Penularan pandemik Influenza H1N1 atau lebih dikenali sebagai selsema babi terlalu pantas. Perkembangan mutakhir wabak ini cukup membimbangkan semua lapisan masyarakat. Apatah lagi sehingga kini belum ada vaksin khas untuk melindungi manusia daripada jangkitan virus ini.
Kalangan kelompok umat Islam, tersebar bermacam-macam doa agar dijauhi jangkitan ini. Diedarkan dalam bentuk poster, pamflet, dan flyer, ataupun disiarkan melalui medium internet di laman-laman web dan blog. Kesedaran akan kepentingan dan keutamaan berdoa kepada Allah dalam situasi seperti ini adalah sikap yang harus dipuji, kendatipun doa kepadaNya wajar menjadi amalan rutin tanpa mengira susah dan senang, sakit dan sihat, cemas dan aman.
Kerana suara yang sentiasa merintih kepada Allah ketika senang dan aman, itulah suara yang mustajab diperkenan ketika payah dan cemas.
Di dalam satu perkahabaran atsar, disebut bahawa seseorang hamba Allah yang soleh dan sentiasa ingat kepadaNya apabila ditimpa kesusahan atau meminta satu hajat kepada Allah, para Malaikat akan berkata, “Wahai Tuhan, ini suara yang dikenali, dari seorang hamba yang dikenali”.
Sedangkan seseorang hamba yang lalai dan jauh daripada Allah apabila berdoa dan memohon kepadaNya, para Malaikat berkata, “Wahai Tuhan, ini suara yang janggal, dari seorang hamba yang janggal”. (Al-Wabil Al-Shayyib hlmn: 102).
Melalui penelitian beberapa doa yang beredaran di laman-laman internet, yang disebarkan bersempena penularan pandemik ini, saya mendapati ada antara doa-doa tersebut mengandungi kalimat-kalimat yang bercanggahan dengan syariah Islam. Sudah pasti ia bukan doa nabawi, tetapi doa rekaan orang-orang tertentu yang tidak merujuk kepada sumber Islami.
Ada antara doa yang tersebar bukan sahaja mengandungi permintaan tolong kepada makhluk yang sudah wafat, ditambah pula dengan unsur Syiah Rafidhah yang mengkhususkan permintaan tolong dari lima peribadi iaitu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, Ali, Fatimah, Hasan dan Husain.
Waraskah seorang Muslim mengamalkan doa seumpama ini jika dia menyedari bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sudah pun meninggalkan aneka jenis doa untuk diamalkan dalam pelbagai situasi. Termasuk dalam berhadapan dengan penyakit, ada doa nabawi yang diajarkan.
Sebagai Rasul yang bersifat menyampaikan, baginda tidak sekali-kali menyembunyikan kalimat-kalimat doa yang boleh mendekatkan kepada Allah dan mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat. Kerana baginda pernah bersabda:
“Allah tidak mengutuskan seorang Nabi pun, kecuali wajib ke atasnya menunjukkan umatnya kepada kebaikan yang diketahuinya, dan memberi amaran kepada mereka tentang keburukan yang diketahuinya”. Direkod oleh Muslim.
Alangkah aneh gelagat sebilangan umat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Melupakan timbunan doa yang termaktub dalam sumber-sumber kitab hadis, dan dalam masa yang sama cenderung dan berminat dengan kalimat-kalimat yang direka dan disusun oleh orang terkemudian. Meninggalkan amalan yang diyakini, dan menyukai suatu yang diwas-waskan. Mengabaikan doa yang penuh keberkatan, sambil mencari doa yang entah dari mana asal-usulnya.
Benarlah ungkapan seorang salaf, “Tidaklah satu kaum membuat satu bidaah dalam agama mereka, kecuali Allah mencabut dari amalan sunnah mereka suatu yang sepertinya, kemudian Dia tidak akan mengembalikannya sehingga hari kiamat”. (Sunan Darimi).
Oleh itu, dalam mencari doa samada doa harian atau doa bermusim, sebaik-baiknya pilihlah doa nabawi yang direkod oleh para ulama hadis. Jauhilah doa-doa rekaan yang mengandungi unsur-unsur yang memesongkan. Semoga dengan keberkatan dan keajaiban doa nabawi, Allah Taala melindungkan kita daripada jangkitan wabak yang menakutkan.
* Sumber dari coretan Ust Abu Umair
No comments:
Post a Comment