PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Tuesday, October 28, 2008

Perkahwinan - Kemuliaan Seorang Wanita

Keluarga merupakan asas pada pembentukan sebuah masyarakat. Ia adalah sebuah unit asas yang terdiri dari seorang suami dan isteri, juga jika dikurniakan zuriat, maka ianya menjadi penyempurna kepada sebuah keluarga. Coretan ini ditulis bukan mahu menceritakan apa yang perlu ada pada dalam perkahwinan tetapi apa yang ada pada sebelum perkahwinan. Hasil pengamatan saya terhadap generasi terbilang yang sama-sama kita boleh berkongsi bersama. Juga untuk rujukan kita jika kita mahu mengamalkannya dalam kehidupan.

Umum diketahui bahawa generasi terbilang dahulu adalah hasil tarbiyah dan didikan. Yang seterusnya melahirkan generasi gemilang. Di sini dicoretkan beberapa kemuliaan (bagi padangan saya) seorang wanita dalam erti kepada perjalanan kepada perkahwinan.

Apabila dituruti sirah Nabi-nabi, kemuliaan wanita adalah terletak pada apabila mereka dikahwinkan oleh bapa mereka. Mungkin kita sedikit mencebik apabila dikatakan bahawa perkahwinan yang diatur oleh ibu bapa adalah perkahwinan zaman dahulu, tetapi hakikatnya ia adalah sunnah para Nabi. Mari kita turuti beberapa kisah dari pengamatan yang terhasil:

1. Perkahwinan Nabi Musa AS dengan anak penternak (Surah Al-Qosos : 22-28).
Kisah bermula apabila Nabi Musa AS sampai di sebuah tempat setelah jauh membawa diri dari pihak Penguasa Firaun. Ketika sampai di suatu sumber air di sebuah tempat bernama Madyan, baginda melihat dua orang anak gadis muda sedang menghambat ternakan mereka. Terus ditanyakan pada mereka;

“Mengapa kamu buat begitu?”

"Kami tidak boleh memberi minum pada ternakan kami sehinggalah penternak-penternak yang lain pulang sedangkan ayah kami adalah seorang yang sangat berumur." kata kedua-dua anak gadis tersebut.

Maka di atas sifat seorang manusia, Nabi Musa AS membantu kedua anak gadis tersebut memberikan minuman pada ternakan-ternakan mereka. Sehingga selesai dari kerja itu, Nabi Musa AS kembali ke tempat perteduhannya.

Setelah beberapa ketika, seorang dari dua perempuan yang dibantu Nabi Musa AS datang kepadanya dengan keadaan yang malu-malu, sifat semula jadi seorang wanita, menjemput Nabi Musa AS kerumahnya kerana ayah mereka ingin membalas budi yang ditaburkan Nabi Musa AS kepada merkea.

Perkenalan Nabi Musa dengan ayah gadis-gadis ini dan setelah penceritaan semua peristiwa yang berlaku, salah seorang dari wanita gembala itu, mengusulkan pada ayah mereka agar diambil Nabi Musa AS bekerja dengan mereka kerana pada Nabi Musa AS ada sifat orang yang dipercayai dan juga seorang yang kuat.

Terus dikatakan pada Nabi Musa oleh ayah pada wanita ini,

“aku sangat ingin untuk menikahkan kamu dengan salah seorang anakku, dengan (mahar) dasar kamu bekerja denganku 8 tahun dan kalau kamu mahu cukupkan 10 tahun, itu terserah padamu.” Nabi Musa AS bersetuju dengan syarat tersebut. Maka Nabi Musa AS dikahwinkan dengan salah seorang dari wanita anak kepada penternak binatang ini.

Kesimpulan cerita
: seorang wanita mulia adalah mereka yang dijodohkan dengan seseorang yang dipercayai kebaikan dan akhlaknya oleh ayahnya sendiri. Yang datang dari mulut ayahnya bukan dari pihak lelaki.

2. Kisah Nabi Lut AS dengan kaumnya (surah Hud : 76-77).
Ketika datang utusan (malaikat) yang membawa berita dari Allah SWT dalam bentuk manusia. Mereka mendatangi Nabi Lut AS sebagai tetamu. Berita tentang kedatangan tetamu ini, diketahui oleh kaumnya. Kita ketahui bahawa kaum Nabi Lut AS merupakan pelaku sodom (homoseksual-lesbian-suka sama jenis). Apabila diketahui ada lelaki yang datang bertamu ke rumah Nabi Lut AS, segera mereka datang kepada Nabi Lut AS dalam keadaan bergesa-gesa.

Melihatkan sikap yang dipamerkan oleh kaumnya ini, Nabi Lut AS tahu dengan apa maksud yang merka ingin darinya, terus ditawarkan pada mereka anak-anak perempuannya dengan maksud dikahwinkan dengan mereka :

“Wahai kaumku, ini merupakan puteri-puteriku, mereka lebih suci bagi kamu semua. Bertaqwalah kamu kepada Allah SWT, dan janganlah kamu mencemarkan aku dihadapan tetamu-tetamu ku ini. Tiadakah dikalangan kalian orang yang berakal?” Ayat ini disebut oleh Nabi Lut AS setelah sikap yang dipamerkan mereka dihadapan tetamu yang hadir. Sebagai seorang manusia yang berakal, timbul perasaan malu pada diri Nabi Lut AS dengan sikap yang dipamerkan oleh kaumnya.

Jawapan yang diberikan oleh kaumnya:

“Kamu dah tahu bahawa kami tiada keinginan terhadap anak-anak kamu, dan kami pasti kamu tahu apa yang kami mahu” Jawapan yang sangat mengharu-birukan perasan seorang manusia yang berakal terhadap sikap yang dipamerkan oleh satu kaum yang sudah tidak kenal erti kemanusiaan.

Kesimpulan cerita
: seorang ayah akan menjodohkan anaknya yang mulia dengan lelaki yang sanggup untuk membuat perubahan ke arah lebih baik.

3. Kisah perkahwinan Nabi Muhammad SAW dengan Khadijah RA.
Umum sudah kita ketahui kisah ini, yang Khadijah RA merisik Nabi SAW. Kecerdikan, keramahan dan sifat mulia yang ada pada diri Nabi Muhammad SAW sangat menarik hati dan naluri Khadijah RA terhadap budi pekerti Nabi Muhammad SAW.

Dari perkahwinan antara Khadijah RA dan Nabi Muhammad SAW, lahir seorang wanita yang menjadi antara wanita yang mula-mula sekali masuk ke syurga. Dia itulah Fatimah Azzahra RA.

Kesimpulan cerita
:
a. Seorang wanita yang mulia akan memulakan langkah dengan merisik sendiri lelaki idamannya dengan melalui saluran yang betul. (guna orang tengah tanya bahagian lelaki).
b. Zuriat yang bagus juga dari hasil bermula cara perkahwinan dari ayah dan ibunya.

4. Perkahwinan Saidina Ali KW dan Fatimah RA.
Nabi Muhammad SAW menawarkan pada para sahabat baginda tentang hasrat hatinya untuk mengahwinkan salah seorang dari kalangan mereka dengan puterinya Fatimah RA. Perkahwinan ada syarat yang diperlukan. Akhirnya, Saidina Ali KW cukup syarat yang diperlukan.

Hasil perkahwinan Saidina Ali KW dan Fatimah RA melahirkan Hasan RA yang diketahui oleh kita telah menyatukan kembali perpaduan umat Islam yang berpecah di zamannya.

Kesimpulan cerita :
a. Seorang ayah akan mengahwinkan anaknya yang mulia dengan seorang lelaki yang cukup ciri kemuliaan dengan anaknya.
b. Ciri seorang pemimpin yang terbilang dihasilkan / dilahirkan dari pertemuan atau bagaimana cara pertemuan perkahwinan ibu bapanya.

5. Saidina Umar al-Khattab RA mengahwinkan anaknya.
Suatu hari, Saidina Umar al-Khattab RA melakukan rondaan di waktu malam untuk melihat suasana rakyatnya disamping mengetahui keadaan sebenar rakyatnya. Diri beliau yang selaku seorang khalifah umat Islam, cuba melakukan seadil mungkin di atas amanah dan tanggungjawab yang dipikulkan ke atas bahunya.

Suatu ketika ketika melakukan rondaan, beliau terdengar suatu pebualan di suatu rumah, Saidina Umar RA berhenti untuk mendengar perbualan tersebut. Seorang ibu menyuruh anaknya agar memerah susu untuk dijual esok dan periksa berapa banyak susu yang ada. Hasil dari pemeriksaan, anaknya (seorang perempuan) memberitahu bahawa susu yang ada hanya sedikit.

“Kamu tambahkan air ke dalam susu tersebut. Biar banyak sedikit hasil yang akan kita peroleh” kata si ibu.

“Tidak boleh ibu, ia seperti kita menipu timbangan pada manusia", kata si anak.

“Tidak mengapa, Saidina Umar RA tidak tahu perkara ini” balas si ibu.

Ketika itu, Saidina Umar RA semakin tertarik dengan perbualan mereka dan cuba mendengar apa jawapan dari anak perempuan tersebut.

"Ibu, Saidina Umar RA sememangnya tidak mengetahui perkara ini, tetapi Tuhan Saidina Umar RA tahu akan perkara ini."

Terkejut Saidina Umar RA dengan jawapan yang diberikan oleh anak perempuan wanita tersebut. Setelah itu, keesokan harinya, Saidina Umar RA mengarahkan pengawalnya memanggil kedua-dua beranak ini ke pejabatnya. Dan menawarkan kepada wanita tua tersebut untuk anaknya (seorang lelaki) dikahwinkan dengan anak wanita itu.

Hasil dari keturunan inilah lahirnya Khalifah Umar Abdul Aziz, seorang pemimpin yang terkenal dengan sifat adilnya dalam pemerintahan.

Kesimpulan cerita
:
a. seorang wanita yang mulia akan ditawarkan / dirisik oleh ayah seorang lelaki yang ingin mengahwinkan anaknya dengan wanita tersebut.
b. Seorang pemimpin yang terbilang adalah hasil dari benih pertemuan ketika bermulanya perkahwinan dari ibu dan ayah mereka.

Kesimpulan dari cerita-cerita dari kisah-kisah yang dipamerkan, jelaslah kepada kita, bahawa sunnah orang-orang beriman dalam perkahwinan banyak yang datang dari pihak perempuan dahulu. Hasil dari tarbiyah dan didikan itu, melahirkan pemimpin-pemimpin umat. Jodoh pertemuan adalah seperti nasi/makanan, yang mana ianya perlu diusahakan, bukan sekadar hanya mengharap tetapi usaha perlu dahulu dimulakan.

Akhir kalam, janganlah kalian (para wanita) untuk malu melakukan langkah dahulu dalam memastikan kebahagiaan di dunia sebagai wasilah cemerlang diakhirat. Jika sudah dikenal pasti siapa yang berkenan di hati, jangan ragu-ragu untuk menyatakan hasrat melalui saluran yang betul. (elok ibu ayah atau orang tengah ).

Terbukti bahawa dari kisah-kisah di atas bahawa permulaan kepada pernikahan yang dimulakan oleh wanita menunjukkan kemuliaan wanita itu. Mahu menggunakan ibu ayah, maka Nabi Muhammad SAW sebagai contoh dalam mengahwinkan anaknya, mahu mencari sendiri, maka Khadijah RA (isteri Nabi SAW) sebagai suri contoh.

Sifat malu itu bertempat. Dalam perkara ini, jika wanita memulakan dahulu bukan bermakna dia tidak punya sifat malu, tetapi wanita yang kata dia tidak mahu memulakan itu kerana malu ia adalah salah konsep, ia adalah segan bukan malu atau istilah lain, malu tidak bertempat.

Ingatlah, bahawa lelaki mulia dengan memilih seorang ibu yang baik untuk anak-anaknya, dan kemuliaan seorang wanita adalah dengan memilih calon bagi dirinya untuk kebahagiaan dunia dan akhiratnya.

Percayalah bahawa anda seorang yang mulia walaupun anda yang memulakan dahulu.

Nota kaki : Artikel di atas sekadar perbicangan di kalangan kita
terhadap isu tidak berkahwin, kahwin lewat yang sedang berlaku di zaman kita yang banyak terjadi dikalangan wanita. Sifat malu dan menunggu orang masuk membuatkan golongan wanita semakin ramai yang tidak punya pasangan.. Salah silap, teguran sangat diharapkan. Tulisan adalah dari dasar pengamatan saya. Terima kasih buat kalian semua.

-am-

2 comments:

* adeqya8284 * said...

Salam...menarik artikel penulis kali ni...:)..sekadar berkongsi pendapat..
pd pendapat sy memang tak salah kalau wanita yg mulakan dahulu..tp kdg2 naluri wanita selalu keliru antara cinta atau rasa ingin memiliki..2 frasa yang hampir sama maknanya tp berbeza pada tafsirannya..kdg2 rasa cinta mungkin ada tp diuji dgn pelbagai halangan dan dugaan, wujud pula rasa ingin memilki..yang kadang boleh menjerat diri...

Jodoh, ajal,maut ditangan tuhan...kita sebagai manusia hanya mampu berusaha namun yang mengetahui hanya Dia..lps berusaha jgn lupa berdoa, dan lps mendapat cinta jgn lupa bersyukur..tanda nikmat yang paling berharga buat hamba2Nya...sekadar pandangan utk dikongsi bersama ...tq

ibnumustafa said...

To Adeqya84: W'salam, terima kasih kerana sudi berkongsi pendapat. jgn ceramukkan fikiran dengan keliru antara cinta atau ingin memiliki. cuba bahagikan keduanya. lakukan penilaian mana yg terbaik. atas dasar apa aku ingin menyintai seseorang, dan atas dasar apa pula aku ingin memiliki. apakah atas keterdesakan atau betul2 ingin memiliki sebuah hubungan kekeluargaan yg mulia dan bahagia? hadapilah segala ujian dan halangan yg wujud dengan penuh kesabaran. kerana pada kesabaran itu ada seribu kemanisan. cuba bayangkan apabila sesuatu yg susah hendak dimiliki, akhirnya berada dalam genggaman. apakah itu tidak manis dan berbaloi atas kesabaran kita selama ini?
Jodoh, ajal, maut, rezeki semuanya di Tangan Tuhan..

"tanpa usaha mimpi tidak akan bermakna.." =.)

hanya Dia mahu melihat siapakah hambaNya yg betul2 mahu berusaha, sabar dan patuh padanya.. tq sis..