Sejarah manusia dengan agama yang diredai Allah SWT untuk mereka, sentiasa dinodai dengan kuman-kuman yang disebarkan oleh syaitan dari zaman ke zaman.
Kerananya manusia sering dan berulang kali dihinggapi satu penyakit yang sangat parah iaitu penyakit yang disebut oleh Allah SWT sebagai syirik lalu menjadi musyrik, di mana dengannya menjadikan manusia buta dari melihat, pekak dari mendengar dan beku dari memikirkan segala petunjuk Allah SWT.
Istilah buta, pekak dan sebagainya adalah digunakan oleh Allah SWT tanpa segan silu, kerana seluruh manusia yang dihadapkan kata-kata itu adalah hamba-hambaNya belaka.
Manusia pada hakikatnya ialah roh, yang kejadian dan kewujudannya, merupakan suatu daripada rahsia dari pengetahuan Allah SWT, dan di luar batas pengetahuan manusia.
Manusia yang wujudnya di alam nyata ini ialah hasil dari gabungan roh dan jasad, yang mana jasad itu baharu sahaja terjadi dan kesuburannya adalah bersumber kepada tanah dengan segala bahan-bahan yang terdapat di planet bumi ini.
Kehidupan manusia di bumi ini adalah kehidupan yang terlalu singkat, apabila diingatkan betapa roh mereka telahpun ada sejak beberapa lama sebelum kelahiran mereka ke dunia ini dalam bentuk jasmani dan rohani.
Allah menerangkan betapa semua roh itu telah ditanya :
"Tidakkah Aku ini Tuhan kamu? Dan sekelian roh menjawab : Benar sekali."
Adapun pertanyaan dan jawapan ini telah lama sekali berlaku di alam yang tersendiri.
Manusia dengan jasadnya tanpa roh adalah bangkai yang terlalu busuk baunya sekiranya dibiarkan terdedah. Busuknya bau bangkai manusia jauh lebih busuk dari bangkai binatang-binatang yang lain.
Demikianlah manusia ini, mereka dicipta dan dilahirkan ke dunia melalui sebuah planet yang dinamakan 'al-Ardh' atau bumi dengan sebaik-baik kejadian.
Manusia dianugerah dengan akal dan budi bicara. Mereka dapat pula berkata-kata untuk menyampaikan sesuatu yang lahir dari pemikiran dan perasaan.
Mereka juga dilengkapi dengan kebolehan daya usaha dan daya cipta yang dapat mempergunakan segala benda yang disediakan oleh Allah SWT, iaitu apa-apa yang ada di planet bumi ini bagi kepentingan mereka.
Semuanya ini adalah sebagai ujian kepada mereka, kemudian mereka akan dikembalikan kepada sebusuk-busuk bangkai, iaitu seburuk-buruk kejadian dan hancur luluh bersama tanah di bumi yang mereka dilahirkan.
Seluruh kehidupan manusia sebagai kehidupan sementara di dunia ini adalah merupakan ujian terhadap mereka, sama ada mahu menjadi makhluk yang berterima kasih atau syukur kepada Allah SWT, atau mahu menjadi makhluk yang degil, keras kepala, sombong, bongkak atau kufur ingkar kepada Allah SWT seperti golongan jahiliyyah yang menyembah berhala.
Secara sedar ia adalah tindakan keterlaluan mencintai Allah SWT melalui penciptaan patung-patung yang kononnya untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT yang digambarkan sebagai tuhan-tuhan.
Demikianlah di antara yang berlaku secara sedar, adapun yang tidak sedar ialah dengan mengambil dan menjadikan pemimpin-pemimpin mereka yang biasanya ialah manusia yang gagah, berkuasa, kejam dan zalim sebagai tempat untuk menyerah jiwa raga mereka dan dipatuhi secara membuta-tuli kerana hajat-hajat kehidupan menurut pertimbangan nafsu mereka sendiri.
Sejarah manusia selepas kewafatan nabi-nabi dan rasul-rasul sering menjadikan manusia terdedah kepada tipu daya syaitan yang pernah berhenti dari memperdaya dan memesongkan manusia supaya terpesong daripada jalan yang benar yang menyaebabkan mereka akhirnya menjadi murtad.
Begitulah yang terjadi sesudah Nabi Isa AS sehingga kitab Injil terbahagi kepada empat jenis yang berbeza-beza pendekatan dan arahannya, ia berlaku kerana tindakan songsang yang memurtadkan pelakunya.
Apabila Nabi Muhammad SAW dibangkitkan sebagai Rasul terakhir untuk sekelian manusia, baginda telah berhadapan dengan zaman penyembahan berhala dan api, atau menyembah pemimpin-pemimpin negara, di man semuanya itu disifatkan sebagai musyrik kerana mengambil sesuatu yang lain daripada Allah SWT.
Sesungguhnya da pelbagai keterangan Allah SWT berhubung dengan murtad, syirik dan musyrik dan pelbagai keterangan dan penjelasan Nabi Muhammad SAW dalam hal ini yang sepatutnya menjadi panduan yang baik untuk kita semua renungkannya.
Sebahagian rencana hasil tulisan al-Marhum Amaluddin Darus menerusi risalah kecil 'Islam Agama Manusia Sejagat' m.s 21 -28.
-am-
No comments:
Post a Comment