Iltizam (komited) dengan Islam membawa maksud, pelaksanaan aspek dan konsep agama yang dilakukan oleh seorang muslim dengan memelihara hubungan intimnya dengan Allah SWT selaku Pencipta.
Dengan kata lain, iltizam itu ialah segala tindakan dan tingkah laku muslim bagi merealisasikan makna Islam, iaitu menyelamatkan bangsa manusia atau penyerahan diri mereka hanya kepada Allah dengan sebenar-benarnya menerusi pengamalan agama dalam segenap bidang kehidupan, kepercayaan (akidah), peribadatan, perlakuan, perhubungan atau pergaulan sesama manusia.
Begitu juga dengan masyarakat umat Islam dikatakan sebagai umat yang beriltizam dengan Islam, apabila melaksanakan tuntutan agama dalam pegangan akidah mereka, kepercayaan, peribadatan, perlakuan, perhubungan dan pergaulan sesama umat Islam dan manusia sejagat.
Bukti iltizam itu telah dirakam oleh Allah SWT dalam ayat 162 surah al-An�am yang bermaksud : Katakanlah (wahai Muhammad) �Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidup dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan sekelian alam�.
*Iltizam juga diungkapkan sebagai mencapai atau merealisasi perutusan kejadian manusia, perkara ini telah disebut oleh Allah dalam surah az-Zariyat ayat 56 yang bermaksud : �Tidak Aku (Allah) menciptakan jin dan manusia, melainkan untuk menyembah (beribadat) kepada-Ku�.
*Selain itu, iltizam juga diertikan sebagai menerima segala hukum-hakam Allah dalam al-Quran dan apa yang dijelaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w dengan pasrah dan bersungguh-sungguh, hakikat ini diperjelaskan oleh Allah menerusi ayat 36 surah al-Ahzab yang bermaksud : �Dan tidaklah patut bagi lelaki yang beriman dan tidak pula bagi wanita yang beriman, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka�.
Justeru, kita perlu bertanya pada diri sendiri, apakah kita termasuk dalam golongan orang-orang yang beriltizam dengan Islam, atau hanya berpura-pura atau menerima Islam separuh-separuh ataupun menerima Islam apabila sesuai dengan naluri, dengan kata lain, Islam tunduk pada kehendak kita, bukannya kita yang patut tunduk dan akur kepada segala ajaran Islam.
Tanda beriltizam kepada Islam
Para ulama� bersepakat mengatakan bahawa, iltizam itu dapat dikenal pasti menerusi penyerahan diri muslim pada perkara yang zahir dan batin. Dalam perkara zahir, seorang muslim itu melaksanakan segala perintah Allah yang wajib ditunaikan seperti pelaksanaan ibadat solat, puasa, haji, zakat, memakai hijab (tudung kepala) bagi muslimat, berakhlak mulia dan lain-lain.
Sementara dalam perkara batin pula, seorang muslim itu wajib beriltizam dengan aspek ketuhanan dalam mentauhid (mengesakan) Allah, bertakwa kepada-Nya, takut kepada ancaman dan hukuman-Nya, mengharapkan keampunan dan rahmat hanya daripada-Nya dan banyak lagi.
Justeru menurut para ulama�, jika seseorang itu menzahirkan kepada manusia kebaikannya seperti banyak solat sunat, puasa sunat, suka menderma, suka tolong orang lain, berulang alik ke masjid, sedangkan dia tidak begitu, suka mengumpat, memfitnah orang, menuduh orang tanpa bukti kukuh, pakai tudung kepla pada masa tertentu, maka dia dikatakan tidak beriltizam dengan Islam, atau paling tidak dikatakan iltizamnya masih berkurangan.
Kerana iltizam itu tidak dapat dibuktikan pada amalan sehari dua, malah ia perlu berterusan tanpa niat untuk menunjuk-nunjuk pada orang lain, ia dilakukan atas dasar ikhlas kerana Allah SWT.
Jalan terbaik untuk mengekalkan iltizam kepada Islam, ialah bersahabat dengan orang-orang yang baik-baik, apatah lagi mereka yang dapat mengingatkan diri kita kepada Allah SWT, menyuruh yang makruf, mampu pula mencegah kemungkaran, berdakwah dengan penuh hikmah, berakhlak mulia, tidak wujud sebarang kepentingan dunia, apa yang diharap hanyalah keredaan Allah, ia menepati seruan Allah menerusi ayat 28 surah al-Kahfi yang bermaksud : � Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru kepada Allah, di waktu pagi dan malam dengan mengharapkan keridaan-Nya, janganlah kamu berpaling dari mereka kerana mengharapkan perhiasan (habuan) kehidupan dunia ini, janganlah kamu mengikuti orang-orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami serta mengikut hawa nafsu, sesungguhnya urusan hidup mereka telah melampaui batas�.
Mudah-mudahan, kita mampu dan boleh berdoa kepada Allah SWT, agar menjadikan diri kita, isteri, anak-anak, adik-beradik, terlebih lagi kedua iba bapa kita, agar dimasukkan dalam kategori hamba Allah yang sentiasa dan kekal beriltizam dengan Islam, berjuang kerananya dan mati pada jalannya, Amin.
-am-
No comments:
Post a Comment