PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Tuesday, February 24, 2009

HIBURAN...

Malam itu di pinggir kota Mekah dua orang pemuda sedang berbincang,

“Tolong jaga kambing-kambingku, aku ingin pergi ke kota untuk menyertai para pemuda di sana,” pinta salah seorang pemuda penggembala itu.

“Baiklah, aku akan menjaga kambing-kambingmu,” jawab temannya.

Lalu pergilah pemuda itu ke kota Mekah. Setibanya di sana, dia terus menuju ke sebuah rumah yang sedang mengadakan pesta. Pemuda tersebut turut serta dalam pesta tersebut. Tetapi apa yang terjadi??? Baru sahaja dia duduk di tengah-tengah keramaian, dia tertidur dengan nyenyaknya, dan hanya terjaga apabila matahari telah tinggi keesokan harinya.

Pemuda itu tidak berputus asa. Sekali lagi dia meminta bantuan temannya untuk menjaga kambing-kambingnya pada malam harinya, pemuda itu datang lagi. Dia begitu ingin menyaksikan pesta dan hiburan yang berlangsung pada waktu malam di kota Mekah ketika itu. Setibanya di sana dia sekali lagi tertidur di tengah majlis keramaian dan pesta. Sejak itu dia bertekad tidak lagi mencari hiburan dengan gaya jahiliah seperti itu.

Siapakah pemuda itu? Dia itu tidak lain dan tidak bukan dialah Muhammad SAW. Seorang pemuda calon pemimpin umat. Dia kemudiannya diangkat menjadi Rasul (utusan) Allah SWT yang membawa rahmat ke sekalian alam. Dia telah mendapat jaminan Allah SWT dan Allah SWT telah memelihara hati, mata, telinga dan pemikiran Muhammad SAW daripada segala sesuatu yang merosakkan.

Hiburan. Walau apapun bentuknya dan bagaimanapun caranya juga, akan menyentak-nyentak hati dan keinginan manusia untuk mendatanginya. Muhammad SAW yang masih muda belia juga tidak terkecuali dari rontaan hati untuk turut menyaksikan hiburan. Namun Allah SWT melindungi dan menjaga Baginda SAW daripada pelbagai bentuk kerosakan.

Hiburan, walau bagaimanapun jua kita harus akui, ia merupakan unsur yang akan meracuni hati, pemikiran dan perasaan. Terlalu banyak racun yang disebarkan melalui hiburan filem, muzik dan tarian. Hiburan bagaikan gula. Rasanya manis namun ia akan menimbulkan mudharat malah boleh merosakkan seluruh organ manusia apabila ia tidak dikawal atau diambil secara berlebihan. Begitu juga hiburan yang tidak dijiwai dan dibingkai dengan nilai-nilai Islam sejagat akan menjadi racun dalam setiap diri individu. Perlahan tetapi mengganas hiburan menyebarkan kebencian terhadap nilai-nilai mulia Islam. Ia merosakkan nilai-nilai mulia tatasusila, moral, dan adab kesopanan. Akhirnya matilah roh dan jiwa seorang beriman apabila hiburan diserap berlebihan dan hiburan itu pula bukan berlandaskan Islam. Banyak bukti boleh dipamerkan untuk menunjukkan keadaan ini berlaku.

Pelbagai filem samada dari Barat, India malah negara Islam sendiri tidak menunjukkan nilai yang baik. Malah Islam diperlecehkan, disalah tafsirkan atau penafsiran yang sama sekali tidak bertepatan dengan nilai sebenar. Bukan itu sahaja, yang ditonjolkan hanyalah unsur-unsur nafsu syahwat dan adegan-adegan lucah. Tidak ketinggalan pula dalam dunia nyanyian. Amat menyedihkan lagi apabila hiburan untuk kanak-kanak juga penuh dengan unsur keganasan, kerosakan malah diselitkan unsur seks. Kesimpulannya, terlalu sedikit kebaikan yang dapat dipetik daripada hiburan. Terlalu menakutkan apabila hampir semua adegan hiburan menuju ke arah kerosakan akhlak, nilai dan yang lebih dahsyat menyebarkan persepsi buruk terhadap Islam.

Banyak hiburan seakan-akan mahu memberi madu kepada kita, tetapi hakikatnya ia merupakan racun berbisa yang membinasakan dunia dan akhirat kita. Tapi apa hendak dikata, racun itu sering kali terlalu manis untuk tidak diteguk sehingga ramai manusia yang tidak sedar, sebaliknya membela dan mendorong orang lain untuk terus meneguknya.

Allah SWT secara langsung melindungi dan memelihara calon Rasul-Nya daripada segala bentuk hiburan yang merosakkan. Lalu siapakah yang akan melindungi kita, keluarga kita, dan masyarakat kita daripada hiburan-hiburan seperti itu?

Tiada siapa yang boleh kita harapkan kecuali kepada Allah SWT kita mohon perlindungan. Hanya pada Dia satu-satunya tempat kita bergantung. Dia akan melindungi mata, telinga, hati dan fikiran kita daripada virus hiburan yang sangat merbahaya. Tetapi, harapan ini jangan dibiarkan tinggal harapan. Ia mestilah disertai dengan usaha. Usaha serta tugas pertama dan utama yang mesti kita lakukan adalah meningkatkan sensitiviti kita, keluarga dan masyarakat kita terhadap nilai-nilai Islam. langkahnya dengan kembali menghidupkan hati-hati kita dengan al-Qur'an. Allah SWT berfirman:

”Dan apakah orang yang telah mati dan kemudian dia kami hidupkan dan kami berikan cahaya yang terang yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia serupa dengan orang-orang yang berada di dalam kegelapan yang sekali-kali tidak dapat keluar daripadanya? Demikianlah Kami jadikan orang kafir itu memandang baik apa yang mereka kerjakan”. - Surah Al-An’aam ayat 122.

-ibnumustafa-

4 comments:

Isyrak said...

berhibur tak salah kalau betul caranya.. dalam hidup kita perlukan hiburan.. tuk melepaskan tekanan..

ibnumustafa said...

To isyrak: berhiburlah cara Rasulullah SAW. Semoga bahagia, gembira dan lapang dari segala tekanan..

selayang_bayu said...

Alhamdulillah....ko tak pernah berhibur ker pit?

ibnumustafa said...

To selayang_bayu: Pernah jugak berhibur, dan seboleh-bolehnya biarlah kita berhibur dengan jara didikan Rasulullah SAW..