PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Saturday, January 17, 2009

PRK P036 Kuala Terengganu : Memilih PAS @ UMNO??!

Sesungguhnya Islam tidak hanya mewajibkan jihad dalam medan pertempuran dengan mengangkat senjata menghadapi pihak yang serba lengkap dengan peralatan persenjataan. Menuntut ilmu, keluar mengundi bagi menentukan para pemerintah yang adil, melawan hawa nafsu juga adalah termasuk bahagian-bahagian jihad yang ditetapkan oleh Islam.

Tidak kurang juga tanggungjawab menjalankan 'Amar Makruf dan Nahi Mungkar' merupakan tugas jihad yang semakin kurang dihidupkan peranannya sejak kebelakangan ini lantaran kesibukan tugasan harian sama ada di rumah mahupun di pejabat.

Antara peranan atau tugas Amar Makruf dan Nahi Mungkar yang mesti dijalankan dalam masyarakat umat Islam ialah untuk memberi nasihat atau mengingatkan golongan penguasa/pemerintah agar melaksanakan perintah Allah SWT secara praktikal berdasarkan hukum-hukum yang ada dalam al-Quran meliputi aspek kenegaraan, kemasyarakatan, sistem politik, ekonomi, pemeliharaan alam sekitar, penyelesaian terhadap permasalahan remaja dan sebagainya.

Tanggungjawab parti, pertubuhan atau gerakan Islam menasihati pemerintah

Nasihat atau memberi peringatan kepada pemerintah yang tidak komited dengan hukum-hukum yang ada dalam al-Quran serta pelaksanaannya, adalah menjadi tanggungjawab kepada mana-mana parti, pertubuhan atau gerakan Islam dalam sesebuah negara, ia bertujuan agar pemerintah tidak mengheret sama masyarakat umat Islam agar menjadi umat yang tidak berfungsi dengan elemen-elemen agama seperti yang diperintahkan Allah SWT.

Selagi mana terdapat pemerintah yang tidak melaksanakan hukum-hukum, undang-undang serta peraturan yang telah ditetapkan Allah SWT dalam al-Quran, maka ia patut diberi teguran agar seluruh masyarakat khususnya umat Islam tidak menanggung beban di akhirat atas kealpaan mereka kerana membelakangkan hukum-hukum Allah SWT.

Jika pemerintah merupakan golongan yang mudah menerima teguran atau nasihat, maka pihak terbabit seperti di atas wajib melakukannya, jika sebaliknya pemerintah adalah jenis yang sukar menerima sebarang teguran malah mengenakan tindakan yang tidak munasabah ke atas golongan yang menegur mereka, maka saluran yang betul perlu dicari bagi membetulkan keadaan, ia tidak lain adalah dengan saluran pilihan raya.

Pilihan raya satu kewajiban ke atas umat Islam

Apabila segala pendekatan nasihat tidak dapat disampaikan dengan baik, walaupun ia adalah yang terbaik bagi merubah sesuatu keadaan, maka umat Islam wajib mencari satu pendekatan, kaedah atau cara yang tidak melanggar ketentuan dan hukum Islam, ia tidak lain adalah melalui proses pilihan raya.

Walaupun pilihan raya itu dianggap bukan sebagai matlamat terakhir, tetapi ia diterima dan disifatkan sebagai wasilah bagi membolehkan proses 'Amar Makruf dan Nahi Mungkar' sebagaimana yang ditegaskan di kalangan para ulama' kontemporari seperti Syeikh Prof. Dr Yusuf al-Qaradawi, Syeikh Faisal Molawi, Dr Fathi Yakan, Dr Muhammad Said Hawwa dan lain-lain.

Ini bermakna apabila pilihan raya yang menjadi medan bagi menentukan kedudukan pemerintah selepas itu tidak disertai oleh segelintir muslim, maka mereka berdosa kerana memberi laluan dan kemenangan percuma kepada pemerintah yang zalim dengan pelbagai tindakan kejam seperti ISA kerana dengannya mereka yang ditahan di bawah akta itu dipisahkan dengan ahli keluarga sedangkan ia adalah dilarang oleh baginda Rasulullah SAW.

Apatah lagi jika pilihan raya mengandungi unsur-unsur penipuan dalam kiraan undi, pemindahan peti-peti undi ke tempat di mana calon pemerintah dikhuatiri tewas di tangan calon pembangkang dan sebagainya, maka penyertaan dalam pilihan raya oleh setiap muslim bukan lagi dianggap sebagai satu keharusan, malah ia wajib bagi memastikan penipuan dan pembohongan tidak berlaku kerana ia melanggar etika akhlak yang pernah ditegaskan oleh baginda Rasulullah SAW yang menganggap mereka yang berbohong ke atas umat Islam bukanlah dari golongan baginda Rasulullah SAW.

Perkara itu telah ditegaskan oleh Baginda SAW menerusi hadithnya yang diriwayatkan oleh ar-Rafi'e daripada Saidina Ali Bin Abi Talib KW yang bermaksud:

"Bukan dari golongan kami sesiapa yang menipu orang Islam, memudaratkannya atau melakukan sesuatu yang dibencinya." - Hadith Hasan

Memandangkan kemungkaran sejak kebelakangan ini semakin menjadi-jadi kerana ia dijana oleh pihak berkuasa yang membelakangkan hukum Allah SWT, dengan mereka cipta pelbagai bentuk maksiat khususnya hiburan keterlaluan dengan pelbagai nama dan pendekatan, maka menjadi kewajiban ke atas semua pengundi khususnya yang beragama Islam mengembalikan kemuliaan Islam dengan memenangkan calon yang berjiwa Islam dari segenap butir diri yang bertanding.

Memilih antara PAS atau UMNO?

Kalau dilihat kedua-dua parti yang bertanding dalam pilihan raya dalam negara kita Malaysia ini iaitu antara PAS dan UMNO, dari segi luarannya memang ia mewakili bangsa Melayu, tetapi apabila dilihat dari segi dasar perjuangan parti, ia amat berbeza antara satu sama lain.

Ini kerana PAS sejak dari mula penubuhannya sebagai sebuah parti politik meletakkan bahawa al-Quran adalah sandaran perjuangan, dalam erti kata PAS sedaya upaya mendaulatkan isi kandungan al-Quran dan menjadikannya perlembagaan tertinggi dalam negara.

Justeru, para pemimipin PAS serta calon-calonnya yakin bahawa etika akhlak penting lebih-lebih lagi dalam pilihan raya, ia merupakan amalan harian sepanjang masa.

Berbeza dengan pemimpin UMNO yang tidak beretika dengan akhlak Islam, ini dapat dibuktikan dengan banyaknya penganjuran program maksiat, walaupun ia dibantah oleh kumpulan cendekiawan serta golongan ulama' Islam, namun pandangan mereka dipinggirkan kerana bimbang tidak mendapat sokongan padu dalam pilihan raya dari golongan remaja yang sukakan hiburan.

Begitu juga pada awal kemenangan besar pilihan raya umum 2004, ketika PM menjanjikan kepada umum untuk menangkis sebarang penyelewengan khususnya yang melibatkan amalan rasuah di kalangan pemimpin atau menteri, namun ia sekadar untuk menyedapkan halwa telinga para pengundi, selepas itu janji tinggal janji, hanya tinggal kenangan yang akan berulang pada janji-janji pilihan raya umum ke 13 akan datang.

-am-

No comments: