HARGA petrol dan diesel turun lagi sebanyak 15 sen seliter hari ini. Walaupun begitu, harga kebanyakan barang keperluan masih tidak berubah. Kalau ada pun setakat harga barang-barang kawalan yang diturunkan sedikit dari harga gila yang melambung naik ekoran kenaikan harga minyak jun lalu..
Kredit perlu diberikan kepada kerajaan Malaysia atas tindakan popular iaitu menurunkan harga petrol dan diesel untuk penjualan domestik.
Umum mengetahui bahawa harga petrol di pasaran dunia kini berlegar di bawah paras AS$60 (RM213.00) setong.
Justeru, tindakan kerajaan menurunkan harga petrol dan diesel ini adalah selaras dengan penurunan harga yang berlaku di pasaran antarabangsa.
Hari ini, harga petrol yang baru terdiri daripada RON97 dan RON92 masing-masing pada paras RM2.00 dan RM1.90 seliter, dan diesel RM1.90 seliter bermula 12 tengah malam semalam.
Untuk itu, seluruh warga Malaysia yang sememangnya terikat dengan bahan api ini yang menjadi satu keperluan wajib dalam menjalani kehidupan seharian berasa sedikit lega.
Menjadi suatu kebiasaan, apabila berbicara mengenai harga petrol, maka kita tidak akan terlepas untuk turut sama berbicara berkenaan harga barangan keperluan, yang biasanya tertumpu kepada barangan keperluan makanan.
Asasnya mudah. Ini adalah kerana petrol merupakan salah satu daripada input kepada kos pengangkutan yang termasuk dalam kos operasi penghasilan barangan keperluan. Hipotesisnya ialah seandainya harga petrol dan diesel menurun, maka kos pengangkutan dan kos operasi akan turut turun, yang membawa kepada turunnya harga barangan dan begitu juga sebaliknya.
Malangnya, realiti yang berlaku tidak sebegitu. Hakikatnya, harga barangan keperluan di negara kita sekarang tetap juga tidak turun walaupun harga petrol dan diesel telah turun. Indeks harga pengguna (IHP) adalah tinggi. Situasi ini membawa kepada persoalan dan kadangkala titik pencetus kepada pertikaian pelbagai pihak.
Barangan keperluan makanan seperti beras lima peratus hancur (RM2.60/kg), gula kasar (RM1.45/kg) dan tepung gandum (RM1.35/kg) - sumber KPDNHEP, 7/11/2008, adalah termasuk dalam barangan kawalan.
Tinjauan saya ke beberapa buah kedai runcit juga mendapati harga barangan seperti Milo pek 1.5kg berharga RM22.95, sardin saiz besar jenama King Cup berharga RM4.40, yang mana pada perkiraan saya, adalah tinggi.
Selain itu, di pasar basah, barangan seperti santan (RM7/kg) dan bawang putih (RM3.50/kg) juga tinggi. Sekadar mengambil beberapa contoh di atas, inilah yang menjadi bebanan kepada golongan bawahan, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.
Fokus perlu diberi kepada pihak yang terlibat dalam keseluruhan situasi ini di mana ia melibatkan kerajaan (penguatkuasa), peruncit, pemborong, pengilang dan pengguna. Mereka inilah pemain dalam lapangan ini. Tetapi pemain yang mendapat kesan paling ketara atau mangsa sudah tentunya pengguna.
Menelusuri situasi ini secara mendalam, kita akan berjumpa dengan peranan yang dimainkan oleh pihak-pihak di atas yang menyumbang kepada senario ini.
Kebiasaannya, pemborong dan peruncit akan menetapkan margin keuntungan masing-masing berdasarkan harga kilang yang mereka rasakan berpatutan. Seandainya harga kilang awal-awal lagi sudah tinggi, bayangkanlah 'harga akhir' yang pengguna perlu bayar.
Pengguna juga perlu ingat, pengilang bukan sesuka hati menetapkan harga, mereka membuat keputusan setelah menjalankan analisis dan pengiraan terperinci segala kos yang terlibat dalam penghasilan produk dan barangan.
Pada saat ini, pengguna pula menaruh harapan terhadap kerajaan untuk mengeluarkan arahan supaya harga barangan diturunkan walhal kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan kerana peniaga menaikkan harga barangan yang bukan di bawah kawalan.
Kembali kepada pokok persoalan, harga petrol dan diesel sudah turun tetapi harga barangan masih tidak berubah. Jadi, kita perlu menilai semula asas ekonomi dalam soal harga barangan keperluan ini.
Persoalan, adakah harga petrol dan diesel semata-mata yang menyebabkan harga barangan tinggi dan tidak berubah? Faktor-faktor lain seperti kos bahan mentah, kos buruh dan kos sampingan yang terlibat dalam kerja produksi juga menjadi penentu.
Maka adakah wajar untuk kita menjatuhkan hukum bahawa seandainya kos petrol dan diesel rendah, maka harga produk barangan juga mesti dan wajib murah waima kos-kos lain masih lagi tinggi? Kurang adil sekiranya justifikasi ini yang disandarkan.
Faktor permintaan daripada pengguna juga adalah penentu. Hukum ekonomi menyatakan permintaan yang tinggi terhadap sesuatu produk juga menyumbang kepada kenaikan harga. Tambahan dalam situasi penawaran yang terhad dan sifat monopoli dalam perniagaan. Peniaga mana yang tidak berkehendakkan untung?
Walaupun bunyinya seakan cuba mengambil kesempatan ke atas pengguna, namun itulah realiti.
Justeru, formula berkesan perlu dicari untuk menyelesaikan kemelut yang menjadi bebanan masyarakat ini. Tindakan harus bersifat 'umpama menarik rambut dalam tepung' demi untuk tidak melukakan hati dan menyusahkan mana-mana pihak.
-am-
No comments:
Post a Comment