Jika gelisah, sedih dan putus asa menguasai diri, dia akan bertanya kepada hati apakah sebabnya? Kemudian ilmu diperlukan untuk menjawab soalan, akal diguna sambil hati memandu cuba merungkai penyebab kesedihan itu. Akhirnya ditemukan jawapan punca kesedihan, kemurungan, gelisah dan tekanan pada diri manusia iaitu;
Pertama untuk Allah SWT; kedua untuk dirinya sendiri yang meliputi fikiran, perasaan dan tubuh badannya dan ketiga untuk keluarga dan umatnya. Sikap membuang masa biasanya dipengaruhi oleh persekitaran. Manusia akan mudah terpengaruh dengan apa yang dilihat dan didengar daripada pergaulan. Berkawan rapat dengan orang yang suka membaca boleh mempengaruhi minat kita kepada buku, begitu juga bila suka iktikaf di masjid mendengarkan syarahan agama akan menjadikan kita dekat dengan ilmu.
Kita sentiasa berhadapan dengan dua pilihan dalam hidup ini, jalan baik atau yang buruk. Kawan yang jahil atau soleh, situasi mengingatkan kita pada Allah atau melupakannya. Membuang masa menyebabkan kemalasan yang berakhir dengan kegagalan, sedih dan tertekan. Seorang mukmin yang benar imannya sentiasa berada dalam situasi jihad iaitu bersungguh-sungguh mengisi masanya dengan perjuangan dan pengorbanan untuk memenangi pertarungan melawan iblis dan syaitan.
Ubat bagi kesedihan sebegini adalah dengan melihat siapa yang berada di bawah anda. Bukankah ramai manusia yang tiada apa-apa untuk dimakan pada hari ini? Rumah mereka musnah oleh banjir dan badai, anak dan isteri mereka mati di hadapan mata kerana tembusan peluru, kehancuran bangsa dan negara oleh kekejaman perang. Mengapa perlu bersedih jika kita masih memiliki orang yang tersayang, mengapa risau jika harta kita dilindungi Allah SWT, jika ia berkurangan bukankah selama ini Allah memberi jumlah yang banyak tak terhitung? Semenjak dari rahim ibu lagi rezeki sudah dikurniakan kepada kita. Sudikah kita jika seseorang mahu menukar kedua mata, kaki dan tangan kita dengan wang berjuta? Tentu ia lebih berharga daripada wang. Kenikmatan yang Allah kurniakan itu terlalu banyak, tetapi hanya sedikit manusia yang mahu bersyukur.
Makna melupakan diri mereka sendiri adalah mereka meninggalkan amal soleh yang boleh menyelamatkan diri mereka di dunia dan akhirat. Orang yang melupakan Allah SWT mempunyai ciri-ciri seperti berikut;
Hari dilalui tanpa ibadat, lupa berzikir, mengabaikan sembahyang, tidak membaca ayat al-Quran, menjauhi ilmu dan meninggalkan amal soleh. Kehidupan dunia menjadikan mereka buta, tidak dapat menjejaki jalan ke akhirat. Keadaan mereka seperti binatang kerana mereka hidup semata-mata untuk makan, minum, tidur, berkahwin dan memuaskan nafsu saja.
Ini sesuai dengan firman-Nya yang bermaksud: “Dan sesungguhnya kami jadikan untuk isi neraka jahanam kebanyakan jin dan manusia, mereka memiliki hati tapi tidak dipergunakan untuk memahami ayat-ayat Allah, dan mereka memiliki mata tetapi tidak dipergunakan untuk melihat tanda-tanda kebesaran Allah dan mereka memiliki telinga tetapi tidak dipergunakan untuk mendengar ayat-ayat Allah. Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah Al-A'raf: 179).
Benarkah orang yang kaya tidak berasa sedih, putus asa dan tertekan? Sebenarnya, ia bergantung kepada sumber hartanya dan untuk apa ia dibelanjakan. Kekayaan yang sebenar adalah kaya hati. Iaitu hati yang sentiasa bergembira kerana iman kepada Allah dan bersyukur serta reda dengan qada dan qadar-Nya.
* sumber dari nukilan juanda jaya, berita harian, 2006
No comments:
Post a Comment