PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Friday, July 11, 2008

Menutup Aurat Bukan Sekadar Memakai Tudung..

SATU ketika dulu, ramai mengatakan memakai tudung itu hanyalah sunat muakad atau tidak wajib. Kalau tidak memakai tudung, hanya berdosa kecil. Kononnya sebaik saja mengambil wuduk untuk bersolat lima waktu, secara automatik dosa kita dibasuh dan terhapus.

Apabila bergaul dengan pelbagai bangsa dan agama, kita banyak mendengar dan membaca bagaimana media barat memomokkan kod pakaian wanita Islam yang dikaitkan dengan maruah dan harga diri.

Di satu sudut lain, ada wanita Islam yang bertudung dan menyangkakan mereka sudah menutup aurat, tetapi masih mengenakan seluar jeans yang ketat, kemeja T menampakkan pakaian dalam atau yang hanya layak dipakai oleh adiknya berumur 10 tahun.

Ada juga yang mengenakan tudung, tetapi memakai kain terbelah sehingga menampakkan peha, pakaian terbelah di dada, kemeja T berlengan pendek dan ada kalanya memakai skirt separas betis. Persoalannya apakah ciri pakaian menutup aurat bagi wanita Islam?

Hijab, yang secara lughoh (bahasa) bererti tirai atau dinding, adalah satu terminologi yang boleh diertikan juga sebagai perlindungan wanita dalam Islam dari pandangan lelaki (terutama yang bukan Muhrim). Salah satu prinsip dasar Islam adalah pewujudan suatu sistem yang suci, sehingga Islam senantiasa berusaha mendidik setiap anggota masyarakat, lelaki mahupun wanita, untuk menjadi manusia yang bertaqwa, disiplin, dan menjaga kesucian mereka.

Diantara pendidikan yang penting adalah dengan latihan agar manusia berdisiplin atas kecenderungan mereka terhadap jenis yang lain dan agar kecenderungan-kecenderungan ini hanya disalurkan melalui jalan-jalan yang halal. Untuk tujuan ini Islam membuat satu peraturan yang bernama hijab (tudung).

Sistem hijab adalah peraturan-peraturan yang merupakan elaborasi tindakan-tindakan yang boleh / tidak boleh dilakukan dalam sosialisasi antara lelaki dan wanita. Hijab tidak hanya terbatas pada perintah bagi wanita untuk menutup kepala dan wajah saja, melainkan suatu sistem yang menyeluruh yang menjadi panduan-panduan dasar bagi lelaki dan wanita dalam bermu'amalah untuk membangunkan masayarakat. Pengertian hijab sebagai satu sistem boleh difahami melalui ayat-ayat berikut yang akan diterang kan dibawah nanti:

An-Nur: 30-31, Al-Ahzab: 32-33, dan Al-Ahzab: 59.

Sistem hijab adalah sistem yang sempurna dan terpadu. Sempurna kerana bersumber dari Allah SWT yang Maha Mengetahui serta sesuai dengan fitrah manusia yang bertujuan untuk mencapai kemashlahatan manusia dan tamaddun mereka. Terpadu kerana sistem ini menggabungkan segenap sistem dalam Islam; berasaskan kepada aqidah tauhid yang tercerna dalam akhlaq yang mulia, ibadah yang syumul (menyeluruh), dan perlaksanaan hukum-hukum syariatnya.


Hijab bukan semata-mata mengandung makna bahawa wanita hanya bertudung sahaja namun pada saat yang sama masih bertabarruj (mempamerkan kecantikan). Pelaksanaan hijab bertujuan untuk melaksanakan tiga asas dalam melindungi kesucian masyarakat: Menjaga kesucian diri, Mencegah penodaan terhadap masyarakat, dan Perlaksanaan hukuman bila mana terjadi pelanggaran. Adalah persepsi yg salah bila seseorang itu menganggap bahawa hijab adalah semata-mata mengandung erti menjaga aurat dari pandangan lelaki ajnaabi (non muhrim) dan pada saat yang sama tidak menjalankan kesyumulan Islam dari segi ibadah dan akhlaknya. Lebih-lebih lagi bila penjagaan aurat ini tidak melindungi masyarakat dari kejahatan lisan mahupun perbuatannya. Sekiranya seorang wanita yang menutup auratnya itu melakukan kesalahan dan berakhlak tidak baik, janganlah dengan memakai tudung itu yang harus disalahkan; yang bersalah adalah wanita itu sendiri. Ini adalah kerana kurangnya pemahaman terhadap sistem hijab. Banyak wanita modern mengenakan tudung kerana fashion (mode) sahaja supaya mereka terlihat lebih cantik dan anggun.

Di dalam Islam, apabila perkara ma'ruf dilakukan dengan kefahaman yang penuh disertai keikhlasan (semata-mata untuk mencari ridha Allah), maka ini akan melahirkan banyak perkara ma'ruf yang lain. Namun sebaliknya, bila masalah ma'ruf ini tidak difahami tujuannya dengan baik atau bahkan tidak sadar bahwa ini termasuk amal yg bertujuan untuk memperolehi ridha Allah, maka orang yang melaksanakannya tidak merasa bahwa dia tengah mematuhi perintah Allah. Kerana itu, suatu amalan yg meskipun secara lahiriah adalah ma'ruf dalam Islam namun bila tidak mengikuti cara yang telah ditunjukkan oleh syari'ah dan tidak disertai dengan niat yang Ikhlas lillahitta'ala, maka ini tidak termasuk dalam 'amalan yang soleh.

Adalah satu miskonsepsi yang besar bila ada pendapat bahawa seseorang dapat menghayati nilai-nilai akhlak yang baik tetapi meninggalkan aspek-aspek dalam sistem hijab. Misalnya saja seseorang yang mengatakan bahwa kebaikan itu di dalam hati dan tidak pada pakaian. Islam tidak mengenal konsep "pelaksanaan satu amalan wajib bisa membebaskan diri dari amalan wajib lainnya". Sebagai contoh adalah seseorang yang telah banyak melakukan solat fardhu dan sunat, telah banyak berzakat dan bersedekah, telah beberapa kali menunaikan haji ke Baitullah; apakah ia boleh meninggalkan solat Subuh walaupun hanya sekali sahaja? Sama halnya disini dengan anggapan bahawa kebaikan itu di dalam hati dan tidak pada pakaian. Apakah kebaikan di hati boleh menghalalkan penampakkan aurat yang telah jelas-jelas diharamkan oleh Allah SWT?

Untuk pengetahuan anda; Aurat berasal daripada bahasa Arab. Aurah? yang bererti kurang. Di dalam fiqh, aurat diertikan sebagai bahagian tubuh seseorang yang wajib ditutupi daripada pandangan orang lain.

(Wahbah al-Zuhayli (1989), al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, Damsyik: Dar al-Fikr, halaman 579)

Walaupun 'ulama berkompromi mengenai had aurat yang perlu ditutup oleh wanita, namun mereka bersepakat mengatakan hukum menutup aurat bagi setiap wanita Muslim yang baligh adalah wajib. Untuk memenuhi syarat menutup aurat, pakaian seseorang wanita mestilah memenuhi syarat berikut:

Menutupi had aurat yang sudah ditetapkan.

Jumhur ulama bersepakat mengatakan aurat bagi wanita baligh ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan. Oleh itu, mereka wajib menutup aurat daripada dilihat oleh lelaki ajnabi (bukan mahram).

Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan hendaklah mereka (wanita) menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.”

(Surah al-Nur, ayat 31)


Firman Allah lagi yang bermaksud:

“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (ketika mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Ahzab, ayat 59).

Ayat itu Allah SWT memerintahkan supaya Nabi Muhammad SAW menyuruh isteri Baginda mengenakan pakaian yang menutup aurat. Suruhan itu juga ditujukan kepada semua wanita beriman.

Pakaian yang longgar.

Tujuan utama wanita diwajibkan menutup aurat ialah untuk mengelakkan daripada lelaki ajnabi melihat tubuh badannya dan mengelakkan daripada berlakunya fitnah. Oleh itu, pakaian yang ketat walaupun tebal sudah pasti akan menampakkan bentuk tubuh badan. Wanita yang memakai pakaian ketat walaupun menutupi seluruh tubuh masih belum memenuhi tuntutan menutup aurat seperti dikehendaki syarak.

Syarat ini berdasarkan kepada kata Dahiyyah bin Khalifah al-Kalbi yang bermaksud: Rasulullah SAW didatangi dengan beberapa helai kain qubtiyyah (sejenis kain yang nipis buatan Mesir), lalu Baginda berkata:

“Bahagikan kain ini kepada dua, satu daripadanya dibuat baju dan bakinya berikan kepada isterimu.”

Apabila aku berpaling untuk beredar Baginda berkata:

“Dan suruhlah isterimu meletakkan kain lain di bawahnya (supaya tidak nampak bentuk tubuhnya).”

Menurut Ibn Rusyd, qubtiyyah ialah pakaian yang tebal tetapi melekat pada badan kerana ianya ketat dan menampakkan bentuk tubuh pemakainya. Oleh itu, Rasulullah SAW menyuruh Dahiyyah menyuruh isterinya melapik pakaian itu dengan kain lain supaya tidak menampakkan bentuk tubuhnya.

Pakaian yang tidak jarang.

Syarak menetapkan pakaian wanita mestilah tidak jarang sehingga menampakkan bentuk tubuh atau warna kulitnya. Aisyah meriwayatkan bahawa saudaranya, Asma, pernah masuk ke rumah Rasulullah SAW dengan berpakaian tipis sehingga nampak kulitnya. Rasulullah SAW berpaling dan mengatakan:

“Hai Asma, sesungguhnya seorang perempuan bila sudah datang waktu haid, tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini sambil ia menunjuk muka dan kedua telapak tangannya.”

Teguran Rasulullah SAW terhadap Asma jelas menunjukkan bahawa pakaian yang jarang tidak memenuhi syarat menutup aurat bagi wanita baligh.

Bukan pakaian yang menarik perhatian (pakaian syuhrah).

Apa yang dimaksudkan pakaian untuk bermegah ialah pakaian yang berlainan daripada pakaian orang lain sama ada dari segi warna, fesyen atau potongan sehinggakan menarik perhatian orang lain serta menimbulkan rasa bongkak pada pemakainya.

Ibnu Umar meriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa Baginda bersabda yang bermaksud:

”Barang siapa yang memakai pakaian bermegah-megah maka Allah Taala akan memakaikannya dengan pakaian yang serupa pada hari kiamat kelak kemudian ia akan dijilat api neraka.”

Tidak menyerupai pakaian lelaki atau pakaian orang kafir.

Pakaian yang menutup tubuh badan tidak dikira sebagai memenuhi ciri pakaian Islam jika menyerupai pakaian orang kafir. Ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW seperti diriwayatkan Ibn Abbas:

“Rasulullah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.”

Larangan menyerupai pakaian orang bukan Islam ini atas alasan ia boleh menjatuhkan martabat Islam dan penganutnya.

Tidak bertabarruj (menunjuk-nunjuk).

Tabarruj dalam bahasa mudah boleh diertikan sebagai bersolek. Ada juga yang mengatakan tabarruj ialah melepaskan tudung kepalanya tetapi tidak mengikat / mengetatkannya, lalu terlihatlah rantai leher, anting-anting dan lehernya. Kesimpulannya tabarruj ialah memperlihatkan keelokan, kecantikannya yang sepatutnya wajib ditutup.

Larangan ini berdasarkan kepada firman Allah yang bermaksud:

“Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku (tabarruj) seperti orang jahiliah dulu (pertama).”

(Surah al-Ahzab, ayat 33)

Ayat itu petunjuk kepada isteri Nabi SAW supaya tetap di rumah dan tidak bertabarruj seperti orang jahiliah dulu. Konsep tabarruj jika dilihat dalam kerangka lebih luas meliputi perbuatan wanita mendedahkan aurat, memakai wangian apabila keluar rumah, cara berjalan atau tingkah laku yang menarik perhatian lelaki ajnabi (non muhrim).

Pakaian wanita menutup aurat mestilah memenuhi ciri disebutkan walau di mana mereka berada. Berdasarkan syarat itu juga dapat kita ukur sejauh mana wanita Muslimah sudah menutup aurat atau hanya bertudung saja seperti fenomena di Malaysia apabila ramai bertudung tetapi memakai pakaian tidak menepati syariat. Ia adalah fenomena pemakaian tudung kerana fesyen, ikut-ikutan, paksaan ataupun berdasarkan kejahilan dan bukannya ilmu Islam sebenar.

Maka renung-renungkanlah akan hal ini kerana tanpa anda sedari andalah wanita idaman pujaan hati! Mohon maaf sekiranya menyinggung perasan dan cara hidup anda selama ini..

-am-

No comments: