PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Tuesday, September 2, 2008

Kemenangan Dato' Seri Anwar Ibrahim ancam masa depan politik pemimpin UMNO!!

Kemenangan Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos lalu merupakan langkah pertama beliau bagi memberi keyakinan kepada Ahli Parlimen lain untuk memberi sokongan pada 16 September ini.

Selagi Anwar tidak berstatus wakil rakyat di Dewan Rakyat agak sukar bagi beliau memberi keyakinan kepada Ahli Parlimen lain dalam Barisan Nasional (BN) sama ada peristiwa 16 September boleh berlaku atau tidak.

Sebelum ini terdapat perancangan Anwar tidak perlu bertanding dalam pilihan raya kecil, cuma perlu menunggu tarikh tersebut dan mengangkat Ketua Pembangkang, Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Perdana Menteri wanita yang pertama.

Dengan kuasa Wan Azizah, Anwar kemudiannya dilantik Senator dan melepaskan jawatan beliau kepada suaminya.

Teori tersebut agak mudah tetapi tarikh menuju kepada 16 September banyak liku dan ranjau sebagaimana kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Anwar boleh membeli tetapi bida'an orang lain lebih tinggi.

Bagaimanapun setelah menjadi Ahli Parlimen, tawaran Anwar lebih meyakinkan. Ahli Parlimen lain melihat kesungguhan dan keupayaan Anwar melalui langkah pertama untuk menuju ke Putrajaya tetapi berlakukah lompat dan peralihan kuasa pada tarikh tersebut?

Tawaran Anwar kepada Ahli Parlimen di Sabah dan Sarawak terdiri daripada pelbagai parti politik dalam BN. Sekiranya mereka ini mewakili satu parti barangkali kerja Anwar menjadi mudah.

Sebaliknya keadaan ini cukup sukar kerana sudah tentu banyak pertemuan dan tawaran. Diantara parti yang terlibat juga perlu ada kesepakatan. Jika tidak masing-masing menunggu siapa yang berani bertindak terlebih dahulu?

Bagi Ahli Parlimen di Sabah dan Sarawak, walaupun tawaran tersebut menarik untuk kepentingan dan kemajuan negeri mereka tetapi dalam masa sama kepentingan peribadi juga mesti terbela.

Peristiwa gertakan awal Ahli Parlimen daripada Parti Maju Sabah (SAPP) mahu membuat usul tidak percaya kepada Abdullah akhinya tidak kecapaian kerana ada sikap tunggu dan lihat daripada Ahli Parlimen lain.

Nasib agak baik bagi dua Ahli Parlimen SAPP apabila beliau tidak dikenakan tindakan disiplin oleh BN. Bagaimanapun sikap lembut Pengerusi BN boleh mengancam kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri.

Sekiranya Anwar berjaya menarik Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak menyertai Pakatan Rakyat maka menjadi mudah bagi beliau untuk menjinak Ahli Parlimen Gerakan dan MCA malah dalam Umno itu sendiri.

Dalam BN, Umno mempunyai 79 kerusi Parlimen diikuti MCA (15), PBB - Parti Pesaka Bumiputra Sarawak (14), PRS - Parti Rakyat Sarawak (6), SUPP - Parti Rakyat Bersatu Sarawak (6), SPDP - Parti Progresif Demokrasi Sarawak (4), UPKO - Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (4), MIC (3), PBS - Parti Bersatu Sabah (3), Gerakan (2), SAPP - Parti Progresif Sabah (2), LDP (1) dan PBRS - Parti Bersatu Rakyat Sabah (1).

Namun begitu Anwar telah menuju jauh dalam politik berbanding seterunya Mahathir yang masih terkapai-kapai.

Anwar berjaya menjadikan Permatang Pauh sebagai kubunya seperti kata Abdullah, kemenangan itu sememangnya sudah dijangkakan oleh banyak pihak memandangkan kawasan itu dianggap sebagai kawasan Anwar sejak dahulu lagi.

Anwar seperti juga Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga mempunyai kubu politik di situ tetapi berlainan dengan Mahathir masih ada lagikah kubu beliau? Masih berkukukah Mahathir dalam politik?

Ramai yang berminat dengan Maahthir kerana kritikannya kepada Perdana Menteri. Sebagai cediakawan dan bekas Perdana Menteri yang memerintah lebih 20 tahun, pandangan beliau dihormati. Bagaimanapun dalam politik beliau belum tentu lagi berpengaruh.

Beliau hanya berani menyerang Abdullah melalui belakang. Jika beliau rasa masih berkuku dalam politik, beliau boleh bertanding dalam pilihan raya kecil seperti Anwar.

Kerusi masih ada. Anak beliau Ahli Parlimen Jerlun, Dato' Mukhriz mungkin boleh memberi laluan. Sudah tentu Parlimen bertambah ceria dengan golongan politik berjiwa besar.

Mahathir juga gagal sejak beliau isytihar keluar parti kerana tidak berjaya mengajak Ahli Parlimen Umno ikut serta keluar parti menjadi bebas.

Ada yang kata mungkin Mahathir sudah berusia dan tentu tidak boleh pergi jauh berbanding Anwar tetapi melihat kepada semangat beliau seperti tidak kenal usia.

Selain itu Mahathir ada regu dan beria sangat mahu Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri.

Atau apakah beliau berkemungkinan mengakhiri penghujung karier politiknya sama seperti Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn? Sama-sama berakhir diluar politik Umno.

Tengku Razaleigh walaupun kerap gagal dalam Umno tetapi bukan merupakan orang yang berputus asa. Walaupun era perwakilan beliau dalam Umno sudah berkurangan tetapi beliau tetap menunjukkan sikap melawan.

Keberanian beliau sedikit sebanyak menyebabkan Abdullah dan Najib terpaksa membuat peralihan kuasa seumpama perjanjian pengunduran dan pergantian pada 2010.

Jika tiada perjanjian ini mungkin Abdullah terancam dan sekiranya Razaleigh menang melawan Abdullah maka impian Najib untuk menjadi Perdana Menteri tenggelam dan buat kali kedua Mahathir kecewa lagi.

-am-

No comments: