PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Friday, November 28, 2008

Manfaatkan sambutan Hari Kanak-Kanak

HARI kanak-kanak sedunia telah disambut sejak 14 Disember 1954, namun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Unesco menetapkan tarikh 20 November setiap tahun sebagai 'Hari Kanak-kanak Sedunia'.

Tujuannya bagi memuliakan kanak-kanak yang dianggap aset penting, bukan sahaja terhadap kedua-dua ibu bapa mereka, malah yang lebih penting ialah aset kepada negara dan masyarakat amnya.

Mungkin pengisytiharan oleh PBB itu ada kebenarannya, dan ia juga dilihat sebagai pengiktirafan kepada kanak-kanak bahawa mereka adalah sebahagian daripada komponen masyarakat yang perlu diberi perhatian sewajarnya oleh pihak berkuasa di semua negara dunia.

Ketempangan dalam memerhatikan secara serius keperluan yang mesti diutamakan kepada mereka seperti persoalan pendidikan, pembelaan dianggap telah mendera fizikal, moral dan dalaman hati mereka yang mengundang pelbagai masalah yang tidak terduga oleh akal fikiran manusia yang serba kekurangan itu.

Justeru, Islam sebagai agama yang amat menitik-beratkan persoalan pendidikan terhadap kanak-kanak, telah menggariskan beberapa panduan bagi memastikan agar kanak-kanak berada pada tahap pendidikan maksimum.

Antara lain Islam menitik-berat dalam memilih pasangan suami isteri, Allah SWT telah menetapkan kaedah berkenaan menerusi firman-Nya dalam ayat 26 surah an-Nur yang bermaksud :

"(lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik."

Kenapa ketetapan Allah SWT begitu? Ini kerana Allah SWT mahu melihat kelahiran hamba-hamba-Nya yang berkualiti dari sudut kefahaman, pegangan, penghayatan dengan Islam menjadi agenda utama dalam kehidupan makhluk-Nya bernama manusia, apatah lagi yang beragama Islam.

Tidak cukup dengan kaedah memilih pasangan yang baik-baik, malah disusuli pula dengan pembaca al-Quran terhadap golongan isteri yang sedang mengandung dengan pemilihan surah-surah tertentu seperti surah Muhammad, Yusuf, Ibrahim, Hud, Yunus, Nuh, al-Anbiya', Maryam dan surah an-Nisaa' yang mempersoalkan isu-isu wanita.

Bagi meneruskan kesinambungan amalan baik terhadap anak yang baru lahir pula, Islam datang dengan mengemukakan pendidikan menerusi seruan azan dan iqamah selepas anak dilahirkan.

Mereka diberi nama yang baik-baik, dibelah mulutnya (tahnik), serta dibuatkan akikah, kesemua amalan dan tindakan itu adalah untuk memastikan si anak itu benar-benar menjadi aset berguna pada masa akan datang untuk agama, masyarakat dan negaranya.

Para ibu bapa adalah bertanggungjawab terhadap kanak-kanak dalam memelihara perkara-perkara yang telah disebutkan di atas. Justeru mereka bertanggungjawab untuk mencorakkan anak-anak mereka dengan acuan agama Islam yang jelas, sempurna seperti yang diajarkan baginda Rasulullah kepada mereka.

Sehubungan itu, apabila mereka salah memberi pendekatan agama terhadap anak-anak dengan yang lain daripada apa yang ditunjukkan Islam, maka mereka dianggap telah melakukan jenayah yang sepatutnya berhak menerima hukuman setimpal terhadap kesalahan yang dilakukan, tetapi apakah para ibu bapa menyedari hakikat tersebut?

Anak-anak yang baru dilahirkan menurut keterangan Baginda Rasulullah SAW bagaikan kain putih yang suci lagi bersih. Jika para ibu bapa salah mencorakkannya, maka rosak binasalah dia, jika ibu bapa mencorakkan anak-anak mereka dengan kebendaan, anak-anak akan membesar menjadi golongan yang mementingkan kebendaan.

Hari kanak-kanak dicemari maksiat

Sambutan Hari Kanak-Kanak adalah baik, tetapi guru dan ibu bapa usah mencemarinya dengan majlis yang ada acara berunsur maksiat.

Sebagai contoh terdapat beberapa sekolah rendah di Rawang khususnya, seperti yang dilaporkan oleh ibu bapa yang prihatin dan peka terhadap anak-anak mereka, telah mengadakan sambutan 'Hari kanak-kanak Sedunia' yang sepatutnya berlangsung pada 20 November, tetapi ia dianjal ke depan pada Jumaat 31 Oktober kerana tarikh 20 November jatuh pada cuti umum persekolahan dan tidak mungkin ia disambut.

Maka bagi menyatakan penghormatan kepada kanak-kanak, pihak sekolah mengadakan lebih awal pada tarikh yang sepatutnya, maka apabila pihak atasan sekolah dan mungkin juga segelintir barisan guru-guru dan satu dua orang di kalangan pimpinan PIBG yang minda mereka tidak disalut dengan kefahaman Islam yang tulen, maka berlakulah pertembungan krisis budaya yang tidak Islamik.

Di mana sambutan 'Hari kanak-kanak' itu dicemari dengan tarian gelek yang menampakkan pusat di kalangan murid-murid sekolah yang kononnya masih budak-budak yang menurut tanggapan mereka masih di peringkat budak-budak kecil.

Ada di kalangan murid yang dipertanggungjawabkan untuk menyertai slot tersebut tidak berpuas hati kerana ia dilihat sebagai budaya songsang walaupun dia masih mentah, memanjangkan berita itu kepada ayahnya yang begitu sensitif dan mengambil langkah untuk memontengkan anaknya pada hari sambutan tersebut dengan membawanya ke Zoo Negara, kerana menurut ayah berkenaan, tengok beruk di zoo lebih baik daripada menonton acara maksiat yang dianjurkan oleh pihak sekolah.

Ia memperlihatkan ada dua tindakan berbeza yang bertembung antara tindakan ayah yang sensitif dan tindakan pihak atasan, barisan guru dan PIBG yang bercanggah antara satu sama lain.

Kalau dilihat secara rasional bahawa tindakan si ayah tadi adalah lebih baik mungkin dia kesuntukan masa untuk melakukan perubahan, tindakannya membawa anak dan beberapa kawannya yang lain boleh dianggap untuk menyelamatkan keadaan apabila melihat pihak sekolah begitu rapuh dan cair dengan acara yang akan menyumbang ke arah keruntuhan moral anak-anak.

Apabila dirujuk kepada aspek agama yang disentuh di awal tadi, sesungguhnya proses pentarbiyahan terhadap kanak-kanak tidak boleh dianggap mudah oleh semua pihak, termasuk ibu bapa, pengetua, guru besar, barisan guru-guru, AJK PIBG.

Ini kerana Baginda Nabi Muhammad SAW yang merupakan manusia sempurna telah menyediakan kaedah, acuan, pendekatan yang sehabis baik bagi menjamin manusia meraih rahmat Allah SWT.

-am-

No comments: