PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Wednesday, September 7, 2011

Puasa Qadha Ramadhan, Puasa Sunat Syawal & Ziarah

Puasa sunat Syawal sememangnya amat popular di kalangan masyarakat kita hari ini. Dikesempatan ini saya suka menasihatkan semua yang ingin mengamalkan puasa sunat ini agar berhati-hati dari tipu daya syaitan yang kerap berjaya menjadikan seseorang individu yang berpuasa itu bermegah dan riya' dengan amalannya.

"kau, dah hari ker berapa dah?"

"aku dah 5 hari dah ni"

"esok aku raya (sunat syawal)"

Ini adalah antara kata-kata yang kerap didengari di bulan syawal ini.

Ia menjadi seolah-olah satu budaya untuk berlumba menamatkan puasa enam. Ia agak terpuji tetapi ia dicemari oleh hebahan-hebahan yang dibuat tentang bilangan hari puasanya bertujuan melihat 'siapa lebih hebat?'.

Amat dibimbangi, tindakan ini bakal menghilangkan seluruh pahala puasa sunatnya. Kerana ia boleh menjadikan seseorang merasa riya', serta memperdengarkan amalan masing-masing yang sepatutnya disembunyikan khas untuk Allah S.W.T.

Ziarah & Puasa Sunat Syawal

Saya tidak nafikan ada yang terpaksa memberitahu apabila ada rakan yang mengajak makan dan menziarahi rumah terbuka rakan. Tatkala itu, ia tidaklah terkeji dan masing-masing bertanggungjawab menjaga niat dan hati masing-masing agar tidak timbul perasaan tersebut.

Puasa sunat ini juga tidak sewajarnya menjadi penghalang menerima jemputan rakan-rakan yang membuat rumah terbuka.

Isu Keutamaan Antara Puasa Sunat Syawal & Puasa Qadha

Selain itu, satu isu yang kerap ditimbulkan berkenaan hal ini adalah tentang penggabungan antara puasa ganti Ramadhan dan puasa sunat Syawal, yang mana satu lebih perlu diutamakan.

Jika ada yang bertanya manakah yang lebih baik di antara puasa qadha dan puasa sunat syawal?

Jawapannya sudah tentu adalah puasa Qadha. Ini terbukti dari hadith Qudsi yang sohih

وما تقرب إلي عبدي بشيء أحب إلي مما افترضت عليه وما يزال عبدي يتقرب إلي بالنوافل حتى أحبه

Maksudnya: "..dan tidaklah hampir kepadaku seorang hambaKu dengan apa juapun, maka yang lebih ku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardhu/wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepadaKu dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya..." - Hadith Riwayat Al-Bukhari, no.6021.

Hadith di atas sebagai asas keutamaan, walau bagaimanapun dari sudut praktikal jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang.

Maksudnya begini, jika seseorang itu perlu Qadha puasanya selama 30, berpuluh atau berbelas hari (kerana nifas atau haid yang lama di bulan Ramadhan sebagai contoh) dan tubuhnya juga sihat dan diyakini masih kuat. Eloklah ia mengerjakan puasa sunat Syawal terlebih dahulu di ketika itu. Ini adalah kerana waktu sunat puasa Syawal yang singkat berbanding Qadha (sepanjang tahun).

Bagaimanapun harus diingat, walaupun waktu bagi puasa Qadha adalah panjang, kita tetap tidak pasti adakah kita mampu sampai ke tarikh itu atau ajal lebih dahulu menjemput kita.

Seseorang yang mati sebelum mengganti puasa Ramadhannya tetapi sudah berpuasa sunat Syawal akan pasti bermasalah kerana ia dikira masih berhutang dengan Allah S.W.T.

Bagaimanapun seseorang yang mati setelah berjaya menggantikan puasanya tetapi tidak sempat berpuasa sunat Syawal, pastinya tiada sebarang masalah pun, malah mungkin ia juga boleh mendapat pahala sunat Syawal itu sekali. Berdasarkan sabda Nabi S.A.W;


هم بها فعملها كتبها الله له عنده عشر حسنات إلى سبع مائة ضعف إلى أضعاف كثيرة ومن هم بسيئة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له سيئة واحدة

Maksudnya "...barangsiapa yang beringinan melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, telah dituliskan oleh Allah baginya pahala penuh, maka jika ia beringinan dan kemudian melakukannya, dituliskan 10 pahala sehingga 700 kali ganda.." - Hadith Riwayat Al-Bukhari, no.6010.

Kita harus memahami bahawa darjat puasa Qadha adalah lebih tinggi dan tanggungjawab bagi menunaikannya adalah jauh lebih besar dari sunat Syawal, ini kerana puasa Qadha adalah puasa wajib dan merupakan ‘hutang' ibadah dengan Allah S.W.T berbanding puasa Syawal yang hanyalah sebagai tambahan pahala.

Wallahua'alam..

-ibnumustafa-

No comments: