PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Showing posts with label Info Sihat. Show all posts
Showing posts with label Info Sihat. Show all posts

Wednesday, January 21, 2009

KESIHATAN siri 3

Topik yang terakhir ini ialah persoalan mengapa anda tidak perlu malu untuk membuat pesanan khas hidangan ketika memesan makanan di restoran dan keburukan kepada kesihatan.

Permintaan khas hidangan
 
Apabila memesan makanan anda di restoran, jangan malu untuk membuat permintaan khusus tentang kaedah penyediaannya. Kebanyakan makanan dalam menu boleh menjadi hidangan yang sihat jika dimasak dengan bahan rendah lemak dan penggunaan garam yang sedikit. 

Tanyakan terlebih dahulu pada pihak restoran sebelum sebelum membuat kunjungan sama ada mereka boleh menyediakan makanan mengikut keperluan diet anda.

"KAEDAH penyediaan makanan boleh menentukan sama ada ia menjadi hidangan sihat ataupun sebaliknya."


Makanan bergoreng, rangup dan yang disediakan cara saute adalah tinggi kandungan lemak dan kalorinya. Lebih baik jika memilih kaedah kukus, rebus, panggang atau gril. Begitu juga dengan permintaan membuang lemak lebihan pada daging stik, atau meminta agar menggunakan minyak sayuran.
 
Anda juga boleh meminta agar mengasingkan sos dressing supaya pengambilannya boleh dikawal. Selain itu, makanan jeruk, sos koktel, salai, masakan gulai, atau yang menggunakan sos soya dan sos teriyaki adalah tinggi kandungan sodium. 

Maka, kurangkan pengambilan bahan-bahan ini demi kesihatan anda, sama seperti kesedaran terhadap bahaya penggunaan garam dan monosodium glutamat (MSG) yang berlebihan.

Angkara steroid
 
Kalau ia membuatkan seseorang atlet lebih berotot sasa dan menambah kuasa, mengapa steroid tidak baik untuk kesihatan seseorang? Hakikatnya, walaupun ia digunakan dalam rawatan perubatan bagi kes tertentu, ia meninggalkan pelbagai kesan sampingan yang ‘menakutkan’ untuk didengar, khususnya di kalangan lelaki. 

Pertama sekali, jangan keliru antara steroid anabolik dengan kortikosteroid. Steroid anabolik digunakan untuk membina otot manakala kortikosteroid bertindak mengurangkan respons imun aktif dan meredakan kebengkakan.

"ADAKAH steroid membuatkan lelaki kelihatan hebat secara fizikal tetapi menanggung masalah upaya seksual dan kesuburan?"


Steroid anabolik yang disalah guna oleh atlet merupakan versi sintetik bagi hormon lelaki iaitu testosteron. Namun, bagi semua jenis hormon yang diganggu proses semula jadi dan fungsi asasnya boleh mengakibatkan banyak masalah. 
 
Ia meninggalkan kesan terhadap keseluruhan tubuh dan antara kesan yang paling sensitif adalah apabila ia menjejaskan upaya seksual dan juga usia. 

Lelaki yang mengambil steroid anabolik berisiko mempunyai payu dara yang besar, merasai kesakitan ketika zakar menegang dan juga saiz testikel yang mengecut. Lebih teruk, ia mengurangkan kiraan sperma dan akhirnya seseorang lelaki berhadapan dengan masalah ketidaksuburan dan juga mati pucuk.

"MENCEGAH LEBIH BAIK DARI BERUBAT"

-ibnumustafa-

Tuesday, January 20, 2009

KESIHATAN siri 2

INGIN tahu apakah kebaikan susu kambing dan kepentingan potasium? Juga, bagaimana bilangan sperma boleh berkurangan serta mengapa anda perlu mendapatkan panduan ketika beriadah di gimnasium? Ikuti topik kesihatan ini seterusnya.

Ubat susu kambing

BUKAN sekadar dibuat keju, para saintis kini sedang menjayakan uji kaji bagi menghasilkan ubat yang membantu melancarkan peredaran darah dengan menggunakan susu kambing yang diubahsuai secara genetik.

Bakal menjadi yang pertama seumpamanya, ubat yang bakal dikenali dengan nama ATryn itu dikatakan baik untuk kegunaan golongan yang mengalami gangguan keturunan luar biasa seperti masalah darah tersumbat yang boleh membawa maut.

"KANDUNGAN antitrombin dalam susu kambing rupanya berguna pada manusia."


Kelulusan penghasilan ubat tersebut adalah langkah awal kepada lebih banyak penemuan baru dalam penghasilan ubat berasaskan susu kambing, termasuk rawatan hemofilia.
 
ATryn dibangunkan syarikat bioteknologi dari Massachusetts, Amerika Syarikat iaitu GTC Biotherapeutics, yang mengubah suai genetik kambing hinggakan haiwan ternakan itu mampu menghasilkan susu yang kaya dengan kandungan antitrombin. Antitrombin adalah sejenis protein yang boleh mencairkan darah manusia.

Kira-kira 1 dalam 5,000 orang manusia tidak memiliki protein sedemikian yang mencukupi dan ini membuatkan mereka berisiko tinggi mengalami saluran darah yang tersumbat. Jika itu terjadi, banyak komplikasi boleh berlaku dan ini membahayakan mereka yang menghadapi masalah berkaitan jantung dan juga proses kehamilan.

Pentingnya potasium

POTASIUM merupakan mineral makro yang sering diperlukan tubuh. Oleh kerana ia tidak disimpan untuk jangka masa panjang, seseorang perlu menyertakannya secara kerap dalam diet. Ia mudah dilakukan kerana potasium terkandung dalam kebanyakan jenis sumber makanan.

Golongan dengan tekanan darah tinggi pula digalakkan untuk mengambil jumlah potasium dalam jumlah yang tinggi kerana beberapa sebab. Ia bertindak sebagai elektrolit yang mengekalkan paras cecair dalam tubuh. Pada masa yang sama, mineral ini membantu mengawal tekanan darah, fungsi jantung dan hipertensi.

"POTASIUM boleh membantu pesakit yang mengalami situasi reumatik atau artritis."


Potasium bereaksi dengan sodium dalam semua sel tubuh termasuk sinap saraf untuk mengekal dan mengembalikan potensi membran serta melancarkan proses metabolik. Ia juga kritikal dalam memastikan fungsi kardiovaskular dan memastikan tenaga otot dalam
keadaan baik.

Selain mengurangkan rasa pening kepala dan migrain, mineral ini juga penting untuk mempercepatkan kadar penyembuhan luka dan membantu situasi reumatik atau artritis kerana tindak balasnya menyingkirkan asid di bahagian sendi yang seterusnya meredakan kekejangan.

Kurang bilangan sperma
 
SECARA umumnya lelaki menyedari bahawa kuantiti dan kualiti sperma menentukan kelangsungan kehidupan dan keturunan. Bilangan sperma yang rendah hanya akan menimbulkan masalah pada kemudian hari, terutama bagi mereka yang ingin berkeluarga.
Masalah yang dideritai oleh lelaki selain kualiti sperma adalah bilangan sperma yang rendah serta sperma yang tidak sihat. Air mani yang sihat perlu berwarna sama ada putih atau kelabu selain bertekstur pekat. Kajian mendapati bahawa setiap mililiter air mani mengandungi kira-kira 20 juta sperma. 

Secara purata, dalam 40 juta sperma, 75 peratus daripadanya perlu hidup dan 30 peratus perlu dalam bentuk yang normal. Seterusnya, 25 peratus daripada jumlah itu perlu cukup aktif untuk sampai ke ovum.

Antara penyebab kekurangan kuantiti dan kualiti sperma adalah jangkitan di tempat penghasilan air mani, pendedahan berpanjangan pada persekitaran panas, memakai seluar dalam yang terlalu ketat, berendam dalam air hangat terlalu lama dan juga berat badan berlebihan.

Selain itu, ejakulasi yang berulang dalam durasi waktu yang singkat juga tidak elok untuk kesihatan reproduktif lelaki. Peringatan ini perlu diberi perhatian sama seperti tabiat onani yang melampau, merokok, pengambilan alkohol, tekanan fizikal dan mental, kekurangan zink dan juga pengambilan steroid.

"MEROKOK adalah antara ancaman kepada kesuburan sistem reproduksi lelaki selain obesiti, alkohol dan steroid."


Sesi gim tanpa panduan
 
RAMAI yang pergi ke gim pada hari ini sekadar memenuhi tuntutan gaya hidup, tanpa memahami fungsi dan teknik bagi setiap rutin senaman atau latihan. Biasanya, program latihan kekuatan yang tidak seimbang sering dilakukan tanpa disedari. 

Kebanyakan pengunjung gim hanya menumpukan pada otot tertentu seperti bahagian perut atau bisep, sedangkan sangat penting untuk memastikan setiap bahagian tubuh mendapat latihan yang bersesuaian demi mencapai keseimbangan kesihatan keseluruhannya. 

Teknik yang salah juga menjurus kepada kecederaan. Antara yang sering dilakukan adalah seperti menggunakan momentum untuk angkatan beban, dan membiarkan lutut melebihi kedudukan jari kaki setiap kali membuat latihan menguatkan otot betis dan paha. Semua itu hanya memberi hasil yang kurang daripada sasaran optimum.

"MENCEGAH LEBIH BAIK DARI BERUBAT"

-ibnumustafa-

KESIHATAN siri 1

Salam sejahtera kepada para pembaca, kali ini saya ingin berkongsi pengetahuan dan ilmu tentang kesihatan bersama anda. Di sini saya akan mendedahkan kepada anda cara untuk menguruskan badan tanpa berlapar, bagaimana susu dapat melawan selsema dan bagaimana burung merpati boleh menjadi ancaman kepada kesihatan.

KURUS TANPA BERLAPAR
 
BERLAPAR bukan kaedah yang betul untuk mengurangkan berat badan seterusnya menjaga kesihatan keseluruhan. Pasti akhirnya seseorang yang tidak berdisiplin akan makan lebih daripada yang sepatutnya. Apakah cara untuk mengawal nafsu makan?
Menyertakan telur dalam sarapan pagi sebenarnya memberikan bekalan protein dan lemak harian yang baik. Seseorang akan berasa kenyang lebih lama hanya dengan mengambil sarapan seperti telur dadar dan beberapa batang sosej.
"MENYERTAKAN telur dalam hidangan sarapan pagi memanjangkan rasa kenyang."


Makan enam kali sehari! Mungkin mengejutkan, tetapi amalan tiga hidangan utama dalam saiz hidangan berpatutan dan diselangi tiga kali snek yang baik boleh membantu perut agar tidak dalam keadaan lapar yang keterlaluan. Lapar yang melampau membuatkan seseorang makan lebih banyak daripada yang sepatutnya. makan snek seperti kekacang campuran bukan sahaja bagus untuk mengisi perut, malah membantu membina otot. 
 
Pakar diet turut mengingatkan bahawa pasta, roti putih dan kentang boleh membuatkan anda gemuk. Kalau teringin juga menjamah pasta dan roti, pastikan ia daripada jenis bijirin penuh. 
Selain itu, ganti pengambilan kentang kepada keledek, cuma jangan makan terlalu banyak. Minuman teh hijau juga boleh disertakan.
Anda juga perlu ke gimnasium untuk latihan senaman angkat berat. Otot yang dibina bukan sahaja meningkatkan prestasi, malah melonjakkan metabolisme yang menjana pembakaran kalori biarpun selepas bersenam. 
SUSU MELAWAN SELESEMA
MENGAMBIL selenium yang mencukupi (banyak terkandung dalam tiram, udang kara, ketam dan kima) dapat meningkatkan penghasilan sel protein imunisasi yang dipanggil sitokin. Sitokin dapat membantu menyingkirkan virus selesema dalam tubuh.
Selain itu, dalam banyak jenis lemak, Omega-3 yang ditemui dalam ikan seperti salmon Pasifik mampu menghasilkan paras darah sel T yang tinggi dan berupaya menentang selesema. Omega-3 kini mudah didapatkan dalam bentuk pil atau tablet di farmasi.
"AMALAN meminum teh hitam menguatkan sel imunisasi bagi melawan selesema."


Mengenai jenis minuman pula, tentangan terhadap virus selesema juga boleh dipertingkatkan jika seseorang mengamalkan pengambilan teh hitam. Ia dibuktikan dapat menggandakan kekebalan sel imunisasi. 
 
Pada masa yang sama, dalam kajian terhadap haiwan, asid linoleik (CLA) yang terkandung dalam produk tenusu mampu bertindak sedemikian. Kesan kajian tersebut untuk manusia mempunyai persamaan yang memberangsangkan.
Secara keseluruhannya, agen menentang virus selesema ini boleh didapati daripada sumber protein (ayam, ikan atau daging), vitamin A dan B6 (buah-buahan berwarna oren atau merah serta sayuran daun hijau) dan vitamin E (kacang tanah, minyak zaitun, badam, kacang hazel).
Pengambilan zat besi, zink dan vitamin B12 turut disyorkan.
ANCAMAN BURUNG MERPATI
 
NAJIS burung merpati bukan sekadar menimbulkan masalah pencemaran pemandangan. Ia juga satu ancaman terhadap kesihatan manusia. Paling utama ialah histoplasmosis iaitu jangkitan pada paru-paru yang menunjukkan simptom serupa dengan demam selesema.
"NAJIS burung merpati boleh menyebabkan meningitis dan penyakit kulat histoplasmosis."


Ini terjadi apabila merpati membawa spora kulat histoplasma kapsulatum dan menyebarkannya di tempat ramai manusia bernafas.
 
Tidak cukup dengan bulu-bulunya yang menjadi agen sebaran penyakit, najis burung merpati juga membawa berita buruk. 
Ia mengandungi pelbagai jenis kuman yang berisiko tinggi menyebabkan meningitis dan penyakit kulat histoplasmosis serta kriptokokosis.
Najis burung itu lebih mengancam kesihatan apabila terdapat di kawasan sumber air atau saluran udara kerana ia meningkatkan kemungkinan kuman menjangkiti sistem tubuh manusia.
Walaupun daging burung merpati dijadikan hidangan delikasi di beberapa negara, manusia tidak harus lupa bahawa merpati adalah sebahagian daripada kebimbangan selesema burung, virus West Nile, ensefalitis (radang otak) dan juga toksoplasmosis (penyakit bawaan mamalia dan burung akibat protozoa).
Lebih merisaukan ialah najis burung itu boleh menjadi punca kepada kes kematian akibat penyakit berbahaya lain seperti salmonella dan E. coli.
"MENCEGAH LEBIH BAIK DARI BERUBAT"
-ibnumustafa-