Dalam perbincangan yang lalu, kita telah membincangkan persoalan kewajiban serta tangungjawab semua yang individu yang bernama Islam untuk keluar mengundi, kerana matlamat "Amar Makruf dan Nahi Mungkar" tidak akan tercapai pelaksanaannya melainkan dengan menentukan kepimpinan dalam pilihan raya, iaitu kepimpinan yang mendasari perintah Allah SWT dalam al-Quran, as-Sunnah, al-Ijma' dan al-Qias.
Penglibatan dan penyertaan para pengundi amat penting bagi menentukan corak pentadbiran negara yang lebih efisyen pada masa-masa akan datang dengan memilih calon yang lebih Islamik dalam segenap aspek kehidupan.
Pengundi yang berorientasikan ajaran Islam tidak akan merugikan undinya dengan memilih calon yang mensia-siakan peranan, tugas serta tanggungjawabnya sebagai wakil mereka, apatah lagi calon yang pernah disabitkan seperti dalam laporan akhbar terlibat dalam menerima atau memberi rasuah, dengan kata lain ia terkenal sebagai pengamal rasuah.
Mana-mana pengundi yang tersalah pilih calon yang bertanding dalam pilihan raya dengan memberi kemenangan mudah kepadanya, akan disoal di hadapan Allah SWT pada hari akhirat mengapa bersekongkol dengan pihak yang menganiyai golongan yang tertindas, selepas pilihan raya, rakyat dibebankan dengan kenaikan harga minyak, tol, tarif air, mungkin juga eletrik dan sebagainya dengan pelbagai alas an yang tidak munasabah.
Pengundi merupakan majikan (bos) ketika pilihan raya berlangsung
Allah SWT menjelaskan menerusi ayat 54 surah al-Zukhruf yang bermaksud:
"Maka Fir'aun mempengaruhi kaumnya (dengan perkataan itu) lalu mereka patuh kepadanya, kerana sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasiq."
Jelas dari apa yang diungkapkan Allah SWT dalam ayat di atas menunjukkan bahawa para pengundi diumpamakan Allah SWT sebagai golongan yang fasiq jika masih terus meyokong, bersama-sama atau cenderung kepada golongan yang menggunakan pengaruh atau pangkat bagi memperdaya golongan yang diperintah.
Justeru, pengundi ibarat majikan kerana calon yang bertanding dalam pilihan raya menagih kerja daripada pengundi buat tempoh lima tahun, tetapi selepas menang, segala sumpahan janjinya terhadap pengundi diabaikan, malah pengundi diperbodoh-bodohkan. Mengapa pengundi mensia-siakan peluang dengan memilih calon yang tidak komited pada janji apatah lagi kepada Islam, mereka patut dihukum dengan tidak diberi peluang untuk terus berkuasa.
Mana janji-janji mereka untuk mendaulatkan agama Islam, sedangkan syiar-syiarnya seperti surau dirobohkan, ke mana menghilang mereka yang dipilih oleh pengundi dengan membisu seribu bahasa, sedangkan pada masa yang sama penganut agama lain sanggup berdepan dengan pelbagai rintangan dan risiko. Di mana jati diri pemerintah yang beragama Islam dalam isu ini?
Pilihan raya adalah salah satu bentuk jihad bagi merubah mungkar
Menurut Setiausaha Agung Gerakan Islam Lubnan, Syeikh Faisal Molawi merangkap Pengerusi Majlis Fatwa Eropah menegaskan, bahawa penyertaan pengundi dalam memilih bakal pemimpin dalam pilihan raya adalah satu tindakan jihad.
Ini kerana apabila calon yang menang dari kalangan mereka yang berjiwa Islam, akan menggunakan pengaruh, peranan serta tanggungjawabnya bagi memberi khidmat kepada Islam, iaitu dengan menolak segala usaha pemerintah yang mahu meneruskan agenda mungkar seperti penganjuran program maksiat seperti Akademi Fantasia, konsert Jom Heboh, sehati berdansa, Raja lawak (lawaking), filem-filem yang jelas tersasar daripada ajaran Islam seperti Anak Halal, Gubra, Sepet, Akhirat, Cicakman dan lain-lain.
Walaupun usaha tersebut dianggap payah untuk dilakukan, kerana pemerintah yang ada telah menanam benih maksiat dalam jiwa dan sanubari khususnya golongan remaja yang disifatkan sebagai golongan yang akan memberi undi kepada mereka, namun segala itu adalah kerja Allah SWT yang tidak mustahil memenangkan golongan yang bercita-cita untuk mendaulatkan hukum al-Quran.
Sehubungan itu Allah SWT menjelaskan menerusi ayat 7 surah Muhammad:
"Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu tolong agama Allah maka Dia akan menolong kamu dan menetapkan pendirian kamu."
Penyertaan dalam pilihan raya dianggap jihad kerana mampu menahan/menyekat kerakusan pihak berkuasa yang telah menyimpang jauh dari amalan ajaran agama Islam, maka melakukan pembaikan/pengislahan itu menepati matlamat penyertaan dalam pilihan raya.
Justeru, menurut Syeikh Molawi lagi, mana-mana individu atau kumpulan atau kelompok Islam yang tidak mengikut serta dalam membuang undi bagi memenangkan calon-calon yang berjiwa Islam pada pilihan raya, adalah dianggap berdosa kerana seolah-olah mereka bersetuju dengan tindakan nagatif yang dilakukan oleh pemerintah yang sedia ada.
Tidak boleh dianggap ringan untuk membuang undi bagi mengalahkan golongan yang berorientasikan fahaman Sekular, Sosialis, Kapaitalis, Komunis dan lain-lain, kerana ia bercanggah dengan ajaran agama Islam.
Sesungguhnya hukum menyertai pilihan raya bukanlah kekal, ia boleh dimansuhkan jika yang memerintah itu kembali kepada proses pemilihan pucuk pimpinan seperti yang pernah dilakukan oleh para Khulafa' Rasyidun.
Tetapi perlu diingat, bahawa selagi Barisan Nasional memerintah dan berusaha untuk mengekalkan pemerintahan, sudah pasti ia akan kekalkan sistem pilihan raya atas alasan demokrasi, namun dari apa yang dapat dilihat, proses pilihan raya di Malaysia adalah tidak bebas, penuh dengan penipuan dan rasuah politik, di mana para pengundi disogok dengan pelbagai jenis rasuah bagi memenangkan calon-calon yang tidak bermaruah, hanya berjanji pada pilihan raya tetapi selepas berakhirnya pilihan raya, mereka tidak mengenal pengundi yang memenangkan mereka.
Tipu adalah satu dosa, sama ada ketika atau di luar pilihan raya
Sehubungan itu baginda Rasulullah SAW bersabda yang bermaksyd:
"Berpeganglah kalian kepada kejujuran, kerana itu akan membimbing kepada kebaikan, dan kebaikan itu akan membimbing ke syurga. Seseorang hamba yang berbuat jujur dan membiasakan sifat ini hingga dia dicatat di sisi Allah SWT sebagai seorang yang siddiq (jujur). Berhati-hatilah kalian dari dusta, kerana dusta itu akan membimbing kepada kejahatan, dan kejahatan itu akan membimbing ke neraka. Seseorang hamba yang berdusta dan membiasakannya hingga dicatat di sisi Allah SWT sebagai seorang pendusta." - HR Al-Bukhari, Muslim, Ahmad, Abu Dawud, Malik, At-Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ad-Darimi, sedangkan lafadznya dari Muslim)
Justeru, berwaspadalah wahai pengundi-pengundi sekelian daripada termakan kata-kata manis calon yang memang mengamalkan sifat dusta, kerana ia tidak akan membawa rakyat kepada kebaikan, malah menempah kemarahan Allah SWT sekali gus tidak mendapat tempat di sisi-Nya pada hari kiamat.
"Kepada seluruh warga pengundi P036 Kuala Terengganu, SELAMAT MENGUNDI diucapkan.. Mengundilah kerana Allah SWT.. Yakinlah diri, kita adalah hamba Allah SWT dan bukan hamba duit atau sebagainya..."
-am-
No comments:
Post a Comment