Comment