Dunia hari ini begitu mencabar dan penuh dengan kemaksiatan. Jiwa umat Islam terdedah kepada perkara-perkara yang tidak baik dari sehari ke sehari. Seandainya jiwa ini tidak dibersihkan, ia akan menjadi terlalu kotor dan sukar lagi untuk diajak kepada kebenaran. Tazkiyyatun nafs atau penyucian hati merupakan satu ilmu yang dituntut untuk dipelajari dan dihayati oleh setiap individu muslim. Namun, ilmu ini seakan hampir dilupakan oleh majoriti umat Islam hari ini. Akibatnya, ramainya umat Islam pada hari ini hanyalah seperti buih-buih di lautan. Sebagai seorang ahli jemaah, seharusnya teridam di dalam hati untuk menjadi muslim yang berkualiti. Usaha-usaha membentuk individu muslim yang berkualiti memerlukan penekanan kepada aspek tazkiyyatun nafs di samping tarbiyyah dari segi luaran.
Pengertian
Tazkiyyah berasal dari kalimah ‘zakaa’ yang bermaksud bersih/suci/perbaiki. Dari perkataan ini juga lahirlah kalimah zakaat yang bermaksud pembersihan harta. Firman Allah SWT:
وَلَوْلاَ فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ مَا زَكَى مِنكُم مِّنْ أَحَدٍ أَبَداً وَلَـكِنَّ اللَّهَ يُزَكِّى مَن يَشَآءُ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
“….sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu sekalian, nescaya tidak seorangpun dari kamu bersih (dari perbuatan-perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa yang dikehendakiNya, Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”. - Surah An-Nur : 21
Nafs pula membawa maksud nafsu/roh/nyawa/jiwa. Perkataan nafs banyak disebutkan dalam Al-Quran. Antaranya:
وَمَآ أُبَرِّىءُ نَفْسِى إِنَّ النَّفْسَ لأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلاَّ مَا رَحِمَ رَبِّى إِنَّ رَبِّى غَفُورٌ رَّحِيمٌ
“Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” - Surah Yusuf : 53
يأَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ - ارْجِعِى إِلَى رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً
“Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhaiNya”. - Surah Al-Fajr : 27-28
Perkataan nafs membawa banyak pengertian namun tiada satu pun yang memuaskan maksudnya dan sesungguhnya Allah SWT lebih mengetahui.
وَيَسْـَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّى وَمَآ أُوتِيتُم مِّن الْعِلْمِ إِلاَّ قَلِيلاً
“Mereka bertanya kepadamu (hai Muhammad) tentang (hakikat ihsan) roh. Katakanlah bahawa roh itu termasuk urusan Tuhanku dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit sekali” - Surah Al-Isra’ : 85
Tazkiyyatun nafs adalah proses pembersihan jiwa dan hati dari pelbagai dosa dan sifat-sifat mazmumah yang mengotorinya, dan diikuti dengan proses peningkatan kualiti jiwa dan hati tersebut dengan mengembangkan sifat-sifat mahmudah yang diredhai Allah SWT dengan mujahadah, ibadah dan berbagai-bagai perbuatan baik, sehingga hati dan jiwa menjadi bersih dan baik serta berkualiti.
Keperluan Tazkiyyatun Nafs
1. Mewujudkan individu muslim yang berakhlak mulia
Setiap perbuatan manusia bergantung kepada hati. Jika bersih hatinya dari sifat-sifat mazmumah, maka terpeliharalah individu tersebut dari akhlak tercela. Sebaliknya, hati manusia tidak bergantung pada perbuatannya. Seseorang yang baik perilakunya, tidaklah bermakna hatinya bersih dan suci. Sabda Rasulullah SAW:
"Ketahuilah sesungguhnya di dalam tubuh manusia ada suatu organ (mudghah), apabila ia baik, baiklah seluruh tubuhnya, apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh tubuh itu. Dan organ itu adalah hati".
Sebagai seorang yang mendokong perjuangan Islam, akhlak kita akan sentiasa diperhatikan oleh madú malah penyampaian dakwah akan lebih berkesan dengan adanya contoh yang baik sebagaimana Rasulullah menjadi uswatun hasanah di kalangan penduduk Mekah. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 44 yang berbunyi:
"Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebaikan sedang kamu melupakan diri kamu sendiri padahal kamu membaca al-Kitab (Taurat). Maka tidakkah kamu berfikir".
2. Risalah utama Rasulullah SAW
"Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayatNya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah (As Sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata". - Surah Al-Jumu'ah : 2
Dalam ayat ini, dijelaskan pengutusan Rasulullah SAW bukan semata-mata untuk berdakwah malah untuk menyucikan hati seluruh umat manusia. Penegakkan perkara yang ma'ruf atas satu kemungkaran bukanlah satu kaedah yang termaktub dalam sirah Rasulullah SAW. Kita dapat lihat bagaimana pada peringkat awal dakwahnya, Rasulullah SAW berusaha bersungguh-sungguh membetulkan aqidah masyarakat jahiliyyah sebelum menuju kepada perkara-perkara yang lain. Aqidah amat berkait rapat dengan hati kerana pengertian aqidah merangkumi 3 aspek iaitu membenarkan dengan hati, mengucap dengan lidah dan beramal dengan anggota badan. Hanya hati yang benar-benar bersih dan suci, dengan hidayah dari Allah SWT, akan dapat menerima seruan Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
Syaikh Sa'id Hawwa dalam bukunya Tazkiyyatun Nafs ada menjelaskan bahawa Tazkiyyatun Nafs adalah salah satu tugas utama para rasul, ia juga merupakan tujuan yang dicapai oleh orang-orang bertaqwa.
3. Faktor kejayaan orang mukmin
"Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan diri (dengan beriman. Dan dia ingat nama Tuhannya, lalu dia solat" - Surah Al-A'laa : 14-15
"Sesungguhnya beruntunglah orang-orang beriman, iaitu orang-orang yang khusyu'dalam solatnya, dan orang-orang yang menjauhkan dirinya dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna". - Surah Al-Mukminun : 1-3
Menurut Syaikh Sa'id Hawwa, solat memainkan peranan yang besar dalam proses tazkiyyatun nafs. Secara lahirnya, penegakkan solat dengan sempurna dapat memusnahkan bibit-bibit kesombongan dan pembangkangan kepada Allah SWT, meleraikan rasa 'ujub, bahkan dapat mencegah kita dari kemungkaran dan kekejian.
Solat yang disertai dengan khusyu' akan memainkan peranan yang lebih besar dalam proses penyucian hati. Solat secara lahiriah masih dilaksanakan dengan baik oleh kebanyakan umat Islam hari ini, tetapi sejauh mana kita khusyu' dalam melaksanakannya, masih menjadi satu tanda tanya. Rasulullah SAW bersabda;
"Ilmu yang pertama diangkat dari muka bumi adalah kekusyukan". (Riwayat Tabrani).
Ilmu kekusyukan ini berkaitan dengan ilmu penyucian hati dari pelbagai penyakit dan keupayaan merealisasikan kesihatan hati itu. Malangnya, ilmu ini makin hilang dari masyarakat kini lantaran maksiat dan mungkar berleluasa di mana-mana, lantaran sibuk dengan urusan duniawi, lantaran tiadanya atau kurangnya penghayatan tazkiyyatun nafs dalam kehidupan manusia khususnya umat Islam.
Demikianlah pentingnya kedudukan khusyuk dalam solat, sehingga solat yang tidak disertai dengan khusyuk boleh menggambarkan bagaimana rosaknya hati seseorang. Hati yang didominasi dengan hawa nafsu dan perkara-perkara keduniaan akan mudah terlalai malah hampir mustahil untuk mendapat kekhusyukan apatah lagi untuk menjadi orang yang beruntung di sisi Allah SWT.
4. Langkah pertama kepada perubahan ummah
"….Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri…." - Surah Ar-Ra'd : 11
Umat Islam hari ini berada dalam serba kelemahan dan kepincangan. Punca utama di sebalik kelemahan dan kepincangan ini ialah faktor-faktor dalaman umat Islam itu sendiri sebelum factor-faktor luaran seperti tipu daya musuh dan sebagainya. Penyelesaian masalah dalaman ini perlukan kepada pentazkiyyahan individu-individu yang membentuk ummah itu sendiri. Individu-individu tersebut adalah kita. Malah adalah penting untuk kita yang mendokong perjuangan Islam mengamalkannya terlebih dahulu di samping berusaha mentazkiyyah masyarakat sekeliling.
Menyedari kepentingan tazkiyyatun nafs dalam usaha mendaulatkan Islam dalam masyarakat dan negara, Imam Hasan al Hudaibi dalam satu seruannya yang masyhur menyatakan:
"Tegakkanlah negara Islam di dalam hati kamu nescaya ia akan tertegak di atas bumi kamu".
6 Tahap Tazkiyatun-Nafs
1. Mu'ahadah
Mu’ahadah membawa maksud berjanji kepada Allah SWT untuk melaksanakan semua perintahNya dan mengingat bahawa setiap pelanggaran janji akan membawa akibat yang tidak baik kepada diri sendiri.
Pengesahan seorang muslim bermula dengan terucapnya kalimah syahadatain yang mengandungi persaksian atau perjanjian mengaku tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad itu utusan Allah. Persaksian ini menuntut kita taat kepada perintahNya dan rasulNya. Sebarang perkataan atau perbuatan yang bertentangan dengan ketaatan padaNya akan membatalkan kalimah ini. Kalimah ini mesti dianggap sebagai satu bentuk perjanjian seorang muslim kepada Allah SWT.
Ini ditambah pula dengan bacaan yang dilafazkan dalam solat, seperti:
“Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan semesta alam”. - Surah Al-An-‘Aam : 162
“Hanya kepadaMu kami menyembah dan hanya padaMu kami mohon pertolongan” - Surah Al-Fatihah : 4, sekurang-kurangnya 17 kali sehari semalam.
Begitu banyak kalimah janji yang kita lafazkan kepada Allah SWT samada dalam sedar atau tidak. Hanyalah mereka yang menyedari hakikat perjanjian ini dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menepatinya akan mendapat ganjaran yang setimpal dari Allah SWT sebagaimana firmanNya yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu’min, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar”. - Surah At-Taubah : 111
Hukum berjanji mestilah ditepati. Sedangkan berjanji sesama manusia menuntut untuk ditepati, inikan pula perjanjian dengan Allah SWT. Tidak ramai antara kita yang menyedari hakikat ini maka memungkirinya secara sedar mahupun tidak.
“Dan tepatilah perjanjian dengan Allah apabila kamu berjanji dan janganlah kamu membatalkan sumpah-sumpah(mu) itu, sesudah meneguhkannya, sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai saksimu (terhadap sumpah-sumpah itu). Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu perbuat”. - Surah An-Nahl : 91
Antara cara-cara untuk bermu’ahadah ialah dengan selalu berkhalwat kepada Allah SWT, bermunajat dan mengingat ikrar (janji) yang selalu kita lafazkan dalam solat. Menangis ketika berkhalwat merupakan bentuk ketakutan kita kepada Allah SWT dan merasakan kekerdilan diri kita dan keMaha Besaran Allah SWT dengan selalu mengagungkan ciptaan-ciptaanNya.
2. Muraqabah
Muraqabah ialah melakukan ketaatan dengan ikhlas dan meninggalkan kemaksiatan secara total kerana merasa bahawa Allah SWT selalu bersamanya. Setiap daripada kita tentunya yakin dan percaya bahawa Allah SWT sentiasa memerhatikan kita dan setiap amalan akan dicatat oleh malaikat yang tidak pernah terleka.
“Tidak ada satu jiwa pun (diri) melainkan ada penjaganya” - Surah Ath-Thaariq :4
“Kamu tidak berada dalam suatu keadaan dan tidak membaca suatu ayat dari Al-Quran dan kamu tidak mengerjakan suatu pekerjaan, melainkan Kami menjadi saksi atasmu di waktu kamu melakukannya. Tidak luput dari pengetahuan Tuhanmu biarpun sebesar zarah di bumi ataupun di langit. Tidak ada yang lebih kecil dan tidak pula yang lebih besar dari itu, melainkan (semua tercatat) dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfudz)”. - Surah Yunus : 61
Walaupun kita yakin akan kebersamaan Allah SWT ini tetapi kita masih tidak sunyi dari terus berbuat dosa akibat sifat manusia yang selalu terlupa dan lalai. Hanya mereka yang betul-betul suci hatinya akan sentiasa ingat dan merasa bahawa dirinya sentiasa diperhatikan Allah SWT. Konsep muraqabah amat berkait rapat dengan konsep ihsan yang bilamana ditanya tentang ihsan, Rasulullah SAW telah bersabda:
“Ihsan itu apabila engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihat Allah, jika engkau tidak melihatNya, maka sesungguhnya Dia melihatmu”. (Riwayat Muslim)
Penghayatan konsep muraqabah ini akan melahirkan individu yang sentiasa melakukan sesuatu dengan niat semata-mata kerana Allah SWT, kerana dia tahu dan yakin bahawa Allah SWT sentiasa memerhatikannya. Individu ini juga akan terpelihara dari segala sifat-sifat buruk dan perkara-perkara yang boleh melalaikan hati dan perbuatannya dari beribadat kepada Allah SWT. Mereka akan lebih berhati-hati dalam setiap langkah yang diambil lantaran membawa mereka kepada ketaqwaan kepada Allah SWT. Analoginya, seorang hamba akan melakukan kerja sebaik mungkin seandainya tahu dan sedar bahawa tuannya sedang memerhatikannya.
Antara kisah yang boleh dijadikan contoh ialah kisah Abdullah Ibn Umar dengan seorang pengembala kambing, di mana beliau telah meminta pegembala tersebut supaya menjual kambingnya tanpa pengetahuan majikannya. Tetapi dijawab oleh pengembala tersebut;
“kalau begitu di mana Allah?”.
3. Muhasabah dan Beramal
Muhasabah berasal dari perkataan ‘hasaba’ yang bermaksud hisab atau menilai diri.
“Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatNya untuk hari esok (akhirat) dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”. - Surah Al-Hasyr : 18
Dalam ayat di atas, orang-orang yang mengaku beriman digesa supaya memeriksa atau mengingat kembali segala amal yang telah dilakukan dalam sehari. Ini demi menjaga orang-orang yang beriman daripada mengulangi kesalahan atau dosa yang telah dilakukan dengan sengaja mahupun tidak kerana mereka yang berterusan melakukan dosa adalah dianggap fasik.
Sabda Rasulullah SAW:
“Orang yang pandai ialah yang membetulkan dirinya, bersedia beramal sebagai bekalan untuk mati, dan orang yang lemah ialah yang selalu menurut keinginannya dan mengharapkan pelbagai angan-angan kepada Allah” (Riwayat At-Tirmidzi)
Muhasabah mestilah dilakukan sepanjang masa kerana kita tidak terlepas dari membuat dosa. Mereka yang tidak beramal dengan muhasabah ini akan bertindak mengikut nafsu atau keinginan sendiri kerana tidak pernah menilai sama ada apa yang telah dilakukan itu betul atau tidak. Sebagai seorang yang menyeru kepada Islam, kita tidak terlepas dari berbuat salah kepada diri sendiri mahupun kepada madú. Justeru, dengan muhasabah, kita dapat memperbaiki diri untuk menjadi insan yang lebih baik dari sehari ke sehari. Selain itu, konsep muhasabah akan mengingatkan kita tentang hisab yang akan berlaku di akhirat nanti, lantas menambah keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.
Antara nasihat Saidina Umar Al-Khatab yang masyhur ialah:
“Hisablah diri kalian sebelum kalian dihisab, timbanglah diri kalian sebelum kalian ditimbang”.
Beliau muhasabah dirinya dengan menggunakan pedati untuk memukul kakinya pada waktu malam dengan berkata:
“Khabarkan padaku apa yang telah engkau lakukan hari ini?”.
Walau bagaimanapun, dalam kita menghisab diri kita perlu berhati-hati agar tidak merasa riya’ atau ‘ujub dengan amal kebaikan yang kita lakukan. Sebaliknya kita perlu merasa risau kerana kita tidak pasti kesempurnaan amalan-amalan tersebut, samada ia diterima oleh Allah SWT atau sebaliknya mengundang kemurkaanNya. Dalam hal ini, peranan sahabat-sahabat dan masyarakat sekeliling amatlah penting. Saidina Umar RA pernah berkata:
“Rahmat Allah semoga tercurah atas siapa yang menunjukkan kepadaku segala cacat diriku”.
Sahabat yang baik ialah mereka yang berani menegur kesalahan diri kita dengan niat semata-mata kerana Allah SWT. Amat jarang untuk berjumpa dengan sahabat yang sebegini kerana masing-masing takut untuk menegur demi menjaga hati atau bermaksud jahat; gembira melihat kesalahan yang kita lakukan sebagai aib kepada diri kita sendiri. Pemilihan kawan yang tepat akan membantu proses kita menilai diri sendiri dan menyelamatkan kita dari terus hanyut dengan pujian-pujian yang hanya memakan diri dan mematikan hati.
4. Mu'aqabah (menghukum diri atas segala kekurangan)
> iaitu menghukum dirinya sendiri atas segala kekurangan yang ia telah lakukan.
Bila ternyata seseorang mendapati kelalaian dirinya atau melakukan kemaksiatan dalam muhasabah, maka ia tak boleh menganggap remeh hal tersebut. Kerana dosa-dosa yang dianggap remeh itu akan mendorong dirinya untuk lebih mudah melakukan dosa-dosa lain.
> Seorang mukmin harus menerapkan hukuman (mu'aqabah) dengan bentuk-bentuk yang di bolehkan.
> Abu Thalhah, pernah dilalaikan oleh seekor burung dalam solatnya. Kemudian ia menyedekahkan kebunnya kerana menyesal dan mengharap ampunan dari Allah SWT.
> Umar bin Khattab RA menyedekahkan tanah miliknya bernilai 200,000 dirham oleh kerana ia terlambat solat berjama'ah. Pernah sekali dia terlambat solat maghrib maka ia menghukum dirinya dengan memerdekakan dua orang budak.
5. Mujahadah (Bersungguh-sungguh)
> Bila seorang hamba telah menghukum dirinya maka ia harus bersegera lebih
bersungguh-sungguh beribadah kepada Allah SWT. Jangan biarkan hati lalai kembali
sehingga pintu hati terbuka bagi syaitan untuk memperdaya.
> Bila jiwa enggan dan mengalami kesulitan bergairah dlm beribadah kepada Allah SWT maka terapi yang harus kita lakukan adalah bersahabat dengan ahli ibadah yang lurus dan ikhlas seraya mengambil pelajaran dan mengikuti nasihat-nasihatnya.
> Ali bin Abi thalib KW sangat cemas dengan umat Islam setelah generasi para
shalafus shalih. Suatu hari setelah salam solat shubuh ia berkata;
"Demi Allah, aku telah melihat para sahabat Muhammad SAW dan aku sekarang tidak melihat sesuatu yang menyerupai mereka sama sekali. Mereka dahulu berdebu dan pucat pasi, mereka melewatkan malam hari dengan sujud dan berdiri kerana Allah SWT, mereka membaca Kitab Allah SWT dengan bergantian pijakan kaki mereka, apabila menyebut nama Allah SWT mereka bergetar seperti pohon bergetar diterpa angin, mata mereka mengucurkan air mata membasahi pakaian mereka dan orang-orang sekarang seakan -akan lalai (bila dibandingkan mereka)".
> Di antara cara-cara yang dapat menumbuhkan mental mujahadah yang kuat adalah dengan melihat perbuatan atau mendengarkan kisah-kisah tentang orang-orang mujtahidin (yang sungguh-sungguh dalam beribadah.
6. Mu'atabah (Mencela diri).
> Musuh utama diri kita adalah dalam diri kita sendiri, iaitu potensi untuk membantah perintah Allah SWT, kecenderungan untuk melalikan kehidupan akhirat dengan lebih menyibukkan diri dengan kehidupan dunia.
> Kita mesti waspada dengan musuh dari dalam diri yang senantiasa siap menyerang kita saat kita lalai. Allah SWt memperingatkan:
"Janganlah kalian termasuk orang-orang yang lalai". - Surah al-A'raf : 205
> Maka berilah peringatan terutama pada diri kita sendiri. Jangan pernah memperingatkan orang lain sebelum menjadikan tradisi diri untuk sentiasa mencela diri dalam usaha untuk memperbaiki dan menyempurnakan kebeningan hati.
> Jangan biarkan hati dirasuki riya' dan berbangga dengan diri sendiri.
"Dan tetaplah memberi peringatan, karena sesungguhnya peringatan itu
bermanfaat bagi orang-orang yang beriman". - Surah Adz-Dzariyat : 55.
Rujukan;
- Risalah usrah jilid III, Abu Urwah.
- Petunjuk Sepanjang Jalan, Syed Qutb
- ‘Membentuk Peribadi Mukmin Sejati’ karangan Imam Al-Ghazali terbitan Al-Hidayah Publishers 1997
- ‘Iman dan Kehidupan’ karangan Dr. Yusuf Al-Qardawi terjemahan Fachruddin HS terbitan Dewan Pustaka Fajar 2001
- ‘Jejak menuju sifat taqwa…’ petikan dari buku Tazkiyyatun Nafs karangan Sa’id Hawwa, terbitan Robbani Press
- ‘The Station of Muraqabah’ petikan dari buku ‘The Steps of the Followers’ karangan Ibn Qayyim al-Jawziyyah
- ‘Self-Inventory: Al-Muhasabah’ petikan dari buku ‘Time in the Life of a Muslim’ karangan Dr. Yusuf Al-Qardawi (http://sunnah.org)
- Artikel ‘Ma’na Tazkiyyatun Nafs’ dan ‘Kepentingan Tazkiyyatun Nafs’ oleh Al-Ustaz ‘Abdul Hasib Hassan
No comments:
Post a Comment