PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Wednesday, November 5, 2008

Ensiklopedia klasik Islam


ENSIKLOPEDIA ditujukan kepada orang yang ingin memperoleh maklumat lengkap.

SAIDINA Ali KW Bin Abi Thalib, berkata, ilmu lebih utama daripada harta. "Ilmu menjagamu, sedangkan harta, engkaulah yang harus menjaganya. Harta berkurang jika dibelanjakan, sedangkan ilmu akan bertambah subur jika dibelanjakan iaitu apabila ia diajarkan kepada orang lain," nasihat Saidina Ali KW kepada anak muridnya, Kumail. Begitulah, Islam memang menjunjung tinggi ilmu. Kesemuanya ini terungkap dalam kitab suci al-Quran dan hadith Nabi SAW. Sayangnya, ungkapan ini sekarang menjadi semacam klise. Ia lebih sering diungkapkan berbanding untuk dijalankan atau diamalkan.

Namun begitu, setidak-tidaknya 'gelegak' dahaga terhadap ilmu pernah mewarnai peradaban Islam. Kerananya, sebagaimana peradaban-peradaban besar lain seperti Yunani, Romawi dan China, peradaban Islam banyak menghasilkan ensiklopedia. Bahkan ilmuwan-ilmuwan Islam pada zaman keemasan Islam sering disebut sebagai 'ilmuwan ensiklopedis' kerana mereka menguasai pelbagai bidang pengetahuan sekali gus. Jika dibandingkan hari ini, ilmuwan hanyalah sekadar menguasai bidangnya sendiri dan kerana itu, mereka tidak layak digelar 'ilmuwan'. Pembacaan mereka tidak 'ensiklopedik' (keluasan dunia pembacaan), jauh sekali untuk membaca buku-buku yang bersifat pemikiran.

Secara umum, dinyatakan dalam Macropaedia Britannica, ensiklopedia-ensiklopedia awal dalam bahasa Arab dapat dibahagikan kepada dua kategori. Pertama, ensiklopedia yang ditujukan kepada orang yang memang ingin memperoleh maklumat yang lengkap dan memanfaatkan pengetahuan di dalamnya. Kedua, ensiklopedia yang ditujukan kepada para pentadbir negara. Maklumlah, wilayah Islam yang semakin luas sampai ke Mediterranean tentunya memerlukan pentadbir yang cekap, dan ensiklopedia adalah salah satu sarana untuk menambah pengetahuan.


ENSIKLOPEDIA juga ditujukan kepada para pentadbir negara.


Ensiklopedia pertama yang dikatakan datang dari dunia Islam adalah karya Ibn Qutaibah (828-889), seorang ahli filologi, bertajuk Kitab Uyun Al-Akhbar. Tidak sekadar membahas topik-topik, Ibn Qutaibah menghiasinya dengan kata-kata mutiara dan puisi-puisi Arab lama. Para penyusun ensiklopedia terkemudian mengikuti pola penyusunan dan cakupan kitab ini. Sepuluh jilid karya ini disusun secara tematis ke dalam urutan sebagai berikut: kekuasaan, perang, kemuliaan, karakter, belajar dan kefasihan, persaudaraan, doa, makanan, dan wanita. Seorang peneliti Barat mengatakan urutan tematik harus berdasarkan kepentingannya. Untuk itu, dia menyindir Ibn Qutaibah kerana kekuasaan dan perang diletakkan pada urutan awal berbanding makanan dan wanita yang diletakkan pada urutan belakang.

Akan tetapi, karya Al-Kharizmi, Mafatih Al-Ulum, yang dikompilasi lebih sering dianggap sebagai ensiklopedia pertama dari dunia Islam. Dia membahagikan karyanya ke dalam dua bahagian iaitu pengetahuan asli (Fikah, filsafat skolastik, tata bahasa, seni puisi, sejarah) dan pengetahuan asing (filsafat logika, kedoktoran, matematik, geometri, astronomi, muzik, mekanik, alkimia). Al-Nuwairi (1272-1332), sejarahwan Mesir, mengkompilasi ensiklopedia terbaik dari zaman Mamluk, Nihayah Al-Arab fi Funun Al-Adab, dalam 9,000 halaman. Sementara itu, Masalik Al-Abshar karya Al-Umari (1301-1348) sangat menekankan aspek sejarah, geografi dan puisi. Lalu Ibsyihi (1440) menyusun Mustatraf mencakupi agama Islam, perilaku, hukum, kualiti 'spiritual', kerja, sejarah alam, muzik, makanan dan kedoktoran.

Dari Parsi pula, seorang ahli hukum bernama Al-Dauwani (1427-1501) menerbitkan semacam ensiklopedia berjudul Umdah Al-Ulum yang berisi soal jawab serta penemuan teknik dalam banyak bidang. Lalu Al-Hanafi pada tahun 1524 menerbitkan survei ensiklopedis dan penjelasan mengenai pelbagai cabang pengetahuan. Bukunya, bahkan ditambah pula dengan lampiran berisi nama-nama Tuhan yang disusun secara alfabet.

Begitulah kekayaan khazanah pustaka Islam, dengan pemaparan beberapa contoh ensiklopedia di atas, yang mana merupakan bukti nyata sejarah gemilang Islam. Akan tetapi, kata orang, sejarah hanyalah sebuah 'album', kecuali kita dapat menyerap pengajaran daripadanya. Tidak cukup berbangga dengan masa silam. Kita harus 'melahirkan' ensiklopedia yang jauh lebih baik dari Britannica, Americana atau mana-mana ensiklopedia besar dunia yang lain. Dalam bahasa Inggeris pun, ensiklopedia Islam yang menjadi rujukan penting masih sebahagian besar dihasilkan oleh para orientalis. Dan kini, kita tahu, kita seakan-akan kehilangan pengajaran itu.

* sumber dari www.kosmo.com.my

No comments: