PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Tuesday, May 19, 2009

Mengambil iktibar dari watak Saidina Abu Bakar RA & Omar RA

Bagi pengamal sirah para sahabat RA, akan mendapati bahawa antara kedua-dua pimpinan tertinggi khalifah Islamiyah selepas kewafatan baginda Rasulullah SAW iaitu antara Khalifah Saidina Abu Bakar as-Siddiq dan Saidina Omar al-Khattab, mempunyai perwatakan dan keperibadaan yang sama sekali berbeza antara satu sama lain.

Ini kerana ada yang ulama' sirah seperti Prof Dr Yahya Ismail, pensyarah Hadith di Fakulti Usuluddin, Universiti al-Azhar dalam buku sirahnya berpendapat, bahawa kelainan perwatakan yang ada antara kedua-duanya merupakan satu anugerah Allah SWT yang paling besar ke atas umat Islam. Ini kerana Saidina Abu Bakar RA sering dikaitkan dengan seorang yang bersikap lemah lembut dan mirip kepada sifat berkasih sayang, sementara Saidina Omar RA pula ada yang mengaitkan dengan seorang yang tegas, berani dan agak sedikit keras.

Kedua-dua perwatakan tersebut sebenarnya amat diperlukan dalam sebuah 'jemaah Islam' seperti PAS yang bercita-cita memperjuangkan Islam dalam segenap aspek kehidupan, terutamanya memastikan undang-undang negara berdasarkan prinsip hukum Ilahi. Ini kerana kedua-dua cara dan penampilan kedua-dua pimpinan khalifah tersebut sesuai sepanjang zaman di mana wujudnya kambing-kambing hitam yang mahu menumbangkan pemerintahan secara tidak demokratik.

Apa yang kita boleh belajar daripada kedua-dua tokoh sahabat Rasulullah SAW berkenaan, ialah salah seorang daripada keduanya memiliki sifat 'low profile' dan seorang lagi tegas, lebih-lebih lagi berlaku insiden atau tragedi yang menyanggah kesucian agama, ia dapat dilihat dalam satu peristiwa selepas berakhirnya perang Badar Kubra.

Dalam peperangan itu, umat Islam berjaya membunuh kira-kira 70 musyrikin dan menawan 70 yang lain, baginda Rasulullah SAW tidak dapat memutuskan kedudukan 70 tawanan tersebut. Maka kedua-dua Abu Bakar RA dan Omar RA dipanggil untuk mendapatkan pendapat mereka. Saidina Abu Bakar RA mencadangkan agar setiap daripada tawanan berkenaan mengajar 10 anak orang Islam mengenai hal-hal yang bersangkutan dengan ilmu peperangan, cara-cara membuat senjata dan sebagainya, jika projek itu berjaya bermakna 700 anak-anak orang mahir dalam bidang peperangan.

Rasulullah SAW bersetuju dengan pendapat Abu Bakar RA itu, walau bagaimanapun baginda tetap mahu mendengar pendapat daripada Saidina Omar RA pula. Omar RA juga menyatakan bahawa pendapat Abu Bakar RA itu ada kebenarannya, tetapi baginya disebabkan puak-puak musyrikin itu adalah punca kepada berlakunya penyelewengan terhadap umat manusia, maka beliau mecadangkan agar kesemua mereka yang ditawan itu dipancung sahaja kepala mereka.

Rasulullah SAW tidak dapat nak memutuskan antara kedua-dua pendapat itu, namun baginda menegaskan bahawa mahu berjumpa mereka berdua pada keesokan hari di tempat yang sama. Pada malam itu Allah SWT memutuskan keputusannya mengenai kedudukan tawanan perang melalui ayat 67 surah al-Anfal sebagai teguran kepada Nabi:

"Tidaklah patut bagi seseorang Nabi mempunyai orang-orang tawanan sebelum dia dapat membunuh sebanyak-banyaknya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda dunia (yang tidak kekal), sedang Allah menghendaki (untuk kamu pahala) akhirat. dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

Boleh dibuat kesimpulan mengenai ayat di atas, bahawa Allah SWT mahu agar Nabi-Nya membunuh (dengan memenggal kepala) para tawanannya, ada mufassir menyebut seolah-olah pendapat Omar RA menepati ayat yang telah Allah SWT tentukan sejak di 'Luh Mahfuz' lagi kedudukan mereka yang menentang Rasulullah SAW. Ia bukanlah satu pendapat yang memperlihatkan kegarangan Omar RA, akan tetapi merekalah punca ramai manusia menentang Allah SWT.

Setelah kewafatan baginda Rasulullah SAW, tampuk pemerintahan diserahkan kepada Saidina Abu Bakar RA dengan cara syura dijalankan. Abu Bakar RA berpegang prinsip yang menepati cara dan kaedah perwatakannya. Justeru beliau memilih orang yang tegas dalam memimpin ketumbukan perang agar ketahan Islam dapat dipelihara. Khalid Bin al-Walid RA menjadi pilihannya, kerana Khalid RA adalah individu yang suka berperang dan mempunyai banyak pengalaman dalam peperangan.

Ringkasnya, apabila Saidina Abu Bakar RA meninggal dunia, jawatan itu tidak dikekalkan Omar RA kepada Khalid RA, kerana Omar RA tahu bahawa beliau dan Khalid RA mempunyai watak yang sama, nanti mereka berdua akan bertindak mengarahkan agar umat Islam sentiasa berperang. Khalid RA menerima pelucutan jawatannya sebagai panglima perang, kerana beliau juga tahu keadaan tersebut, maka Saidina Omar RA melantik Sa'ad Bin Abi Waqqas RA yang memiliki ciri-ciri yang ada pada Abu Bakar RA.

Maknanya, kedua-dua Saidina Abu Bakar RA dan Omar RA memahami tuntutan berjemaah, di mana perlu ada seorang yang berwatak agak tidak keras dan seorang lagi berwatak agak tegas pada satu-satu masa. Inilah yang mereka belajar daripada Sirah baginda Rasulullah SAW yang mahukan kedua-dua watak itu wujud dalam 'jemaah Islam'.

Maka dalam PAS juga yang menyifatkan dirinya Islamik, sudah tentu tidak boleh membebaskan dirinya daripada kedua-dua elemen penting itu yang mampu melonjakkan sebagai sebuah gerakan Islam, ia tidak berkecuali apa yang pernah terjadi kepada pimpinan Gerakan Ikhwan Muslimun dalam menentukan sikap mereka terhadap perjuangan Syiah, ada yang berlembut dan ada yang tegas menolak untuk berbaik dengan Syiah.

Dalam senario politik tanah air, banyak yang diperkatakan sejak akhir-akhir ini oleh pihak tertentu mengenai keperibadian kedua-dua tokoh tertinggi dalam Parti Islam SeMalaysia (PAS), iaitu Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, seolah-olah suatu kecenderungan mahu melaga-lagakan antara mereka berdua. Bagi yang telah mengikuti huraian di atas, maka tidak akan ada lagi spekulasi yang membabitkan kedua-dua tokoh berkenaan.

Sebenarnya perbuatan seumpama itu akan merugikan perjuangan parti sendiri. Apa yang penting kita memiliki panduan iaitu al-Quran, jika sesuatu berita itu dilihat cenderung ke arah melaga-lagakan tokoh pimpinan PAS yang berusaha untuk mendaulatkan Islam, anggaplah ia sebagai sebuah berita yang didatangkan oleh golongan yang fasik, maknanya berita itu perlu diselidiki terlebih dahulu kesahihannya seperti yang diarahkan Allah SWT untuk berbuat demikian menerusi ayat 6 surah al-Hujurat:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka hendaklah selidiki dengan teliti terlebih dahulu, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan kamu itu."

Sebagai kesimpulan, bagi menjernihkan keadaan di kalangan ahli-ahli parti lebih-lebih lagi menjelang 'Muktamar Tahunan PAS' pada Jun depan dalam suasana pemilihan pucuk pimpinan parti, adalah diharapkan agar setiap perwakilan dapat menggunakan kewarasan cara berfikir dengan tidak bertindak secara melulu, lebih-lebih lagi isu yang mengaitkan ketokohan kedua-dua pimpinan tertinggi PAS yang semakin panas di dada akhbar dan laporan siaran berita yang mempunyai agenda tersendiri.

-ibnumustafa-

No comments: