Bahagian 1:
Konsep Ketuanan Melayu adalah suatu ungkapan yang diutarakan Dr Mahathir dan dipercayai ia tak pernah dibangkitkan oleh Perdana Menteri dan Presiden Umno sebelum Dr Mahathir. Ringkasnya, 'Ketuanan Melayu' itu satu hubungan yang terikat kuat dengan beliau. Apa-apa yang terjadi selepas artikel ini tersiar, beliau turut terheret sama.
Agar lebih bertanggungjawab, biarlah saya nyatakan di sini bahawa buah fikiran ini saya temui ketika berbual ringkas bersama Dr Muhammad Nur Manuty. Saya rasa, beliau sendiri pun terlupa bahawa saya pernah menelefonnya ketika meminta buah fikirannya mengenai hal ini.
Tambah beliau lagi, Ketuanan Melayu juga tak pernah digemakan pada atau sebelum 13 Mei 1969. Ringkasnya, apa-apa pun, memang Dr Mahathir itulah yang mesti menjawab di dalam http://www.chedet.com sekiranya beliau ingin menbela diri.
Pun begitu, sayugia diingatkan bahawa, apabila kita menyatakan Ketuanan Melayu tidak wujud pada asalnya, itu bukan bererti institusi kesultanan Melayu terbatal dan kedudukan Melayu sebagai tuan, pemilik atau bangsa yang diberikan hak oleh Allah SWT terhadap negara ini akan terbatal. Sama sekali tidak.
Maksud saya, jika Dr Mahathir tidak ditakdirkan sebagai PM dan lafaz Ketuanan Melayu itu tidak keluar, meniti dari bibirnya dalam Perhimpunan Agung Umno dulu, hal Melayu sebagai pemilik atau bangsa yang diberikan hak oleh Allah SWT ke atas negara ini tidak akan pernah terbatal atau hakikat itu tidak akan tercuit walau sedikit pun.
Beliau cuma perkakas, alat untuk diperalatkan untuk mengukuhkan Ketuanan Melayu itu. Dan saya masih ingat bahawa Dr Muhammad Nur Manuty menyebutkan bahawa lafaz itu terlahir dari Perhimpunan Agung Umno pada satu masa lalu kesempatan itu telah diambil oleh kalangan ilmuan, pensyarah, cendekiawan dan sebagainya sebagai satu wacana.
Semua mereka akan mendapat habuannya sesuai dengan niatnya. Jika mereka menulis itu bertujuan membodek Tun Mahathir, maka habuannya hanya Allah SWT yang memutuskannya kelak di akhirat. Tapi, yang masih dapat kita kaji ialah atas dasar dan sebab apakah, maka dengan tiba-tiba, Ketuanan Melayu itu meluncur dari bibir Tun Mahathir?
Hal ini masih kekal sebagai suatu misteri atau bersifat X-Files. Tun Mahathir mempunyai rekod yang buruk dengan istana. Pernah satu ketika, hanya dengan sebab suatu kesilapan seorang raja, maka seluruh institusi kesultanan menanggung akibat dan media-media pun berlumba-lumba merekodkan lalu keterlaluan menghukum kesilapan itu.
Sedangkan, ada bezanya antara manusia dan kemanusiaan, Islam dan Muslim. Dan begitu juga seorang raja dengan institusi kerajaannya atau seorang sultan dengan kesultanannya. Mengapakah melalui kesilapan seorang sultan, maka kesultanan menanggung akibat?
Hal ini yang perlu diulas dalam http://www.chedet.com. Atas sebab itulah, kita ada sebab yang kukuh untuk meragui Ketuanan Melayu dalam takrifan Umno kerana lafaz itu lahir dalam Perhimpunan Agung Umno. Samalah juga, rakyat meragui Islam Hadhari lantaran lafaz itu dibidankan dalam 'seminar pemikiran Umno' dan ia bukan didebatkan oleh para golongan cendekiawan di universiti pada asal mula kelahirannya itu.
Ringkasnya, jangan sesekali dianggap bahawa dengan sebab Tun Mahathir yang berawal konsep Ketuanan Melayu itu, maka beliau adalah antara penyelamat Melayu 100%. Sesekali jangan dianggap dan dilihat begitu.
Kita khuatir Ketuanan Melayu itu dihubungkan dengan Umno. Masih selamat lagi jikalau Ketuanan Melayu itu dihubungkan dengan Raja-Raja Melayu. Ini kerana, secara idealnya institusi raja-raja itu dilihat sebagai pelindung agama Islam, walaupun kita tahu bahawa mereka lebih banyak menerajui FAM dan pertandingan bola sepak.
Itu bab lain. Kita melihat dari segi idealnya dan jangan menoleh ke arah realiti lagi. Dan semua hal-hal yang tersebut nanti akan lebih banyak terkait dengan ideal. Dan, hal inilah yang menyebabkan ramai orang tidak bersabar dalam perdebatan.
Maka, untuk akhirnya, izinkan saya jelaskan lagi konsep Ketuanan Melayu di sini, iaitu hal Ketuanan Melayu di Malaysia ini mestilah dihubungkan kepada Raja-Raja Melayu kerana institusi ini dihubungkan sebagai pelindung agama Islam. Itu yang pertama.
Kedua, Ketuanan Melayu itu mestilah dihubungkan dengan Allah SWT kerana Dia adalah pemilik bumi bertuah ini. Dan, Dialah yang telah menganugerahkan kepada kita sebidang tanah yang bernama Suvarnabumi, Tanah Melayu, Malaya Merdeka dan Malaysia.
Amalan rahsia nenek moyang bangsa Melayu
Sekarang kita masuk kepada perbahasan kedua. Kenapakah Tuhan memberikan tanah ini kepada nenek moyang kita yang berbangsa Melayu. Mesti ada sebabnya dan mestilah ada tujuannya. Pasti ada sesuatu amalan rahsia yang dilakukan oleh umat terdahulu sehingga menyebabkan Tuhan mahu sebidang tanah semenanjung ini diberi kepada mereka.
Amalan rahsia itu adalah dakwah. Sebelum kedatangan Islam lagi, sudah timbul anutan, kepercayaan kepada Tuhan yang Maha Esa. Kita namakan anutan ini sebagai Tauhid.
Mereka telah lama mengembara dan menjelajah guna menyebarkan fahaman dan agama ini. Boleh jadi, mereka ini adalah keturunan Nabi Ibrahim AS atau Nabi-nabi yang mengajar mereka akan konsep dosa, pahala, syurga, neraka, tiupan sangkakala dan lain-lainnya.
Ini semua istilah yang ada hubungannya dengan hari akhirat. Ketika tibanya Islam, maka tidak pula orang kita menyebut as-Sawab, al-Ajru, al-Jannah (syurga), an-Naar (neraka). Maka, istilah ini kekal sebagai sebutan biasa. Sudah tentu, ada Nabi-nabi dan Rasul-rasul yang mengajar tentang hal ini. Hanya Nabi-nabi dan Rasul-rasul yang mendidik umatnya yang berbangsa Melayu berhubung hari kebangkitan, hari kiamat dan akhirat.
Setakat saya faham, polemik dan debat berhubung Nabi dan Rasul Melayu ini, pernahlah tercetus sekitar 1950-an oleh seorang cendekiawan bernama Sutan Takdir Alisyahbana. Namun, usaha menjejakinya terhenti kerana kita mungkin kekurangan peralatan.
Sekiranya idea tentang Nabi dan Rasul Melayu itu wujud, maka apa hubungannya terhadap Ketuanan Melayu itu? Hubungan ini berlaku dan terjalin dengan sebab doa dan perjanjian antara Nabi, Rasul tersebut dengan Tuhan.
Jika, Nabi dan Rasul itu wujud, maka ada kemungkinankah Sang Gedembai itu merupakan Nabi-nabi yang pernah menegur kemungkaran umat Melayu dahulu? Lalu, akibat mereka tidak mengendahkan teguran Nabi Sang Gedembai itu, maka Allah SWT menghukum mereka itu menjadi batu? Maka, teguran Sang Gedembai itu bernilai dakwah adanya.
Jadi, ia bukanlah meriwayatkan kisah dongeng seekor haiwan yang menegur manusia lalu dengan tiba-tiba insan itu berubah jadi batu. Yang memegang watak itu, mesti seseorang yang mencapai darjat makam 'holier than thou' (lebih suci, mulia daripada yang lain).
Sekarang, marilah kita samakan watak Nabi dan Rasul itu dengan Nabi Ibrahim AS. Oleh kerana manusia Melayu yang terawal tadi dilantik menjadi Nabi, maka suatu hari dia pun berdoa, menyusun perjanjian dengan Allah SWT supaya ada dalam kalangan zuriatnya dilantik sebagai pemimpin pada akhir zaman.
Ketuanan Melayu terkait dengan doa Nabi dan dakwah
Seperti Nabi Ibrahim AS juga doa itu dipanjatkan bukan dengan tujuan kemuliaan bangsanya malah bagi tujuan berdakwah ke arah penyembahan Allah SWT, menyeru ke arah kebaikan dan mencegah manusia daripada kemungkaran.
Menurut riwayat termasyhur, zuriat dan keturunan Nabi Ibrahim AS itu terpancar kepada dua sahaja, iaitu bangsa Arab dan bangsa Yahudi. Maka, demikian juga Nabi Melayu itu. Pada suatu masa, muncul seorang Nabi yang lain lagi atau orang-orang suci yang mencapai satu darjat ketinggian, lalu keturunannya dinisbahkan kepada Melayu sehingga ke hari ini.
Maka, dengan sebab doa Nabi Ibrahim AS tadi, kedua-dua zuriatnya sudah mendapat negara, lalu terbentuk Ketuanan Arab dan Ketuanan Yahudi. Ketuanan Arab itu terpusat di Hijjaz dan Ketuanan Yahudi itu terpusat di Kanaan. Bezanya, Yahudi mendapat Kanaan melalui jalan peperangan. Manakala Arab, melalui Ismail AS dan Siti Hajar RA mendapat ketuanan tanpa pertumpahan darah. Kisah ketuanan Arab ini telah disebutkan dalam Al-Qur'an.
Lalu, di Alam Melayu ini, hal yang sama berlaku. Golongan Sang Gedembai ini mungkin telah berusaha keras menyampaikan ajaran tauhid kepada kerajaan-kerajaan lama seperti Gangga Negara dan lainnya. Sebahagian mereka ini telah menerima dakwah dan selamat dan sebahagiannya lagi menolak lalu menerima padah dan celaka.
Syahadan, hikayat dan riwayat inilah yang diperturunkan kepada kita daripada zaman ke zaman, generasi ke generasi sehingga wujud tokok tambah yang tidak masuk akal, lalu ia menjadi suatu kisah dongeng yang mengerikan.
Arakian, demikian serba sedikit kisah berhubung asal-usul Ketuanan Melayu itu. Ia mesti dipautkan kepada kekuatan dakwah Islam dan bukanlah sesuatu yang didengungkan serta digemakan dengan tujuan mengukuhkan legasi Umno, khususnya merujuk pancaran idea dan faham Tun Dr Mahathir Mohamad itu..
Bahagian 2:
Akhirnya polemik Ketuanan Melayu meletus kembali menjadi topik perbincangan dalam kalangan cendekiawan Melayu. Ketuanan Melayu adalah suatu konsep yang tidak pernah disebutkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Demikian antara hujah pihak-pihak yang tidak pernah bersetuju dengan Ketuanan Melayu itu. Bagi mereka, kalau hal itu tidak pernah disebutkan dalam Perlembagaan Persekutuan, maka kenapakah hal itu perlu diulang-ulang?Antara hujah lain, Ketuanan Melayu ditolak lantaran ramai pihak menganggap konsep itu sebagai menunjukkan bangsa bukan Melayu sebagai hamba. Perbahasan mengenai hal ini agak panjang, sulit dan mendalam juga.
Oleh itu, kita akan debatkan hal ini dalam bahagian yang lain pula. Apa yang mustahak di sini ialah kupasan dan hal membedah sedalam-dalamnya hubungan Ketuanan Melayu itu dengan pencipta bangsa Melayu, iaitu Allah SWT.
Apabila kita akui hal ini, maka kita boleh mempertalikan hubungan Allah SWT yang mahukan Islam dibawa dan didakwahkan oleh bangsa Melayu ke atas bangsa bukan Melayu dalam Malaysia hari ini. Masyarakat majmuk hari ini adalah suatu ruang untuk bangsa Melayu berdakwah kepada bukan Melayu sebenarnya.
Tetapi, sejauhmana bangsa Melayu berdakwah kepada bukan Melayu di negara ini, maka hal itu termasuk dalam bab lain pula. Bayangkan, apa akan jadi jika negara ini bukannya dimiliki oleh bangsa Melayu? Mungkin, dengan mudahnya dakwah akan tertolak.
Akan tetapi, Ketuanan Melayu yang dimahukan oleh Umno bukannya didasari oleh citra dan semangat dakwah, melainkan perkongsian kuasa dan selebihnya pembahagian kek ekonomi yang diselewengkan sehingga menjatuhkan maruah bangsa sendiri.
Ketuanan Melayu dan Negara Islam
Apakah persamaan antara konsep Ketuanan Melayu dan konsep Negara Islam? Kalau hal Ketuanan Melayu tidak disebut dalam Perlembagaan Persekutuan, maka demikianlah hal Negara Islam yang tidak disebut di dalam Al-Qur'an.
Apakah ketidakwujudan Ketuanan Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan dan Negara Islam yang tiada di dalam Al-Qur'an itu melambangkan kedua-dua konsep ini tidak wujud sebagai suatu hal yang boleh dibincangkan?
Sama-sekali tidak! Malah, selagimana negara ini dipelihara oleh orang Melayu dan orang Islam, maka konsep ini selalu kekal relevan untuk dibahaskan. Istilah, ungkapan itu boleh diwujudkan selagi mana manusia itu mahukan ia wujud.
Maka, Ketuanan Melayu dan Negara Islam tidak disuratkan, tetapi disiratkan. Ia bukanlah tersurat tapi tersirat. Pun begitu kedua-dua kalimat itu sentiasa berdengung. Dan sebarang usaha untuk membuangnya tidak akan pernah berjaya kerana orang Melayu dan muslimin di negara ini telah diamanahkan oleh Allah SWT untuk memimpin negara ini.
Islam perlukan sesuatu bangsa untuk meneguhkan
Dalam sejarah, Islam diletakkan di atas pundak kaum Arab sebagai bangsa pertama untuk meneguhkan ajaran Tauhid itu. Dan seterusnya ia meniti di atas batang tubuh kaum Parsi, bangsa Kurdish oleh Salahudin al-Ayyubi, bangsa Turki dan lainnya sehinggalah ia jatuh ke atas bangsa Melayu di Kepulauan Melayu atau rantau Nusantara ini.
Ini suatu hakikat yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun. Firman Alahh SWT:-
" Dan kenanglah ketika Allah SWT menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Nabi Nuh, dan Allah SWT telah menambahkan kamu kelebihan (dan kekuatan) pada bentuk kejadian tubuh kamu. Maka kenanglah akan nikmat-nikmat Allah SWT supaya kamu berjaya." (Al-A'raaf: 69)
Di dalam ayat di atas, Allah SWT telah meletakkan ajaran Tauhid ke atas kaum Nabi Nuh AS dan dengan itu percubaan itu, proses menegakkan khilafah (ketuanan) ke atas kaum Nabi Nuh AS pun telah bermula. Mereka menolak lalu tercabutlah akar khilafah daripada mereka.
"Dan kenanglah ketika Allah SWT menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum A'ad dan ditempatkannya kamu di bumi, (dengan diberi kemudahan) untuk kamu mendirikan istana-istana di tanahnya yang rata, dan kamu memahat gunung-ganangnya untuk dijadikan rumah. Maka kenangkanlah nikmat-nikmat Allah SWT itu dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di muka bumi." (Al-A'raaf: 74)
Ketuanan khalifah itu cuba dipahatkan ke atas bangsa A'ad. Mereka membina peradaban, ketamadunan yang tinggi seperti yang disebutkan di atas. Dan khalifah telah dipesan agar tidak melakukan kerosakan. Namun, kerosakan tetap berlaku. Dan percubaan meletakkan ketuanan khalifah itu telah pun tamat tempohnya.
"Kemudian Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad SAW) khalifah-khalifah di bumi bagi menggantikan mereka yang telah dibinasakan itu, agar Kami melihat apa pula corak dan bentuk kelakuan yang kamu akan lakukan." (Yunus: 14)
Kini, tibalah giliran umat Nabi Muhammad SAW pula untuk diberikan amanah, tugas dan tanggungjawab sebagai khalifah itu bagi menggantikan kaum yang telah dibinasakan itu. Dan kini, umat Baginda sedang dipantau oleh Allah SWT dengan tujuan yang sama, iaitu Allah SWT ingin melihat sejauhmana kita menggunakan khalifah ketuanan itu bertujuan meneguhkan ajaranNya. Maka, hal 'Ketuanan' itu terkait langsung dengan 'Ketuhanan'.
Ketuanan jatuh di China dan India
Penjelasan seperti inilah yang menyebabkan kita sedar bahawa kenapa Institusi Raja-Raja Melayu masih wujud dan kekal berbanding Dinasti Maharaja India dan Dinasti Maharaja China telah tumbang. Semua ini terkait dengan ketuanan atau khilafah itu.
Islam masuk ke India, tapi tidak lama dalam bentuk Ketuanan, lalu sistem maharaja India telah roboh. Sebenarnya, rajanya masih ada, tetapi sistem itu sudah tenggelam dan tidak banyak mempengaruhi keputusan melibatkan dasar negara.
Islam pernah masuk ke China. Tapi, yang terkenal cuma Laksamana Cheng Ho dan sosok itu bukanlah keturunan diraja. Akhirnya, dinasti pemerintahan beraja itu berakhir dan tumbang. Setelah gagal di India dan China, ketuanan itu mengalir ke Nusantara.
Tapi, Islam apabila masuk ke Kepulauan Melayu, ia meresap ke dinding istana dan Tanah Melayu terus berubah wajah, rupa parasnya sekelip mata, tanpa pertumpahan darah.
Sebab itulah desakan bukan Melayu agar kuasa istana dirobohkan di negara ini tak boleh dilayan. Ini kerana, Islam cuba memasuki wilayah mereka tetapi mereka menolaknya dan ketuanan mereka terhapus. Lalu, sebahagian mereka dikirim ke negara kita kerana Tuhan ingin memberi peluang kedua kepada mereka untuk mengenali Islam di sini.
Cabaran Islam di Indonesia lebih dahsyat. Ketuanan dan institusi raja-raja berkubur terus kecuali di Daerah Istimewa Yogyakarta (DIY). Jadi, kenapakah 'ketuanan' dalam bentuk institusi raja-raja Melayu di Malaysia terselamat?
Semua itu berbalik kepada Perlembagaan Persekutuan di Malaysia yang mana sirah telah membuktikan kebijaksanaan nenek moyang kita dahulu menggunakan ungkapan 'bangsa' Islam melawan 'bangsa' kafir. Itu ungkapan Tok Janggut, dan lain-lain pejuang.
Warisan perjuangan nenek moyang kita yang panjang inilah antara penyebab kenapakah orang-orang tua Melayu bijaksana dahulu telah digerakkan hati mereka untuk menyusun ayat di dalam perlembagaan bahawa Melayu itu berugama Islam dan raja-raja Melayu itu bertindak sebagai watak pemelihara agama.
Kita menulis begini supaya orang-orang Melayu Umno lekas-lekas sedar diri bahawa hal Ketuanan Melayu itu menjadi satu ungkapan yang istimewa bukanlah kerana kemelayuan mereka. Tapi, kerana mereka itu lemah-lembut, berakhlak mulia dan punya sifat menjaga agama Islam ini bukan hanya dalam bentuk amalan peribadi, malah bersifat dakwah.
Sekali gus, mudah-mudahan Umno yang menyebutkan Ketuanan Melayu itu cepat-cepat sedar bahawa yang disebut dalam perlembagaan itu cuma Melayu sebagai beragama dan Raja-Raja sebagai pelindung Islam.
Dan Tuhan tidak menggerakkan hati mereka untuk menamakan Umno sebagai parti yang memperjuangkan Islam dan melindung Islam di dalam perlembagaan. Syahadan, Umno telah diberikan peluang guna melindungi Islam selama 62 tahun belakangan ini.
Maka, Umno juga akan menerima nasib-nasib seperti kaum A'ad, Tsamud dan digantikan dengan parti-parti lain yang bakal dipantau oleh Allah SWT juga untuk memperjuangkan Islam di negara ini. Umno bukan parti keramat! Sudah tentu Umno boleh direhatkan.Wallahualam..
-am-
2 comments:
panjang berjela jela....bagi aku masa 1 minggu nak habiskan...
To Yuzz: hehehe.. xpe yuzz, aku up lagi 3 hari bagi jadi 10 hari kesemuanyer..
Post a Comment