PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Saturday, July 5, 2008

Fadhilat REJAB: Antara Realiti dan Fantasi..

Adakah semalam anda menunaikan puasa sunat di awal Rejab?

Bulan Rejab: Apakah fadhilatnya melebihi dari bulan-bulan yang lain? Bulan Rejab merupakan salah satu bulan dari 12 bulan-bulan Islam. Bulan Rejab mengandungi peristiwa-peristiwa bersejarah kepada orang Islam di mana berlakunya peperangan Tabuk, pembebasan Al-Aqsa dari tangan tentera Salib dan juga ada orang Islam yang berpendapat bahawa bulan inilah berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj Nabi Muhammad S.A.W. Tidak kurang juga ramai yang melihat bulan Rejab ini sebagai satu bulan spiritual di mana mereka mempertingkatkan ibadah sunat khususnya ibadah puasa.

Tarikan dan seruan yg ditiup ke dalam jiwa umat Islam Nusantara terutamanya untuk melakukan ibadah kebanyakkannya dipengaruhi oleh penyebaran beberapa hadith-hadith yang mengandungi fadhilat-fadhilat beribadah di dalam bulan ini. Jelas terlihat dari segi jualan buku-buku kecil yang mengandungi fadhilat-fadhilat bulan Islam begitu laris di pasaran menjelang bulan Rejab. Begitu juga di zaman era Internet ini (ICT), e-mail dan list yang dipanjangkan mengandungi 'Copy & Paste' dari fadhilat-fadhilat Rejab yang terkandung di dalamnya. Rata-rata tarikan fadhil (fadhilat-fadhilat) inilah merupakan faktor penarik kepada kebiasaan orang awam untuk melakukan ibadah sunat. Kesan dari faktor ini dapat kita lihat dengan jelas penerapannya di dalam budaya Melayu-Islam seperti rangkap-rangkap sya'ir di bawah ini:

Rejab bulan menabur benih. Sya'aban bulan menyiram tanaman. Ramadhan bulan menuai.

Rejab menyuci badannya. Sya'aban menyuci hatinya. Ramadhan menyuci rohnya.

Rejab bulan maghfirah. Sya'aban bulan syafaat. Ramadhan bulan menggandakan kebajikan.

Rejab bulan taubat. Sya'aban bulan muhibbah. Ramadhan dilimpahi pahala amalan seperti hujan mencurah banyaknya.

Rejab digandakan 70 pahala. Sya'aban digandakan 700 pahala. Ramadhan digandakan 1000 pahala.

Mungkin timbul beberapa persoalan yang tersimpan di dalam lubuk hati kita: mengapa bulan Rejab sahaja yang dipilih mempunyai kelebihannya? Pernah atau tidak kita terfikir yang mungkin berita-berita ini ditokok tambah (exaggerate) oleh manusia biasa yang bercakap atas nama Nabi Muhammad S.A.W? Mengapa di dalam bulan ini terdapat solat-solat khas, zikir-zikir khas dan juga waktu-waktu khas untuk melakukan pengibadahan? Di sini kita ingin membawa beberapa penjelasan dari ulama'-ulama' muktabar dan kontemporari mengenai kesahihan fadhilat yang terdapat di dalam bulan itu sendiri, dan apakah sebenarnya fadhilat yang terkandung di dalam bulan Rejab.

Bulan Rejab merupakan satu bulan dari bulan-bulan 'Haram' di dalam Islam. Dalilnya terdapat di dalam Firman Allah S.W.T:

"Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa." - Surah At-Taubah; ayat 9.


Menurut Tafsir Jalalain, yang dimaksudkan dengan "di antaranya empat bulan yang di hormati" ialah: "Empat bulan Haram - Muharram, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijjah."

Allah S.W.T telah mengurniakan kepada manusia 4 bulan haram. Bulan-bulan ini sebagaimana yang disepakati oleh semua ulama' ialah Muharram, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijjah. Umat Islam adalah diharamkan pergi berperang di dalam bulan-bulan ini, kecualilah jika mereka diugut. Di dalam bulan ini terdapatnya ibadah Haji dijalankan (Zulhijjah), di mana pada hari 'Arafah disunatkan bagi mereka yang tidak menunaikan haji melakukan ibadah puasa. Rasulullah S.A.W juga menggalakkan umat Islam melakukan puasa sunat pada hari 'Asyura (10hb Muharram).

Apakah terdapatnya kesahihan fadhilat khas berpuasa di dalam bulan Rejab?

Di sini dinyatakan pandangan para ulama' mengenai kesahihan fadhilat Rejab.

1. Sheikh Atiyah As-Saqr.

A. Kebanyakkan fadhilat Rejab terkandung di dalam Hadith yang sangat Lemah dan Palsu (Mawdhu').

Bekas Ketua Lujnah Fatwa Al-Azhar mengatakan bahawa setiap fadhilat sesuatu perkara itu harus dilihat dari segi nas yang sahih dan beliau melihat bahawa hadith-hadith yang didatangkan mengenai fadhilat di dalam bulan Rejab kebanyakannya adalah lemah dan palsu (mawdhu'), katanya:

"Allah Subhanahu Wa Ta'ala memberi fadhilat kepada beberapa bulan dan tempat, tetapi tidak thabit untuk masa (zaman) dan untuk tempat melainkan dengan dalil yang qath'i (nyata) dan tidak thabit sehingga tidak mendusta ke atas Nabi Muhammad S.A.W, dan banyak hadith-hadith timbul mengenai fadhilat bulan Rejab, di mana statusnya antara Dha'if dan Mawdhu', dan tidak thabit dari pembawanya (naqal)."

Menurut As-Saqr lagi bahawa:

"Al-Hafiz Ahmad bin Ali bin Mohammad bin Hajar Asqalaani meletakkan di dalam risalahnya dengan topiknya: Penjelasan yang datang di dalam Fadhilat Rejab, pengumpulan jumhur Hadith menyebut mengenai Fadhilat-Fadhilat Rejab, Puasa dan Solat di dalamnya. Ia dikelaskan sebagai Lemah dan Mawdhu'."

B. Fadhilat Rejab berada bersama dengan Fadhilat bulan-bulan Haram yang lain.

Fadhilat Rejab secara umumnya berada di dalam fadhilat bulan-bulan Haram sebagaimana Firman Allah S.W.T di dalam surah At-Taubah : 36 dan terdapat juga Hadith Sahihin mengenai Hijatul Wada', di dalamnya dinyatakan nama bulan-bulan tersebut, iaitu: Muharam, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijjah. Di masa itu orang Islam ditegah melakukan kezaliman, peperangan dan juga dilarang melakukan maksiat kepada Allah S.W.T.

C. Berpuasa hari pertama atau yang lain sama sahaja fadhilatnya.

Berkata As-Saqr lagi bahawa:

"Amalan soleh di dalam bulan Rejab adalah sebagaimana ganjarannya di dalam bulan-bulan Haram, yang di dalamnya terdapat puasa, SAMA sahaja (berpuasa) hari pertama atau pun hari akhir. Berkata Ibnu Hajar: Sesungguhnya bagi bulan Rejab tidak terdapatnya hadith mengenai fadhilat khas berpuasa, tidak terdapat yang Sahih atau Hasan."

Beliau memetik beberapa hadith da'if dan palsu (mawdhu'), di antaranya ialah:

i. "Sesungguhnya di dalam syurga ada sebuah sungai yang dipanggil Rejab, warna airnya sangat putih dari susu, manisnya lebih manis dari madu, barangsiapa yang berpuasa satu hari dari bulan Rejab, maka Allah akan memberi ia minum dari sungai itu." - Hadith ini Dha'if.

ii. "Barangsiapa berpuasa sehari di dalam bulan Rejab seolah-olah dia berpuasa satu bulan, dan siapa yang berpuasa di dalamnya 7 hari maka akan ditutup 7 pintu-pintu neraka, dan barangsiapa yang berpuasa 8 hari maka 8 pintu-pintu syurga akan terbuka, dan barangsiapa yang berpuasa 10 hari, maka akan digantikan dosa dengan kebaikan." - Hadith ini Dhaif.

iii. Terdapat sebuah hadith yang panjang mengandungi fadhilat berpuasa Rejab menurut hari, dan di dalamnya terkandung matan: "Rejab bulan Allah. Sya'aban bulanku dan Ramadhan bulan umatku." - Hadith ini Palsu (Mawdhu').

D. Tidak ada Solat Khas di dalam Rejab.

Daripada Hadith yang tidak diterima (ghair maqbulah) mengenai solat:

"Barangsiapa yang solat Maghrib di awal malam dari bulan Rejab, kemudian diikuti oleh solat 20 rakaat selepasnya, dia membaca pada setiap rakaat Al-Fatihah dan Qulhu Allahu Ahad sekali dan dia memberi salam kepadanya 10 kali salam, Allah akan menjaga dirinya, keluarganya, hartanya dan anaknya, dan akan diselamatkan dari azab kubur, dan perjalanan di sirat bagaikan boraq, tanpa hisab dan azab." - Hadith ini Palsu (Mawdhu').

E. Menziarah kubur pada bulan Rejab tiada nasnya:

Mengenai fadhilat menziarah kubur pada bulan Rejab, Sheikh Atiyah As-Saqr mengatakan bahawa perbuatan ini tidak ada dalilnya di dalam Islam. Beliau menyarankan agar lebih elok melihat mengenai sejarah-sejarah yang berlaku di bulan Rejab dan mengambil tauladan daripadanya. "Ini adalah manusia yang prihatin, dan wanita dari kumpulan tertentu, mereka menziarahi kubur pada hari Jumaat pertama di dalam bulan Rejab, tidaklah ada asalnya di dalam agama, dan ganjaran yang besar daripada ziarah tersebut, dan bukanlah hari ini. Adalah lebih aula di dalam bulan Rejab ini kita mengingati kembali sejarah yang berlaku kepadanya seperti penaklukan Tabuk, mengingati Salahuddin Al-Ayubi menyelamatkan Jerussalem (Al-Quds) dari tangan tentera Salib (Rejab 583H, 1187M). Orang Arab dan Islam menyucikan Masjid Al-Aqsa dari Ketua Pasukan Pakatan. Kita mengingatkan kembali peristiwa Isra' dan Mi'raj iaitu pengajaran darinya, di mana orang Islam menganggapnya berlaku di dalam bulan Rejab. Allah yang Maha Mengetahui."

2. Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi.

A. Fadhilat Rejab sama dengan fadhilat bulan-bulan haram yang lain.

Dr. Yusuf Al-Qaradawi mengatakan bahawa fadhilat Rejab adalah sama seperti yang terdapat di dalam 3 bulan-bulan Haram yang lain. Katanya: 

"Tidaklah ada kesahihan di dalam bulan Rejab, melainkan ia merupakan salah satu dari bulan-bulan Haram, bahawa Allah S.W.T telah menyebut di dalam kitabnya - di dalamnya ada 4 bulan Haram - At-Taubah : 36. Iaitu Muharram, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijah.. Itulah bulan-bulan yang mempunyai fadhilat. Tidak terdapat Hadith Sahih bahawa Rejab khusus mengatakan Rejab lebih afdhal, melainkan Hadith Hasan: Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW banyak berpuasa di dalam Sya'aban.."

B. Hadith-Hadith mengenai fadhilat Rejab kebanyakannya Lemah dan Palsu (Mawdhu').

Beliau juga menyatakan bahawa hadith-hadith mengenai fadhilat-fadhilat khas Rejab kebanyakan merupakan Hadith Palsu (Mawdhu') atau pun yang sangat Lemah (Dhaif) tarafnya:

Hadith ini dimaklumkan sebagai sebuah hadith yang mengandungi fadhilat Rejab - "Rejab bulan Allah. Sya'aban bulanku dan Ramadhan bulan umatku." - Hadith ini mungkar dan sangat-sangat Dhaif, bahkan beberapa ulama' mengatakan hadith ini Palsu, yakni penipu!!

Maka bukanlah kepadanya nilai saintifik dan bukanlah mempunyai nilai agama. Di situ ada hadith yang mengatakan terdapat fadhilat Rejab kepada sesiapa yang bersolat begini dan ia mendapat begini, dan sesiapa yang meminta beristighfar sekali kepadanya maka ia akan mendapat ganjaran begini.. Ini semua adalah berlebih-lebihan (exaggeration), dan semuanya adalah pembohongan. Dari ini satu tanda satu penipuan di dalam Hadith yang memasukkan perkara yg berlebih-lebihan..

C. Ganjaran yang dijanjikan tidak sepadan dengan amalannya.

Pada beliau ganjaran-ganjaran yang dinyatakan di dalam Hadith Palsu itu adalah sesuatu yang berlebih-lebihan. Ini merupakan satu pendustaan yang amat besar. Menurut beliau ganjaran sesuatu ibadah itu mestilah setimpal dengan bentuk ibadah itu sendiri. Katanya:

"Berkata ulama': Janji untuk mendapatkan ganjaran yang besar di atas perkara yang biasa, atau ugutan kepada azab yang pedih ke atas dosa kecil? Ia menunjukkan bahawa ini merupakan hadith yang bohong."

D. Umat Islam perlu mengetahui jenis-jenis Hadith yang Palsu (Mawdhu')

Dr. Yusuf Al-Qaradawi menyatakan bahawa sebagai seorang Islam kita wajib mengetahui mengenai hadith yang diberikan kepada kita. Tidak ada alasan yang boleh kita berikan kerana terdapatnya buku-buku yang banyak di pasaran mengenai taraf sesuatu hadith. Kata beliau:

"Ulama' telah memberi amaran contohnya ke atas Hadith Palsu dan Bohong ini, dan melarang manusia terhadapnya.. Sesungguhnya telah datang hadith: "Barangsiapa mereka-reka Hadith difikirkan, sesungguhnya ia menipu, maka dia adalah pembohong.." - Hadith Riwayat Muslim di dalam muqadimahnya yang Sahih, tetapi mereka tidak mengetahui bahawa ia adalah Hadith Palsu, maka ia wajib mengetahui, mengetahui hadith itu dari sumbernya.. Maka di sana ada Kitab Hadith yang Muktamad, di sana ada kitab khas untuk mengetahui Hadith Palsu, contoh Al-Maqasid Al-Hasanah, karangan Al-Shakhaawi dsb.."

3. Ibnu Hajar Al-Asqalani

Ibnu Hajar mengatakan adalah menjadi satu kesalahan menetapkan sesuatu hari atau bulan itu khas untuk melakukan amalan. Kenyataan ini dapat dilihat di dalam fatwa Sheikh As-Saqr mengenai fadhilat Rejab dengan memetik kata-kata Ibnu Hajar:

Ibnu Hajar di dalam makalahnya ada menyebut berkenaan dengan terdapat hadith-hadith yang melarang berpuasa Rejab sepenuhnya, maka beliau berkata: "Larangan ini terpulanglah kepada sesiapa yang berpuasa memuliakan Jahiliyyah, sebagaimana jika dia berpuasa dengan qasad (niat) yang bukan menjadikan penekanan atau mengkhususkan mengenai hari-hari yang dia berpuasa, atau pada malam tertentu dia berqiamullail, maka beliau percaya yang dilakukan itu adalah sunnah, maka ini adalah pekerjaan yang baik atas apa yang diletakkan dan tidak mengapa baginya. Maka jika ianya dikhaskan atau menjadi suatu ketetapan, maka ia adalah DITEGAH (Mahzhur)," dan makna penegahan itu dalam hadith Nabi Muhammad S.A.W bersabda: 

"Jangan mengkhaskan hari Jumaat untuk berpuasa dan jangan (mengkhaskan) malamnya berqiamullail." - Hadith Riwayat Muslim.

Jika mempercayai puasanya atau puasa ini lebih baik dari puasa lainnya yang di dalamnya terkandung puasa nazar, Ibnu hajar lebih cenderung menegahnya, dan sebagaimana yang dinaqalkan oleh Abi Bakar Ath-Thorthorshi di dalam bukunya "Bida'ah wa hawadith" bahawa bulan Rejab dibenci olehnya kerana 3 jenis:

1. Sesungguhnya jika orang Islam mengkhaskan puasa di setiap hari kemuliaan awam secara tahunan.

2. Menjadikan ia seperti kefardhuan Ramadhan, atau menjadikan ia sunat sebagai sunat yang kekal.

3. Kerana puasa ini mempunyai fadhilat khas dan puasa-puasa yang lainnya kalau dengan itu apa yang dijelaskan oleh Rasulullah S.A.W, berkata Ibnu Dihya:

"Puasa adalah amalan kebajikan, tidak terdapat fadhilat berpuasa di dalam Rejab maka perkara itu ditegah darinya. Tamat apa yang dinaqalkan oleh Ibnu Hajar."

4. Dr. Sayid Saabiq

Menurut seorang tokoh Ikhwan Dr Sayid Saabiq di dalam membicarakan bab puasa sunat, mengatakan bahawa: "Puasa Rejab, bukanlah ada padanya fadhilat yang berlebih dari bulan-bulan lain, melainkan sesungguhnya ia dari bulan-bulan yang haram."

Ini bermaksud bahawa bulan-bulan Haram ini mempunyai fadhilat-fadhilat yang sama. Pendapat juga disokong oleh Mazhab Hambali yang mengatakan menetapkan bulan Rejab sahaja untuk berpuasa sunat adalah makruh.

Hadith-hadith fadhilat Rejab yang Lemah (Dhaif) dan Palsu (Mawdhu')

Di bawah ini disenaraikan beberapa contoh hadith-hadith lemah dan palsu berkenaan dengan fadhilat Rejab:

A. Barangsiapa yang mengerjakan solat Maghrib pada permulaan malam Rejab kemudian dia mengerjakan 20 rakaat dengan membaca surah Al-Fatihah dan Qul Hu Allahhu Ahad pada tiap-tiap rakaat satu kali dan dia memberi salam pada solat ini dengan 10 salam, maka tahukah kamu apa ganjaranya? - Hadith ini Palsu (Mawdhu').

*Diriwayatkan oleh Al-Jauzaqanniy dari Anas, kemudian beliau berkata hadith ini adalah Palsu.

B. Barangsiapa yang melakukan solat pada malam Nisfi Rejab 14 rakaat dengan membaca Alhamdu 1 kali pada rakaat, Qul Hu Allahhu Ahad 20 kali, Qul A'uuzu Birabbil Falaq 3 kali, Qul A'uuzu Birabbin Nas 3 kali kemudian apabila dia selesai bersolat hendaklah ia berselawat keatas ku 10 kali kemudian dia bertasbih, bertahmid dan bertahlil 30 kali, maka Allah akan mengutuskan kepadanya 1000 malaikat. - Hadith ini Palsu (Mawdhu').

*Dalam sanadnya terdapat beberapi Rawi yang majhul (yang jahil).

C. Barangsiapa yang berpuasa sehari pada bulan Rejab (ganjarannya) sama dengan puasa sebulan. - Hadith ini sangat Lemah (Dhaif).

*Diriwayatkan oleh Al-Khathiib dari Abi Dzar.
*Dalam sanadnya ada rawi yang bernama: Al-Furaat bin As-Saaib, dia adalah seorang rawi yang Matruk (yang ditinggalkan).
*Ibnu Hajar Al-Asqalani telah menjelaskan bahawa para ahli hadith telah sepakat, bahawa hadith ini diriwayatkan dari jalan Al-Furaat bin As-Saaib, sedangkan rawi ini adalah seorang yang lemah (dhaif).

D. Barangsiapa yang berpuasa 3 hari pada bulan Rejab, dituliskan baginya ganjaran puasa satu bulan dan barang siapa yang berpuasa 7 hari pada bulan Rejab maka Allah tutupkan daripadanya 7 pintu-pintu api neraka. Dan barangsiapa yang berpuasa 8 hari pada bulan Rejab maka Allah membuka baginya 8 buah pintu dari pintu-pintu syurga, dan barang siapa yang berpuasa separuh dari bulan Rejab maka dia akan dihisab dengan hisab yang mudah. - Hadith ini Palsu (Mawdhu').

*Tidak disahkan hadith ini kerana rawi yang bernama Abaan merupakan rawi yang Matruk (yang ditinggalkan).
*Selain dari itu ada rawi yang bernama Amar bin Al-Azhar yang sangat suka memalsukan hadith.

E. Barangsiapa yang berpuasa satu hari pada bulan Rejab dan bangun pada malam harinya mengerjakan solat malam maka Allah akan membangkitkan dia pada hari Kiamat dalam keadaan aman, dan dia berjalan di atas sirat dalam keadaan Tahlil dan Takbir. - Hadith ini Palsu (Mawdhu').

*Dalam sanadnya ada rawi yang bernama Ismail, dia adalah seorang rawi yang suka berdusta.

F. Barangsiapa yang menghidupkan satu malam dari bulan Rejab mengerjakan solat malam dan berpuasa padanya satu hari, maka Allah memberi makan kepadanya dari buah-buahan Syurga. - Hadith ini Palsu (Mawdhu').

*Dalam Kitab Al-Laaly dijelaskan bahawa hadith ini diriwayatkan oleh Hussain bin Ali. Kemudian diterangkan bahawa hadith ini Palsu (Mawdhu').

Bagaimana beramal di dalam bulan ini?

A. Sheikh Mahmud Asy-Sya'rawi di dalam menjawab satu pertanyaan mengenai apakah bulan dari bulan-bulan 'am yang afdhal manusia berpuasa selepas bulan Ramadhan, beliau memetik hadith berikut:

"Seorang lelaki telah bertanya Rasulullah S.A.W, katanya: Bulan mana kamu perintahkanku berpuasa selepas Ramadhan? Maka Rasulullah S.A.W berkata: Jika aku berpuasa selepas Ramadhan, maka berpuasalah di bulan Haram, maka sesungguhnya di dalamnya dari Taubat Allah S.W.T ke atas satu kaum, dan terdapat taubat di dalamnya untuk satu kaum yang lain." - Hadith Riwayat Imam Ahmad.


Jelas di sini menunjukkan bulan-bulan Haram ini disunatkan berpuasa dan juga terdapatnya keampunan Allah S.W.T di dalam bulan-bulan ini.

B. Bekas Mufti besar Arab Saudi, Sheikh Abdul Aziz Bin Baaz apabila ditanya mengenai berpuasa pada bulan-bulan Haram, beliau menjawab:

"Bulan Muharram dari segi syara' dibolehkan berpuasa dengannya dan begitu juga Sya'aban, di sana terdapatnya 10 Zulhijjah, bukanlah ada dalil di sana ke atasnya, akan tetapi berpuasa dengannya TANPA ber'itiqad yang khusus (khas) atau peribadi, maka tidaklah menjadi masalah."

Bagi bulan Allah Al-Haram tersebut, Rasulullah S.A.W pernah bersabda: "Seafdal-adfal berpuasa selepas Ramadhan ialah di bulan Allah Al-Haram." Maka adalah baik bagi berpuasa, atau berpuasalah pada 9, 10 dan 11, itulah yang baik, begitu juga dengan Sya'aban di mana Nabi S.A.W berpuasa dengannya.

C. Seorang Ulama' Islam dari negara Syria yang terkenal pada masa kini, Dr. Wahbah Az-Zuhaily mengatakan bahawa, kebanyakkan imam empat mazhab (Imam Syafie, Imam Hambali, Imam Maliki dan Imam Hanafi) bersetuju mengenai terdapatnya amalan berpuasa sunat di dalam bulan-bulan haram ini, cuma ia berbeza pendapat mengenai cara implementasinya. Kata Dr Wahbah Zuhaily:

"Keutamaan berpuasa pada bulan-bulan ini terdapat di sisi Mazhab Maliki dan Syafie, dan Mazhab Hambali berpuas hati dengan keputusan sendirinya memberi keutamaan berpuasa di bulan Haram, pada mereka itulah puasa yang afdhal selepas Ramadhan, telah bersabda Rasulullah S.A.W: ((Seafdhal solat ialah pertengahan malam, dan seafdhal puasa selepas bulan Ramadhan ialah di bulan Allah Al-Haram)). Seafdhal puasa di bulan haram ialah Hari As-Asyura, sebagaimana di antaranya. Dan berkata Mazhab Hanafi: Sunat berpuasa di dalam bulan-bulan Haram, iaitu berpuasa 3 hari dari semuanya iaitu: Hari Khamis, Jumaat dan Sabtu."

D. Sheikh Abdul Rahman Al-Jaziry di dalam buku 'Kitab Fiqh Empat Mazhab' juga memetik persetujuan 4 mazhab ini mengenai puasa di bulan-bulan Haram, katanya:

"Mengenai sunat berpuasa di bulan Rejab dan Sya'aban, Imam-imam ini telah bersetuju dengannya, cuma terdapat khilaf dengan Hambali..
Hambali: Menetapkan puasa Rejab (secara tunggal) adalah makruh, melainkan jika ia berbuka (tidak berpuasa) secara selang-seli, maka tidaklah Makruh."

E. Panelist fatwa IslamOnline, Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi, ketika diminta memberi fatwa mengenai apakah berpuasa di dalam bulan Rejab itu sunat atau bida'ah, beliau telah menjawab:

"Berpuasa di dalam bulan Rejab adalah maqbul dan mustahab, ke atas semua perkara. Tetapi bukanlah datang dari Rasulullah S.A.W bahawa beliau berpuasa satu bulan penuh, melainkan bulan Ramadhan. Beliau banyak berpuasa di dalam bulan Sya'aban, tetapi tidak berpuasa sepenuhnya, dan itulah sunnah nabawiyyah.. Beliau berpuasa dan berbuka di setiap bulan, seperti riwayat mengatakan:

"Beliau berpuasa sehingga kami mengatakan beliau tidak berbuka, Beliau berbuka sehingga kami mengatakan beliau tidak berpuasa." - Hadith Riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Dawud.

Maka beberapa golongan manusia berpuasa seluruh bulan Rejab, sebagaimana yang kita lihat sebelum ini, aku telah lihat beberapa orang berpuasa bulan Rejab, Sya'aban, Ramadhan dan 6 hari di dalam bulan Syawal, dan menamakannya "Al-Ayyam Al-Baidh", selepas berbuka, mereka akan menjadi perayaan pada hari yang ke 8 dari Syawal.. Hasil dari puasa ini ialah 3 bulan dan 6 hari saling berhubungan, mereka hanya akan berbuka apabila tiba Hari A'id. INI TIDAK DATANG DARI NABI S.A.W, atau pun dari para sahabat atau pun dari As-Salaf As-Saleh.. Maka mereka berpuasa sehari dan berbuka sehari. Tidak ada berterusan di dalam puasa. Semua kebaikan adalah menurut Salaf dan keburukan adalah dari rekaan para Khalaf. Barangsiapa yang ingin ber'iitiba' dan inginkan ganjaran, maka ia harus mengikut Nabi Muhammad S.A.W di mana tidak berpuasa sepenuhnya di dalam Rejab, dan tidak berpuasa sepenuhnya di dalam Sya'aban. Dan ini adalah yang lebih utama. Wa Billahi Taufiq."

Beliau tegas mengatakan bahawasanya disunatkan berpuasa pada bulan-bulan Haram, tetapi tidaklah sepenuh bulan Rejab dan Sya'aban, kerana ini tidak dilakukan oleh Rasulullah S.A.W, atau sahabat-sahabatnya ataupun para Ulama' Salaf.

Puasa-Puasa sunat yang lain

Sheikh Muhammad Mutawali Asy-Sya'rawi di dalam fatwanya menjawab persoalan mengenai puasa-puasa sunat, beliau telah menyenaraikan 8 jenis puasa yang beliau sifatkan sebagai:

"Puasa yang orang Islam lakukan bagi mendekatkan diri kepada Allah."

Puasa-puasa sunat (sukarela!):

1. Puasa sunat di Hari 'Arafah (9 Zulhijjah kepada mereka yang tidak menunaikan Haji).
2. Puasa sunat di Hari 'Asyura, di situ ada hari 9 atau mana-mana hari 9 atau 10 Muharram.
3. Puasa sunat 6 hari di dalam bulan Syawal.
4. Puasa sunat di Hari-hari Putih di dalam bulan-bulan Hijri (Islam) iaitu: hari 13, 14 dan 15.
5. Puasa sunat di hari Isnin dan Khamis di dalam setiap minggu.
6. Puasa sunat di dalam bulan-bulan Haram iaitu: Muharram, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijjah.
7. Puasa sunat di mana-mana dari 9 hari dari bulan Zulhijjah (dari 1 hingga 9 Zulhijjah).
8. Puasa sunat di dalam bulan Sya'aban.

Para Fuqaha' berpendapat jika seseorang itu ingin melakukan puasa sunat, tetapi dia masih mempunyai baki puasa wajib, hendaklah ia mengqada'kannya (menggantikannya terlebih dahulu). Bahkan jika ia mempunyai kifarat dan nazar, maka hendaklah dia melakukannya puasa itu dahulu.

Kesimpulan:

1. Hadith-hadith bulan Rejab kebanyakannya adalah Palsu (Mawdhu'). Pendustaan terhadap Rasulullah S.A.W. (As-Saqr, Al-Qaradawi)

2. Kita dilarang memilih-milih hari atau malam yang tertentu sahaja untuk melakukan ibadah khusus. (Hadith Nabi Muhammad S.A.W)

3. Tidak ada fadhilat KHAS yang ditujukan pada bulan Rejab, yg ada cuma fadhilat umum kepada ke empat-empat bulan haram. (As-Saqr, Al-Qaradawi)

4. Tidak ada solat dan zikir khas untuk bulan Rejab (As-Saqr, Al-Qaradawi)

5. Bulan Rejab seperti bulan-bulan Haram yang lain disunatkan melakukan Puasa sunat dan banyakkan bertaubat. (Imam Asy-Sya'rawi)

6. Keadah berpuasa di dalam bulan-bulan Haram ialah:
- Berpuasa sunat di hari yang ke 9, 10, 11 di dalam bulan Muharram (Sheikh Abdul Aziz bin Bazz)
- Berpuasa sunat di hari Khamis, Jumaat, Sabtu. (Mazhab Hanafi - As-Zuhaily)
- Berpuasa sunat di bulan Rejab tidak sepenuhnya dan Sya'aban tidak sepenuhnya. (Al-Qaradawi)
- Berpuasa sunat di hari 'Assyura (10 Muharram) dan hari 'Arafah (9 Zulhijjah)

7. Rejab tidak mempunyai kelebihan dari bulan-bulan yang lain, kecuali kelebihan sebagai bulan-bulan Haram. (Syed Sabiq)

8. Tidak boleh HANYA berpuasa di bulan Rejab sahaja, di mana 3 bulan-bulan yang Haram yang lain tidak langsung diberi keutamaan melakukan puasa. (Mazhab Hambali - Al-Jaziry)

9. Tidak ada dalil yang mengatakan bahawa menziarah kubur di dalam bulan Rejab mempunyai kelebihannya.

10. AWASIlah dari terlibat menyebarkan HADITH-HADITH PALSU, kerana ditakuti kita adalah sebahagian dari mereka yang MENDUSTAKAN Rasulullah S.A.W. Na'uzubillahhi min zalik.

Dalam mempertingkat amalan-amalan kita kepada Allah S.W.T, sering kali kita disajikan dengan pelbagai-bagai amalan yang kelihatan banyak fadhilatnya. Malah ada juga kedapatan beberapa fadhilat-fadhilat yang sangat rapuh dalilnya, bahkan ia menjadi pegangan sebahagian umat Islam pada hari ini. Bagi persoalan-persoalan seperti fadhilat Rejab atau bulan-bulan yang lain, kita mesti kembali kepada 'role model' atau contoh kita, iaitu Rasulullah S.A.W sebagaimana firman Allah SWT:

"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah S.W.T dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah S.W.T banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)." - Surah Al-Ahzab; ayat 21.

Akhir kata, Selamat menyambut kedatangan bulan-bulan Haram sebagaimana yang telah diajarkan oleh Rasulullah S.A.W.

Soal Jawab
Soalan:
Apakah terdapatnya pada 27 Rejab ganjaran khas orang yang berpuasa? Apakah hukum berpuasa pada hari yang berkat ini? Apakah sahih malam 27 Rejab perjalanan (Isra' dan Mi'raj) Rasulullah S.A.W?

Jawapan:

Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi, 22-09-2003

Dengan Nama Allah dan segala puji-pujian untuknya, selawat dan salam ke atas Rasulullah S.A.W, waba'du:

Malam Isra' dan Mi'raj tidak diketahui, dan tidak diketahui bulannya, bukanlah sah ia berlaku pada 27 Rejab, hatta walaupun hari tersebut merupakan hari Isra' dan Mi'raj maka mengkhususkan puasa pada hari itu dari hari-hari lain merupakan bida'ah yang ditegah, kerana Allah S.W.T tidak memerintahkan selain apa yang disyara'kan, tidak didatangkan di dalam syara' khusus berpuasa pada hari tersebut, ke atas mereka yang berpuasa pada hari Isnin dan Khamis setiap minggu, jika jatuh hari (27) pada hari Isnin atau Khamis, maka tidak ditegah dengan niat (Isnin-Khamis) sedemikian.

Kata Dr Yusuf Al-Qardhawi:

Berpuasa pada bulan-bulan Haram: Apa yang mereka cipta dengan cinta mereka, tidak disyara'kan oleh Allah dan RasulNya, dan tidak pula dilakukan oleh mereka yang diberi petunjuk dari kalangan Khalifah-khalifah, tidak pula diseru oleh Imam-imam yang telah diberi hidayah. Dari berpuasa 27 Rejab, dikaitkan dengan dari Isra' dan Mi'raj Nabi Muhammad S.A.W.

Maka bagi mereka, berpuasa hari itu dianggap sebahagian dari hari-hari Islam, bahawa Allah memberi nikmat kepada NabiNya dengan nikmat yang besar, wajiblah ia berzikir dan bersyukur!

Nikmat Allah kepada NabiNya yang mulia dan nikmat Allah kepada satu-satu umat, telah Allah perintah kepada semua orang Islam agar mengingati nikmatnya yang banyak diberikan ke atas mereka, barangsiapa yang melahirkan rasa syukur dan berpuasa pada hari itu akan membawa ingatan yang banyak!

Semua ini tiada dalil di dalam syariat puasa, Allah S.W.T telah memerintahkan kepada orang Islam agar mengingati nikmat banyak yang dikurniakan ke atas mereka, sebagai contoh katanya di dalam peristiwa Perang Ahzab:

"Kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzaab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari Malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya." - Surah Al-Ahzab; ayat 9.

Bersama ini tidak disebut nikmat berpuasa pada hari ini, di mana ia diperingatkan di bulan Syawal dan selainnya, dan yang lain-lainnya.

Berkata Ibnu Qayyim (Zaad Al-Ma'ad) mengenai Isra' dan Mi'raj menurut Sheikh Ibnu Taimiyah:

"Tidak diketahui satupun di antara orang Islam sesungguhnya menjadikan malam Isra' dan Mi'raj fadhilat ke atas yang lain, dan tidak ada dari sahabat dan tabi'in, kepada mereka elok dilakukan kebajikan yang dikhususkan pada malam Isra' dengan arahan dari perintah-perintah dan peringatannya, dan ini tidak mendefinisikan mana-mana malam dan jika ia malam Isra' dari fadhilat yang banyak oleh Nabi S.A.W."

Dia berkata: "Tidak terdapat dalil (bukti) mengenai bulannya, dan tidak yang ke 10, atau mana-mana sepuluh yang jatuh pada hari itu, dan tidak dengan matanya, bahkan riwayatnya terputus dan berbeza-beza, bukanlah di dalamnya apa yang putus darinya, dan tidak disyara'kan kepada orang Islam mengkhususkan malam dengan qiam dan selainnya." - Zaad Al-Ma'ad - 1/57-58.

Ke atas malam 27 Rejab yang masyhur di kalangan orang bahawa ia adalah malam Isra' dan Mi'raj sesungguhnya tidak sahih dalilnya. Allah yang mengetahui sebaik-baiknya..

Wallahua'lam Bissawab..

-ibnumustafa-

No comments: