PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Friday, May 21, 2010

Hukum Membaca Dan Menyentuh Kitab Suci Al-Quran Ketika Dalam Keadaan Uzur Syari'e (Haid)

Saya menyusun analisa ini dengan membahagikannya kepada dua bahagian iaitu [A] untuk pendapat yang melarang dan [B] untuk pendapat yang membenarkan.

[A] Pendapat Yang Melarang Membaca Dan Menyentuh
 


Pendapat yang melarang perempuan dalam keadaan haid menyentuh atau membaca Al-Qur’an mengqiyaskan [1] keadaan perempuan sedang haid sama seperti keadaan berjunub [2]. Kemudian menyandarkan hujah orang yang dalam keadaan junub adalah dilarang menyentuh Al-Qur’an [3] Selain itu pendapat yang mengharamkan turut menyandarkannya pada firman Allah S.W.T:

"(al-Qur’an) Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci (al-Mutatahharun)." - Surah Al-Waqiah, ayat 79.

Dan juga berdasarkan hadith-hadith antaranya Rasulullah S.A.W bersabda:
"Tidaklah menyentuh al-Qur’an dan tidak juga mushaf melainkan orang yang suci." [4]

Dan sebuah lagi hadith daripada Rasulullah S.A.W di mana Baginda bersabda:
"Tidak boleh membaca sesuatu ayat Al-Quran bagi orang junub dan tidak pula perempuan-perempuan haid." [5]

Di atas adalah hujah yang biasa digunakan dan dikatakan dalil jelas mengharamkan secara perempuan dalam keadaan haid untuk menyentuh dan membaca Al-Quran.


[B] Pendapat Yang Membolehkan
Membaca Dan Menyentuh

Manakala bagi pendapat kedua pula, mereka berpegang kepada kaedah bahawa seseorang wanita yang sedang haid boleh melakukan semua perkara seperti biasa melainkan wujud dalil yang tepat (qath'i) yang melarangnya. Dalam hal ini yang jelas dilarang adalah bersolat, berpuasa, melakukan tawaf dan bersanggama. Adapun hukum memegang Al-Qur’an, tidak ada dalil yang tepat yang melarang seseorang yang sedang haid daripada memegangnya
. Apa-apa yang tidak disyari’atkan ketika tempoh penurunan wahyu bukanlah bererti pembuat syari’at yakni Allah S.W.T telah lupa atau lalai tetapi ia bererti hal tersebut memang bukan dimaksudkan sebagai syari’at.

Selain itu, mereka yang berpendapat boleh perempuan haid membaca dan menyentuh Al-Quran menyatakan dalil yang menjadi pendokong hujah melarang perempuan dalam keadaan haid menyentuh atau membaca Al-Quran juga tidak cukup kuat untuk dijadikan hujah.


Antaranya:

1. Tidak boleh diqiyaskan keadaan haid dengan keadaan junub.


a. Qiyas hanya untuk mengeluarkan hukum bagi perkara-perkara yang tidak terdapat di zaman turunnya wahyu. Perkara baru yang wujud selepas kewafatan Rasulullah S.A.W (tiada pada zaman Nabi), maka disandarkan secara analogi kepada sesuatu yang sudah sedia dihukumkan pada zaman Rasulullah berdasarkan kesamaan sebabnya (‘illat). Manakala haid bukanlah perkara baru. Haid sememangnya wujud zaman Rasulullah S.A.W. Sekiranya Rasulullah S.A.W tidak melarang perempuan haid daripada menyentuh dan membaca Al-Quran maka tidak perlu diwujudkan larangan tersebut.

b. Haid dan junub adalah dua perkara berbeza. Seseorang yang berada dalam keadaan junub boleh membuat pilihan samada untuk berada dalam keadaan junub ataupun tidak. Boleh juga memilih untuk keluar daripadanya (dengan mandi wajib) pada bila-bila masa. Sedangkan haid bermula dan berakhir tanpa pilihan. [6]
Ayat Al-Qur’an yang dijadikan rujukan oleh pendapat pertama adalah tidak tepat untuk dijadikan hujah kerana perkataan Al-Mutatahharun sebenarnya merujuk kepada para Malaikat sebagaimana yang boleh dilihat daripada keseluruhan ayat yang berkaitan:
 

2. Al-Mutatahharun di dalam Surah Al-Waqiah, ayat 79 merujuk kepada Malaikat. [7]

Seperti mana dapat dilihat pada keseluruhan ayat:
 
Bahawa sesungguhnya itu ialah Al-Quran yang mulia, Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara, Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci (al-Mutatahharun); Al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam. - Surah Al-Waqiah; ayat 77-80.
 

Berkata Ibnu Abbas R.A, ayat fii Kitabim-maknun bererti di langit, yakni di Al-Lauh Al-Mahfuz manakala Al-Mutatahharun adalah para Malaikat yang suci. Demikian juga keterangan beberapa sahabat dan tabi‘in sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Jarir Ath-Thabari dalam Jami’ Al-Bayan. [8]

3. Perkataan ‘suci’ (At-Taharun) di dalam hadith Tidaklah menyentuh Al-Qur’an dan tidak juga mushaf melainkan orang yang suci.” memiliki banyak makna.


Mengikut kaedah Usul Fiqh: Sesuatu perkataan yang memiliki banyak erti tidak boleh dibataskan kepada satu maksud tertentu melainkan wujud petunjuk yang dapat mendokongi pembatasan tersebut.

Perkataan suci tersebut boleh bererti suci daripada najis seperti tahi atau air kencing.

4. Kelemahan Hadith Tidak boleh membaca sesuatu ayat Al-Quran bagi orang junub dan tidak pula perempuan-perempuan haid.”


Hadith ini dha’if [9] kerana perawinya [10] yang bernama Ismail bin 'Ayasy, ia dipercayai oleh penduduk Syam (Syria) tapi dha'if di sisi ahli Hadith di Iraq dan Madinah-Mekah. [11]

Berkata Imam An-Nawawi R.A:

Adapun hadith Ibn Umar: “Tidak boleh membaca sesuatu apa jua daripada Al-Qur’an seorang yang dalam keadaan junub atau haid”, maka ia diriwayatkan oleh At-Tirmidzi, Ibn Majah, Al-Baihaqi dan selainnya. Ia adalah hadith yang dha‘if, didha‘ifkan oleh Al-Bukhari, Al-Baihaqi dan selainnya. Kedha‘ifan yang terdapat padanya adalah jelas.
[12]

Hadith tersebut memiliki tiga jalan periwayatan yang semuanya dha’if. Syaikh Al-Albani [13] tidak menjadikannya penguat antara satu sama lain. Beliau juga mengatakan hadith-hadith dalam bab orang junub/haid tidak boleh membaca Al-Quran semuanya tidak sah dijadikan dalil termasuk hadith Ibn Umar ini. [14]

Kesimpulan


Secara peribadi saya melihat pendapat B, iaitu boleh sentuh dan baca Al-Quran ketika haid lebih rajih (jelas). Pendapat ini turut disokong oleh Imam Asy-Syaukani R.A dan Syaikh Al-Islam Ibn Taimiyyah R.A [15]. Selain itu ia juga praktikal dan tidak memberatkan mereka yang suka untuk menelaah Al-Quran. Allah S.W.T telah berfirman:


Alif-Lam-Mim. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya; ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa. - Al-Baqarah; ayat 1-2.

Individu Muslim yang bertaqwa memerlukan Al-Quran sebagai petunjuk dan panduan, ini tentunya merangkumi setiap masa dan keadaan termasuklah ketika haid. Maka dengan itu Al-Qur’an dan As-Sunnah yang sahih tidak melarang perempuan haid daripada menyentuh maupun membaca Al-Quran ketika haid.


Disusun semula oleh ibnumustafa

---------------------------------- [ nota kaki ] ----------------------------------

[1] Qiyas merupakan salah satu kaedah dalam ilmu fiqh bagi mengeluarkan hukum bagi perkara-perkara yang tidak terdapat di zaman turunnya wahyu. Akan dijelaskan lebih terperinci di bawah sub-topik Pendapat Yang Membolehkan. 

[2] Junub adalah keadaan berhadas besar kerana telah melakukan hubungan kelamin (jima') atau mengeluarkan mani, baik keluarnya mani itu kerana masturbasi, mimpi, atau melamun. 

[3] Larangan orang berjunub membaca Al-Quran itu sendiri adalah salah satu subjek perbezaan pendapat di kalangan ulama’. Sebahagian ulama’ melarangnya manakala terdapat sebahagian lagi yang mengatakan dalil melarangnya tidak kuat untuk dijadikan hujah. Dr.Yusuf Al-Qardhawi menyimpulkan membaca Al-Quran dalam keadaan junub sekadar makruh tanzih sahaja. Rujuk Fikih Taharah, ms 315, Bab Kenapa Kita Mandi (Apa Saja Yang Boleh Dilakukan Setelah Mandi).

[4] Hadith daripada ‘Amr bin Hazm R.A, dikeluarkan oleh Ibn Hibban, Al-Hakim, Baihaqi dan lain-lain melalui beberapa jalan yang setiap darinya memiliki kelemahan. Namun setiap darinya saling menguat antara satu sama lain sehingga dapat diangkat ke taraf sahih, atau setepatnya sahih lighairihi. Lihat semakan Badri Abdul As-Samad dalam Al-Itihaf bi Takhrij Ahadith Al-Isyraf ‘ala Masail Al-Ikhtilaf (Dar Al-Buhts, Dubai 1999), Jld.1, ms.77-82. Dinukil daripada buku Menelan Air Liur Tidak Membatalkan Puasa, Jahabersa. 

[5] Hadith daripada Ibnu Umar R.A. Diriwayatkan At-Tirmidzi; Ibn Majah dan Al-Baihaqi. Dikeluarkan oleh Imam An-Nasa'I di dalam Sunannya no.588 dan At-Tirmidzi di dalam sunannya no.121. Lihat juga Fiqh Syafii, jilid 1, Haji Idris Ahmad S.H. Darjat hadith ini akan diperbahaskan di bawah sub-topik Pendapat Yang Membolehkan. 

[6] Lihat Fiqh Perundangan Islam, Dr.Wahbah Zuhaili (bab perbezaan atara haid dan junub), DBP, Jld.1, ms.451.

[7] Al-'Awfi meriwayatkan daripada Ibn 'Abbas, Tafsir Ibnu Kathir, Bab Allah Bersumpah Ke atas Kehebatan Al-Quran. 

[8] Dar Al-Fikr, Beirut 1999, riwayat no: 25955–25970. Lihat juga Al-Mawardi - An-Nukatu wa Al-‘Uyun (Dar Al-Kutub Al-Ilmiyah, Beirut), Jld.5, ms.463-464. 

[9] Hadith Dhai’f: Sesuatu (hadith) yang hilang satu syarat dari beberapa syarat untuk menjadi hadith yang maqbul (diterima). Contoh perawi yang meriwayatkan hadith tersebut mempunyai sifat pelupa, buruk hafalan, pendusta atau dituduh sebagai pendusta dan sebagainya. 

[10] Orang yang meriwayatkan hadith. Boleh terdiri daripada golongan Sahabi (para sahabat Nabi), Tabi’in (mereka yang pernah bertemu dengan para sahabat tetapi tidak pernah bertemu Nabi) dan seterusnya. 

[11] Al-Mubarakfoori, Tuhfah Al-Ahwadzi Syarah Jami’ At-Tirmidzi. 

[12] Majmu’ Syarh Al-Muhazzab (Dar Ihya’ At-Turath Al-Arabi, Beirut 2001), Jld.2, ms.123-125 (Kitab Taharah, Bab Apa yang mewajibkan mandi, Bab Hukum terhadap 3 perkara). 

[13] Beliau adalah Muhammad Nasr Ad-Din Al-Albani. Seorang alim hadith yang dilahirkan di Albania dan membesar di Syiria. Tidak seorang pun yang menceburi bidang hadith akan terlepas pandang buku-buku Al-Albani yang sememangnya dikagumi berdasarkan usahanya dan pembacaannya yang meluas. Beliau meninggal dunia di Jordan pada tahun 1999. Sepanjang hayatnya beliau telah menghasilkan terlalu banyak buku samada dalam bentuk tulisannya atau kajian yang beliau lakukan terhadap buku-buku lain. Antara bukunya yang terkenal adalah dua buku yang amat disayangi beliau iaitu Silsilah Al-Ahadith Al-Shahihah dan Silsilah Al-Ahadith Adh-Dhaifah wa Al-Maudhu'ah. Buku pertama mengumpulkan hadith-hadith sahih yang beliau temui sepanjang kajiannya dan buku kedua mengumpulkan hadith-hadith dhaif (lemah) dan palsu yang beliau temui dengan huraian panjang lebar. 

[14] Tamam Al-Minnah, ms.116. 

[15] Di dalam Majmu Al-Fatawa [(Dar Al-Wafa’, Kaherah 2001), Jld.26, ms.191.] beliau berkata:

“Sesungguhnya para wanita mereka mengalami haid pada zaman Rasulullah S.A.W, maka seandainya membaca Al-Qur’an diharamkan ke atas mereka (ketika haid) sepertimana solat, pasti baginda Nabi S.A.W akan menjelaskannya kepada umatnya. Baginda akan mengajarnya kepada para Ummul Mukminun (para isteri baginda) dan akan dinukil daripada mereka oleh orang ramai. Akan tetapi tidak ada satupun (riwayat) yang melarang yang dinukil daripada Nabi. Oleh itu hal ini tidak boleh dianggap terlarang padahal telah diketahui bahawa baginda tidak melarangnya. Justeru jika baginda tidak melarangnya padahal ramai wanita yang haid di zamannya, maka sesungguhnya ketahuilah bahawa ia sememangnya tidak haram.”

No comments: