PEMBINAAN empat buah hotel di zon larangan pembangunan pesat di Pulau Pinang telah menimbulkan 'kekecohan'. Isu ini mendapat perhatian awam berikutan rancangan mendirikan bangunan pencakar langit di zon itu. Besar kemungkinan, pelaksanaannya akan menggugat status zon warisan dunia seperti yang diiktiraf oleh UNESCO.
Seluruh rakyat Malaysia menyambut baik berita pengisytiharan Georgetown dan Melaka sebagai tapak warisan dunia pada 7 Julai 2008.
Dua bandar bersejarah ini tersenarai sebaris dengan 139 buah negara lain yang mempunyai tapak warisan dunia. Namun, tugas penyenaraian ini tidak semudah yang disangka.
Daripada pengumpulan dokumen zaman silam yang masih utuh dan sah diterima hinggalah penyertaan yang menepati kriteria-kriteria yang digariskan oleh UNESCO, segala-galanya mengambil masa untuk dinilai oleh jawatankuasa khas.
Tujuh tahun lalu, kerajaan negeri Melaka dan Pulau Pinang membuat aplikasi secara bersama, namun nasib tidak menyebelahi kerana dokumen yang disertakan tidak lengkap, termasuk komitmen yang mengecewakan daripada pihak berkuasa.
Namun begitu idea yang dicetuskan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak ketika memegang portfolio Menteri Pelajaran pada tahun 1995 hingga 1999 itu diteruskan. Kini, komitmen yang konsisten membuahkan hasil yang cemerlang dan boleh dibanggakan hingga generasi seterusnya.
Bukan hanya bergelar Bandar Raya Warisan Dunia atas nama tetapi penyenaraian ini merupakan salah satu pemangkin utama dalam melonjakkan sektor pelancongan di Pulau Pinang dan Melaka.
Sungguhpun begitu, banyak perkara diungkitkan dan dipertikaikan dalam kes zon warisan dunia di Pulau Pinang.
Ada pihak membangkitkan isu kewujudan dan peradaban masyarakat Melayu dipinggirkan sekalipun Masjid Melayu Jalan Acheh dan Masjid Kapitan Keling diwartakan oleh UNESCO.
Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal enggan berganjak selagi tidak mendapat penjelasan yang menyakinkan berhubung masalah ini daripada kerajaan negeri.
Orang ramai terutamanya anak jati Pulau Pinang, melahirkan rasa terkilan dengan tindakan yang diambil oleh kerajaan Pulau Pinang memandangkan zon warisan dan zon ini perlu dijauhi daripada sebarang jenis pembangunan pesat.
Ini kerana pembangunan pesat akan menjejaskan imej zon warisan yang tentunya akan dimamah era globalisasi yang tidak terkawal.
Tatkala penganugerahan ini menjadi milik Pulau Pinang selepas tiga kali ditolak, Presiden Yayasan Warisan Pulau Pinang (PHT), Dr. Choong Sim Poey tergamam seketika memikirkan kenapa pihak Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) tidak mematuhi syarat-syarat yang dipersetujui dalam perjanjian UNESCO sebelum ini.
"PHT telah mengenal pasti lima buah bangunan tinggi di kawasan utama dan penampan zon warisan. Ini sudah tentu melanggar garis panduan pihak UNESCO."
Sebelum ini, Choong pernah mengingatkan kesan proses urbanisasi yang memberi tekanan di kawasan sekitar zon warisan sedunia. "Selama 12 tahun, PHT, MPPP dan kerajaan negeri yang lalu bekerjasama untuk memperoleh pengisytiharan tersebut. Saya ingin tahu, apakah alasan MPPP membenarkan projek ini diteruskan," katanya yang berpendirian tegas.
Ahli sejarah, Tan Sri Prof. Dr. Khoo Kay Khim, turut melahirkan kekesalan atas sikap segelintir individu yang lebih mementingkan keuntungan dan nilai komersial daripada menghargai nilai-nilai sejarah yang terdapat di zon warisan dunia sejak beratus tahun.
"Warisan bangunan Pulau Pinang yang bercirikan budaya dan tradisi turun-temurun, bukan sahaja terkenal di Malaysia, tetapi juga dikenali di negara barat. Kita semua berbesar hati dengan pemilihan Pulau Pinang dan Melaka ini. Tetapi apabila ia dinodai, banyak hati yang terguris."
"Kerajaan harus memahami perasaan masyarakat sejagat. Projek ini masih boleh dijalankan tetapi cari lokasi baru yang lebih jauh," katanya yang mencadangkan supaya idea asal untuk membina hotel digantikan dengan penyediaan rumah kampung yang lebih diminati pelancong asing.
Jika gelaran ini dilucutkan pada masa akan datang akibat sikap manusia yang alpa dan mata duitan, maka keadaan akan menjadi lebih buruk kerana proses permohonan terpaksa diulang semula.
Prof. Madya A. Ghafar Ahmad, pensyarah pusat perancangan bandar dan perumahan Universiti Sains Malaysia (USM), juga berharap agar rancangan untuk membina hotel setinggi 20 tingkat di zon warisan Georgetown dibatalkan.
"Kalau nak bina bangunan hotel lima tingkat pun, kena fikir panjang. Inikan 20 tingkat yang boleh menjejaskan kedudukan dan status zon warisan tersebut. Apa salahnya mengubahsuai bangunan-bangunan lama yang usang dan terbiar, ditukar menjadi hotel butik. Lagi cantik dan tidak menggugat nilai sejarah," katanya.
Beliau juga menambah, menara tinjau yang didirikan di salah satu tapak warisan dunia di Jerman telah diberi amaran keras oleh UNESCO meskipun ia terletak tiga kilometer dari zon yang diwartakan.
Selain Pulau Pinang dan Melaka, Malaysia mempunyai dua lagi tapak warisan iaitu Taman Negara Mulu, Sarawak dan Taman Negara Kinabalu, Sabah yang diiktiraf pada tahun 1988.
* sumber dari www.kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment