PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Wednesday, November 5, 2008

Darihal solat umat Islam dan solat Yahudi

Dalam solat seharian, kita diwajibkan membaca al-Fatihah pada setiap rakaat. Malah, menurut jumhur ulama' melalui sesetengah hadith, mereka memfatwakan bahawa tidak sah solat itu jika tidak disertai oleh al-Fatihah.

Bahawa, dalam surah al-Fatihah itu sendiri terkandung suatu doa yang sangat agung. Iaitu "Tunjukilah kami ke jalan yang lurus." (al-Fatihah:6)

Maka sebab itulah sebelum Rasulullah SAW wafat, diriwayatkan tidak lekang bibirnya itu daripada menyebut 'umatku' dan 'as-Solat'. Menurut hemat saya, solat itulah yang terawal diperintah ke atas Nabi Musa AS ketika baginda bertemu dengan Tuhan di puncak sebuah bukit tatkala mahu mengambil percikan api di atas bukit tersebut.

"Dan, dirikanlah solat untuk mengingatiKu!" demikianlah firman Tuhan kepada Musa AS tatkala baginda berdiri di atas Bukit Turthina.

Oleh kerana Musa AS menerima perintah solat di tempat yang tinggi seperti bukit maka pada masa Nabi Muhammad SAW pula, Allah SWT mengangkatnya ke tempat tertinggi tatkala menerima perintah solat, iaitu Baginda SAW menerimanya di langit tertinggi dalam kes Isra' Mikraj.

Tidak cukup dengan itu, Allah SWT mempertemukan semula Nabi Musa AS dengan Nabi kita untuk berunding mengenai satu perkara berhubung solat ke atas umat Muhammad SAW.

"Mintalah dari Allah SWT, pengurangan solat itu wahai saudaraku Muhammad SAW. Sesungguhnya umatku sendiri terbeban dengan sebab solat," demikian wasiat Musa AS terhadap saudaranya yang tercinta, Muhammad SAW.

Sebagai seorang yang selalu kasih akan umatnya, Baginda SAW akur dengan pesan saudaranya di alam roh itu. Lalu Baginda SAW naik semula dan turun semula bertemu Musa AS untuk beritahu akan jumlah pengurangan itu. Musa AS berkeras dengan katanya:

"Minta dikurangi lagi.. masih besar bebanan solat itu," demikian Musa AS mendesak.

Turun naik Rasulullah SAW itu akhirnya menjadikan bilangan solat yang diwajibkan tadi cuma tinggal lima waktu, seperti yang ada pada zaman kita ini. Allah SWT mengurangkan nilai rakaat dan waktu.

"Cukup-cukuplah wahai saudaraku Musa AS. Aku khuatir.. setiap kali naik, Allah SWT kurangkan kepada 5. Jadi, sekarang tinggal 5. Kalau naik kali ini, jangan-jangan sudah tiada apa-apa yang tinggal untuk umatku," demikian hujah Baginda. Musa AS pun akur.

Maka, solat ke atas umat Nabi Muhammad SAW ini sangat istimewa sifatnya. Ini kerana, baginda Rasulullah SAW dijemput naik ke langit untuk menerima perintah solat. Hal ini tidak seperti rasul-rasul yang terdahulu.

Solat umat Muhammad S.A.W, dibahas Musa A.S

Kedua, tidak seperti nabi-nabi lain, wasiat terakhir sebelum Baginda SAW wafat ialah umatku dan solat. Kisah pesanan terakhir ini tidaklah termasyhur dalam kalangan rasul terdahulu. Cuma ia termasyhur dalam kisah perjuangan dakwah Rasulullah SAW sahaja.

Ketiganya, solat ke atas umat Baginda SAW ini telah dikupas, dibahas serta didebatkan seorang nabi dan rasul yang sangat terkenal kisah perjuangannya di dalam al-Qur'an. Kepada Nabi Musa AS, kita patut berterima kasih, kerana dengan sebab pesannya, maka kita mendapatkan keringanan yang sangat besar. Tidak terbeban rasanya menjalani kehidupan ini.

Solat ke atas umat-umat terdahulu, tiada 'campurtangan' oleh nabi-nabi sebelumnya. Dan, saat mendapat perintah solat itu, Rasulullah SAW menerima penghormatan menjadi imam solat di mana makmum Baginda SAW adalah sekalian nabi yang terdahulu daripadanya.

Semua ini menyebabkan solat umat Nabi Muhammad SAW terpandang sebagai istimewa. Dan, kerana wujudnya 'campurtangan' Musa AS ke atas tatacara solat terhadap umat Rasulullah SAW inilah, maka kita patut berasa berbangga kerana Nabi Musa AS mengiktiraf, menyetujui tatacara solat umat Nabi Muhammad SAW ini.

Sekali gus, kisah Isra' Mikraj ini adalah suatu tamparan hebat ke atas dakwaan Yahudi ini bahawa solat umat Islam meniru-niru solat umat Yahudi. Malah kaum Yahudi perlu sedar bahawa junjungan mereka sendiri, Nabi Musa AS telah mengiktiraf solat umat Muhammad SAW di dalam peristiwa bersejarah itu. Jadi, kenapa tidak diikutkan saja tatacara solat kita?

Bani Israel diminta bersolat bersama umat Islam

"Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama mereka yang rukuk." (al-Baqarah: 43)

Ada riwayat menyebut bahawa dalam solat umat Yahudi tiada rukun yang bernama rukuk dan sebab itulah di dalam ayat di atas, Allah SWT memerintahkan Bani Israel untuk terus bersama-sama umat Muhammad SAW, meneruskan solat sebagaimana solat yang telah diiktiraf oleh junjungan besar mereka, Nabi Musa AS sendiri, iaitu solat yang ada rukuk.

Maka, Tuhan berpesan kepada Bani Israel, rukuklah bersama orang yang rukuk. Sebab, di dalam solat Bani Israel, tiada rukun yang bernama rukuk. Wallahu'alam..

Dalam sebuah paparan klip video yang tersebar luas di internet YouTube ada ditunjukkan mengenai betapa solat umat Islam itu sendiri telah meniru-niru tatacara solat Yahudi. Hal ini sepatutnya didebat bersama jika mereka benar-benar jujur menerima kebenaran.

Lihatlah juga pendapat Buya Hamka melalui tafsirnya yang terkenal, iaitu Tafsir al-Azhar berhubung surah al-Baqarah, ayat 43 tersebut.

Kemudian mengapa disuruh lagi rukuk bersama dengan orang yang rukuk? Tidakkah cukup dengan perintah sembahyang saja? Apakah ini bukan kata berulang?

Bukan! Ada juga orang yang berfaham bahawa asal aku sudah sembahayang sendiri di rumahku, tidak perlu lagi aku bercampur dengan orang lain. Itulah yang salah! Sembahyang sendiri pun belum sempurna, tetapi rukuklah bersama-sama dengan orang yang rukuk, bawalah diri ke tengah masyarakat. Pergilah berjemaah!

Maksud kedua, arti rukuk ialah khusyuk. Jangan hanya sembahyang asal sembahyang, sembahyang mencukupi kebiasaan sehari-hari saja, tidak dijiwai oleh rasa khusyuk dan ketundukan.

Inilah yang diserukan kepada Bani Israel itu yakni agar mereka teruskan saja agama yang diajarkan Musa kepada lanjutannya, iaitu yang diteruskan oleh Muhammad SAW agar mereka menjadi Muslim, menyerah diri kepada Tuhan, dan hiduplah sebagai Muslim yang sejati.

Sekian catatan, nukilan dan pandangan Buya Hamka. Umat Muhammad SAW sepatutnya berbangga dan bersyukur kepada Allah SWT kerana memberi keringanan dalam solat itu. Juga, patut berterima kasih atas kasih sayang Rasulullah SAW yang berusaha keras demi mendapatkan keringanan solat itu kepada kita.

Tidak dilupa juga, kita perlu melebarkan dakwah kepada umat Yahudi, mengajak mereka bersolat dan rukuk bersama kita kerana memang itulah perintah Allah SWT ke atas mereka dan sebagai lafaz tanda terima kasih kita ke atas Nabi Musa AS yang telah membantu baginda Rasulullah SAW dalam urusan memberi idea untuk meringankan beban solat kita ini. Wallahualam..

-am-

No comments: