PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Monday, July 20, 2009

Peristiwa Israk & Mikraj (bulan Rejab) Penguat Iman..





Katakan (kepada mereka), ‘Kamu lihatlah apa yang terdapat di langit dan di bumi’..” - Surah Yunus, ayat 101.

Pada hari ini kita sedang mengakhiri bulan mulia Rejab yang di dalamnya berlaku peristiwa Israk & Mikraj yang bersejarah. Peristiwa tersebut bukan sahaja menunjukkan kekuasaan Allah S.W.T di atas sekalian makhlukNya dan benarnya kenabian Muhammad S.A.W, bahkan ianya juga membuka ufuk pemikiran dan cita-cita manusia sejagat dari hanya sekadar terhad kepada muka bumi ini semata-mata kepada cakerawala ciptaan Allah S.W.T yang amat luas dan jauh, siap untuk diamati untuk lebih kita mengenali al-Khaliq Tuhan Pencipta Agung, siap untuk diterokai agar manusia memperlengkap dan meninggikan kualiti ilmu pengetahuan demi memenuhi cita-cita tersebut.


Setelah kewafatan Khadijah RA, pendokong moral dan material perjuangan Baginda SAW dan kewafatan Abu Talib, pelindung Baginda SAW dari ancaman fisikal oleh kafir Quraisy pada Tahun Kesedihan, Dakwah Islam berada diposisi paling tenat dari segi saikologi Nabi SAW dan para Sahabat RA sendiri, mahupun dari segi tiadanya kemasukan baru ke dalam agama Islam dari kalangan penduduk Mekah. Dengan azam tidak menyerah kepada keadaan, Baginda SAW mencuba nasib, mencari peluang baru untuk Dakwah ini di kota Taif, 80km dari kota Mekah, namun harapan dan sangkaan Baginda SAW meleset. Di kota Taif, Dakwah tidak diterima, Pendakwah dihina dengan dibaling batu oleh penduduknya. Pintu Dakwah ditahun ini hampir tertutup. Namun Allah SWT melalui Surah Huud, mengarahkan Nabi SAW terus beristiqamah menjalankan amal Dakwah ini meredah fasa-fasa gelap yang sedang menyelubunginya, tanpa isteri yang mendorong dan tanpa bapa saudara yang melindung.
“Shayyabatni Huud” (Surah Huud telah mengubankan rambutku !!).
 


MasyaAllah!! Setelah 9 bulan perjalanan, Amerika menjejakkan alatnya di planet Marikh pada 25.6.2008 lalu dan hari ini menunjukkan fotonya kepada umat manusia di bumi. Tanah Marikh diambil dan dianalisa. Foto ini boleh tiba ke bumi dengan pantasnya, melalui perantaraan apa? Orang kafir sibuk meneroka alam baru sedang umat Islam pula sibuk melayan tuntutan Kuasa-kuasa Besar Dunia dan bercakaran sesama sendiri.
 
Allah SWT tidak membiarkan Rasul Akhir Zaman berpanjangan dalam kemuraman seperti itu. Dakwah ini harus dipacu hingga berjaya bukan sahaja di kota Mekah, tetapi ke seluruh dunia, merangkumi sekalian jin dan manusia. Pada malam 27 Rejab, bersamaan 620M, Jibril AS mengejutkan Rasulullah SAW dari lamunan malam dan mengisyaratkan kepada Baginda SAW bahawa kenderaan Buraq telah siap di luar sana untuk membawanya ke Masjidil Aqsa di Palestin, naik meredah 7 petala langit, ke Sidradul Muntaha melalui Baitul Makmur, memenuhi undangan Allah SWT. Di Masjidil Aqsa Baginda SAW bersolat mengimami kesemua para rasul AS, melihat bandar Baitul Maqdis, memilih susu dan menolak arak. Di langit, Baginda SAW bertemu sebahagian para rasul AS, diperlihatkan gelagat penghuni-penghuni Syurga dan Neraka serta tanda-tanda kebesaran Allah SWT yang lain. Di Sidratul Muntaha, Baginda SAW diwahyukan Allah SWT apa yang hendak diwahyukan olehNya, termasuk kewajipan Solat, ibadah yang paling utama.




Tidak seperti roket yang hanya dipakai buang sekali sahaja disetiap pelancaran dan operasi, “space shuttle” berjaya dicipta Amerika bertindak seperti teksi antara langit dan bumi, boleh diguna berulangkali. Setakat ini 4 buah space shuttle iaitu Columbia (dilancarkan pada 12.4.1981, tepat 20 tahun selepas Yuri Gagarin, manusia pertama ke angkasalepas), Challenger, Endeavour dan Atlantis telah dihasilkan. Tiap satu memakan belanja setahun budget seluruh negara sedang membangun di dunia.

Sekembalinya Nabi SAW ke kota Mekah dari langit, kekuatan Baginda SAW untuk berdakwah lebih kental. Segelintir orang Islam murtad kerana tidak dapat menerima hakikat boleh berlakunya peristiwa Muhammad SAW pergi ke Palestin dan langit serta kembali semula dalam malam yang sama. Para Sahabat RA yang lain bertambah keyakinan dan kekaguman mereka kepada Nabi SAW yang tercinta. Bagi Nabi SAW pula, melihat sendiri kesudahan manusia di Syurga dan Neraka sudah cukup memberi motovasi penuh untuk menyelamatkan mereka didunia lagi, sebelum mereka menempuh alam Pengadilan dan Pembalasan, belum lagi berpeluang menerima wahyu langsung dari Allah SWT di Sidratul Muntaha. Tiga tahun selepas itu, keimanan baru, lebih tinggi dan teruji inilah yang menjadi asas kepada Hijrah dan penegakkan Negara Islam di kota Madinah.



Ini foto bersejarah kerana kali pertama foto bumi diambil dari angkasalepas (pada ketinggian 300 kilometer). Foto ini diambil oleh Yuri Gagarin, angkasawan Rusia dan manusia ketiga ke angkasalepas pada 12.4.1961, selepas Nabi Isa AS (selepas percubaan membunuhnya) dan Rasulullah SAW (dalam peristiwa Israk & Mikraj).

PERISTIWA ISRAK & MIKRAJ

1. Sebelum Israk & Mikraj

Rasulullah SAW mengalami pembedahan dada/perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail AS. Hati Baginda SAW dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu dan iman. ke dalam dada Rasulullah SAW. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah SAW dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.
2. Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa):
Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah SAW diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail AS. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah SAW telah diarah oleh Jibrail AS supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:
i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah SAW akan melakukan hijrah.
ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa AS. menerima wahyu daripada Allah SWT;
iii. Baitul Laham (tempat Nabi 'Isa AS dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah SAW menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyaksikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya:

  • Kaum yang sedang bercucuk tanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail AS: Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan mereka sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
  • Suatu tempat yang berbau harum. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail AS: Itulah haruman bau kubur Masyitah semerbak kasturi (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah SWT (tidak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).
  • Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan lagi. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail AS memberitahu Rasulullah SAW: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud menunaikan solat.
  • Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka memakan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail AS: Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
  • Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail AS: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri/suami.
  • Lelaki yang berenang di dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail AS: Itulah orang yang memakan riba`.
  • Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tidak terdaya memikulnya, namun ditambahnya lagi kayu yang lain. Kata Jibrail AS: Itulah orang tidak dapat menunaikan amanah yang diberikan sedangkan ia bersedia menerima amanah yang lain.
  • Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan gunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti sedia kala dan diguntingnya lagi. Kata Jibrail AS: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
  • Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail AS: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.
  • Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tidak dapat memasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail AS: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tetapi sudah terlambat.
  • Seorang perempuan yang sedang mengajukan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan kepada Baginda SAW. Rasulullah SAW tidak memperdulikannya. Kata Jibrail AS: Itulah dunia. Jika Rasulullah SAW memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.
  • Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah SAW berhenti. Rasulullah SAW tidak menghiraukannya. Kata Jibrail AS: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua.
  • Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah SAW untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail AS: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.
Setibanya di Masjidil Aqsa, Rasulullah SAW turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan solat dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.
Rasulullah SAW terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail AS dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah SAW memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail AS: Baginda SAW membuat pilihan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda SAW akan menjadi sesat.
3. Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul Qudus Menemui Allah SWT):
Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah SAW dan Jibrail AS naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).
i. Langit Pertama: Rasulullah SAW dan Jibrail AS masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam AS. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.
ii. Langit Kedua: Nabi SAW dan Jibrail AS naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa AS dan Nabi Yahya AS.
iii. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf AS.

iv. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris AS.

v. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun AS yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.
vi. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan para Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa AS. Rasulullah SAW mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail AS) lalu dapat melihat umat Baginda SAW sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.
vii. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah AS yang sedang bersandar di Baitul Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah SAW, Nabi Ibrahim AS bersabda, "Engkau akan berjumpa dengan Allah SWT pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH". Mengikut riwayat lain, Nabi Irahim AS bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL 'ALIYYIL 'AZIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberapa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah SAW dan Jibrail AS masuk ke dalam Baitul Makmur dan menunaikan solat (Baitul Makmur ini betul-betul di atas Baitullah (Ka'abah) di Mekah).
viii. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul Muntaha. Rasulullah SAW menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tidak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah-buahan, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tidak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah SAW dapat menyaksikan pula sungai Al-Kauthar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya Baginda SAW masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malaikat Malik AS penunggunya.
ix. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul Muntaha. Rasulullah SAW masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.
x. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah SAW sampai di Hadhratul Qudus dan Hadhrat Rabbul Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog diantara Rabbul 'Alamin Allah Azza Wajalla dengan Junjungan Mulia Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam, Rasul-Nya:
Allah SWT: "Ya Muhammad".
Rasulullah SAW: "Labbaika".

Allah SWT: "Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan".

Rasulullah SAW: "Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim AS sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa AS. Engkau berikan Daud AS kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman AS yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman AS menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa AS Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang kusta dan menghidupkan orang yang telah mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan".

Allah SWT: "Aku ambilmu sebagai kekasihku. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa ul hamd, maka Adam AS dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) solat.

4. Selesai bermunajat, Rasulullah SAW di bawa menemui Nabi Ibrahim AS. Kemudian Nabi Musa AS yang kemudiannya menyuruh Rasulullah SAW merayu kepada Allah SWT agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu solat itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah SWT perkenan memfardhukan solat lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.
5. Selepas Mikraj
Rasulullah SAW turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul Maqdis. Lalu menunggang Buraq pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini Baginda SAW bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah)..
(Sumber: Kitab Jam'ul-Fawaa`id) Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk & Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah SWT dan takut kepada kekuasaan-Nya.
Seandainya peristiwa dalam Israk & Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk & Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi SAW sebaik-baik Nabi SAW bercerita kepada mereka.
Peristiwa Israk & Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan qudrat atau kekuasaan Allah SWT. Allah SWT telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda SAW.
Mafhum Firman Allah SWT:

"Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat." -
Surah Al-Israa', ayat 1.

Dari sinopsis ringkas peristiwa Israk & Mikraj, dapat disimpulkan sebahagian pengajaran berguna untuk umat selepasnya dan kita seperti berikut:

  1. Kehebatan dokongan isteri, kerukunan rumahtangga adalah salah satu asas kejayaan dalam diri Pendakwah dan Dakwah itu sendiri.
  2. Perlindungan seperti yang diberi oleh sesiapa contohnya Abu Talib, biar pun dia bukan seorang Islam, adalah penting dalam memastikan Islam berkembang tanpa gangguan terutamanya di fasa awalnya.
  3. Kepentingan Masjidil Aqsa dan Palestin di dalam perjuangan Islam dan umat.
  4. Dengan Nabi SAW menjadi imam semua para Rasul AS yang lain di Masjidil Aqsa, hari ini dan selepas ini, umat Islam mestilah menjadi imam (pemimpin dan pembimbing) kepada umat-umat yang lain dan bukan sebaliknya seperti yang berlaku hari ini. Umat Islam mesti bekerja ke arah itu.
  5. Solat adalah ibadah terpenting dalam Islam. Di Hari Kiamat, tidak dinilai amalan-amalan lain jika solatnya dinilai sebagai gagal.
  6. Iman pendokong-pendokong perjuangan Islam, termasuk para Sahabat RA akan terus menerus melalui proses penapisan, untuk membeza dan mengasingkan permata dari kaca.
  7. Negara Islam tertegak bila ada jemaah manusia yang bersedia memikul tanggungjawab tersebut dengan keimanan yang telah teruji seperti para Sahabat RA.
  8. Umat Islam dituntut melihat cakerawala dan kehebatan penciptaannya, bukan terhad atau terkongkong kepada apa yang ada di bumi sahaja.
  9.  


Masjid Kubah Batu (Pelancaran), di tengah-tengah Masjidil Aqsa, Palestin. Di sinilah tempat pelancaran kenderaan Buraq membawa Rasulullah SAW ke Sidratul Muntaha, menembusi 7 petala langit dan Baitul Makmur. Hari ini ia ditawan oleh Yahudi LA yang dilaknat Allah SWT. Pembebasannya sebelum Hari Kiamat dijamin Allah SWT. Bila? Siapa yang akan membebaskannya? Apa ciri-ciri mereka? Bagaimana mereka dihasilkan? Wallahualam..
 
 
Marilah kita sama-sama merai dan memperingati peristiwa bersejarah dan besar ini, dengan mengatur atau menghadiri ceramah-ceramah mengenainya. Jauh lebih itu ialah mengambil pengajaran-pengajaran darinya untuk kehidupan bekeluarga bersama anak isteri dan perjuangan bersama-sama teman-teman yang beriman. Sekian.
Wallahua'lam..

-ibnumustafa-

No comments: