INGIN tahu apakah kebaikan susu kambing dan kepentingan potasium? Juga, bagaimana bilangan sperma boleh berkurangan serta mengapa anda perlu mendapatkan panduan ketika beriadah di gimnasium? Ikuti topik kesihatan ini seterusnya.
Ubat susu kambing
BUKAN sekadar dibuat keju, para saintis kini sedang menjayakan uji kaji bagi menghasilkan ubat yang membantu melancarkan peredaran darah dengan menggunakan susu kambing yang diubahsuai secara genetik.
Bakal menjadi yang pertama seumpamanya, ubat yang bakal dikenali dengan nama ATryn itu dikatakan baik untuk kegunaan golongan yang mengalami gangguan keturunan luar biasa seperti masalah darah tersumbat yang boleh membawa maut.
Kelulusan penghasilan ubat tersebut adalah langkah awal kepada lebih banyak penemuan baru dalam penghasilan ubat berasaskan susu kambing, termasuk rawatan hemofilia.
ATryn dibangunkan syarikat bioteknologi dari Massachusetts, Amerika Syarikat iaitu GTC Biotherapeutics, yang mengubah suai genetik kambing hinggakan haiwan ternakan itu mampu menghasilkan susu yang kaya dengan kandungan antitrombin. Antitrombin adalah sejenis protein yang boleh mencairkan darah manusia.
Kira-kira 1 dalam 5,000 orang manusia tidak memiliki protein sedemikian yang mencukupi dan ini membuatkan mereka berisiko tinggi mengalami saluran darah yang tersumbat. Jika itu terjadi, banyak komplikasi boleh berlaku dan ini membahayakan mereka yang menghadapi masalah berkaitan jantung dan juga proses kehamilan.
Pentingnya potasium
POTASIUM merupakan mineral makro yang sering diperlukan tubuh. Oleh kerana ia tidak disimpan untuk jangka masa panjang, seseorang perlu menyertakannya secara kerap dalam diet. Ia mudah dilakukan kerana potasium terkandung dalam kebanyakan jenis sumber makanan.
Golongan dengan tekanan darah tinggi pula digalakkan untuk mengambil jumlah potasium dalam jumlah yang tinggi kerana beberapa sebab. Ia bertindak sebagai elektrolit yang mengekalkan paras cecair dalam tubuh. Pada masa yang sama, mineral ini membantu mengawal tekanan darah, fungsi jantung dan hipertensi.
Potasium bereaksi dengan sodium dalam semua sel tubuh termasuk sinap saraf untuk mengekal dan mengembalikan potensi membran serta melancarkan proses metabolik. Ia juga kritikal dalam memastikan fungsi kardiovaskular dan memastikan tenaga otot dalam
keadaan baik.
Selain mengurangkan rasa pening kepala dan migrain, mineral ini juga penting untuk mempercepatkan kadar penyembuhan luka dan membantu situasi reumatik atau artritis kerana tindak balasnya menyingkirkan asid di bahagian sendi yang seterusnya meredakan kekejangan.
Kurang bilangan sperma
SECARA umumnya lelaki menyedari bahawa kuantiti dan kualiti sperma menentukan kelangsungan kehidupan dan keturunan. Bilangan sperma yang rendah hanya akan menimbulkan masalah pada kemudian hari, terutama bagi mereka yang ingin berkeluarga.
Masalah yang dideritai oleh lelaki selain kualiti sperma adalah bilangan sperma yang rendah serta sperma yang tidak sihat. Air mani yang sihat perlu berwarna sama ada putih atau kelabu selain bertekstur pekat. Kajian mendapati bahawa setiap mililiter air mani mengandungi kira-kira 20 juta sperma.
Secara purata, dalam 40 juta sperma, 75 peratus daripadanya perlu hidup dan 30 peratus perlu dalam bentuk yang normal. Seterusnya, 25 peratus daripada jumlah itu perlu cukup aktif untuk sampai ke ovum.
Antara penyebab kekurangan kuantiti dan kualiti sperma adalah jangkitan di tempat penghasilan air mani, pendedahan berpanjangan pada persekitaran panas, memakai seluar dalam yang terlalu ketat, berendam dalam air hangat terlalu lama dan juga berat badan berlebihan.
Selain itu, ejakulasi yang berulang dalam durasi waktu yang singkat juga tidak elok untuk kesihatan reproduktif lelaki. Peringatan ini perlu diberi perhatian sama seperti tabiat onani yang melampau, merokok, pengambilan alkohol, tekanan fizikal dan mental, kekurangan zink dan juga pengambilan steroid.
Sesi gim tanpa panduan
RAMAI yang pergi ke gim pada hari ini sekadar memenuhi tuntutan gaya hidup, tanpa memahami fungsi dan teknik bagi setiap rutin senaman atau latihan. Biasanya, program latihan kekuatan yang tidak seimbang sering dilakukan tanpa disedari.
Kebanyakan pengunjung gim hanya menumpukan pada otot tertentu seperti bahagian perut atau bisep, sedangkan sangat penting untuk memastikan setiap bahagian tubuh mendapat latihan yang bersesuaian demi mencapai keseimbangan kesihatan keseluruhannya.
Teknik yang salah juga menjurus kepada kecederaan. Antara yang sering dilakukan adalah seperti menggunakan momentum untuk angkatan beban, dan membiarkan lutut melebihi kedudukan jari kaki setiap kali membuat latihan menguatkan otot betis dan paha. Semua itu hanya memberi hasil yang kurang daripada sasaran optimum.
"MENCEGAH LEBIH BAIK DARI BERUBAT"
-ibnumustafa-
No comments:
Post a Comment