PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Saturday, December 13, 2008

Islamofobia selepas 11 September

ISLAMOFOBIA adalah istilah kontroversi yang merujuk kepada prasangka dan diskriminasi pada Islam dan Muslim. Istilah itu sendiri sudah digunakan pada tahun 1980-an tetapi menjadi popular selepas serangan 11 September 2001.

Pada tahun 1997, Badan Amanah Runnymede mentakrifkan Islamofobia sebagai "rasa takut dan benci terhadap Islam lalu membawa kepada takut dan tidak suka kepada orang Islam," juga menyatakan ia juga merujuk kepada amalan mendiskriminasikan orang Islam dengan mengasingkan mereka daripada kegiatan ekonomi, sosial dan kehidupan masyarakat.

Islamofobia juga termasuk persepsi bahawa Islam mempunyai nilai yang tidak sama dengan budaya lain, lebih rendah daripada nilai Barat dan mempunyai ideologi politik yang ganas daripada (dikenali) sebagai satu agama.

Pelbagai pendapat mengatakan peningkatan kecenderungan ke arah Islamofobia sebahagiannya diakibatkan oleh serangan 11 September, sementara mereka yang lain pula mengaitkannya dengan kehadiran orang Islam yang meningkat di negara Barat.

Pada Mei 2002, European Monitoring Centre on Racism and Xenophobia (EUMC), satu pertubuhan pemantau Kesatuan Eropah, mengeluarkan laporan bertajuk "Summary report on Islamophobia in the EU after 11 September 2001" (Ringkasan laporan mengenai Islamofobia di Kesatuan Eropah selepas 11 September 2001), yang menggambarkan peningkatan insiden berkaitan Islamofobia di negara Eropah selepas 11 September.

Satu forum pada tahun 2001, "Stockholm International Forum on Combating Intolerance", mengisytiharkan satu deklarasi yang antara lainnya meletakkan Islamofobia sebagai sesuatu yang melanggar nilai-nilai asas manusia: rasisme, diskriminasi kaum, antisematisme, islamofobia, xenofobia, diskriminasi, keganasan dan pembunuhan kerana orientasi seks, dan apa jua bentuk sikap tidak toleransi, melanggar nilai-nilai asas manusia dan mengancam kebebasan masyarakat.

Fitna karya filem menghina Islam

Fitna adalah filem karya ahli politik Belanda, Geert Wilders, seorang pemimpin Party for Freedom (PPV) di Parlimen Belanda. Filem yang memaparkan pandangan Wilders mengenai Islam dan Quran ini dikutuk oleh masyarakat Islam antarabangsa termasuk Perdana Menteri Belanda sendiri, Jan Peter, kerana bersifat anti-Islam.

Wilders pertama kali menayangkan filemnya pada 27 Mac, 7 malam waktu Belanda, di laman video Liveleak. Semenjak itu pekerja Liveleak menerima ancaman dan mengambil keputusan untuk membuang video tersebut. Versi Belanda bagaimanapun sudah dilihat 1.6 juta kali dalam masa 2 jam sementara versi Inggeris lebih 1.2 juta dalam 5 jam.

Wilders pada mulanya mahu menayangkan filem tersebut di televisyen tetapi tiada satu pun syarikat Belanda yang mahu menayangkannya tanpa disunting. Wilders kemudiannya berkata dia lebih rela menayangkan kesemua filemnya (tanpa disunting) di Internet dari di TV dengan suntingan. Walaupun ada pihak yang akhirnya bersetuju untuk menayangkan filem tersebut dengan beberapa syarat seperti bayaran yang lebih untuk keselamatan, Wilders menolak tawaran mereka.

Beberapa negara termasuk Malaysia mengharamkan pengedaran dan penayangan Fitna kerana ia menyinggung perasaan umat Islam.

Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia, dalam satu kenyataannya, memutuskan Fitna sebagai satu sendaan terhadap Islam dan menyeru supaya memboikot barangan Belanda.

Pengerusinya, Prof Dato' Dr Abdul Shukor Husin, berkata tindakan tidak menghormati sensitiviti umat Islam akan merenggangkan lagi hubungan antara Islam dan dunia Barat.

Filem tersebut juga mendapat kutukan negara-negara lain di dunia termasuk Australia dan Kesatuan Eropah. Dalam pada masa menolak paparan Fitna mengenai Islam, Kesatuan Eropah bagaimanapun mempertahankan hak untuk bersuara dan meminta masyarakat Islam bertindak rasional.

Filem Fitna adalah beberapa siri insiden karya seni dari Eropah yang dilihat sebagai menghina Islam dan umat Islam. Kontroversi lain sebelum ini termasuk penyiaran karikatur yang dianggap menghina Nabi Muhammad SAW oleh akhbar di Denmark selain daripada novel The Satanic Verses oleh Salman Rushdie pada tahun 1988.

Ramai pemerhati berpendapat, kelahiran filem ini adalah sebagai manifestani sikap prejudis dan Islamofobia kepada Islam dan umat Islam yang meningkat sejak kejadian serangan 11 September 2001.

-am-

No comments: