PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Thursday, August 28, 2008

Debaran 16 September semakin kencang

Biar pun dihujani dengan laporan media yang paling herot dalam sejarah pilihan raya kecil, namun keputusan yang diumum malam tadi membuktikan rakyat tidak sabar lagi menunggu peralihan kuasa kuasa di peringkat persekutuan.

Rakyat seperti tidak menghiraukan momokan pemimpin Barisan Nasional (BN) yang enggan mengakui peralihan kuasa semakin deras berlaku sekarang.

Maka tanggal 16 September ini ditunggu dengan penuh debar. Dato' Seri Anwar Ibrahim mulai esok akan menduduki kerusi pertamanya sebagai Ketua Pembangkang, kemudian beransur mengesot ke Putrajaya.

Bukan lagi sekadar peralihan pimpinan Dato' Seri Najib Razak menggantikan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang semakin lelah untuk terus berpolitik.

Ramai berhujah mengapa Najib menanggung malu teramat sangat dengan kekalahan teruk BN di Permatang Pauh, sedangkan Perdana Menteri dilahirkan tidak jauh dari situ.

Sebaliknya Abdullah terus menyepi biar pun dari awal lagi seperti sudah menduga Umno dan BN semakin diheret ke penghujung usia.

Pengerusi KeADILan Kelantan, Aziz Abdul Kadir berkata, biar pun BN dibantu dengan jentera kerajaan, wang ringgit dan media massa, namun rakyat tidak lagi menghiraukan kehadiran mereka.

"Rakyat perlukan sebuah kerajaan yang benar-benar dekat dengan jiwa mereka dan sudah sampai masanya menggantikan kerajaan yang begitu banyak penyakit sekarang.

"Permulaan hijrah ke arah itu sudah dimulakan rakyat di Permatang Pauh. Keberanian rakyat Kelantan yang merubah arus politik sudah benar-benar menjangkiti rakyat di seluruh negara," katanya di sini.

Malam tadi diumumkan jumlah majoriti yang diraih Anwar pada pilihan raya kecil Permatang Pauh mengatasi bilangan undi dipunggut calon BN, Dato' Arif Shah Omar Shah yang medapat 15,524 undi.

Perbezaan undi diraih antara Pakatan Rakyat dan BN sebanyak 15,671 undi, suatu angka yang terlalu besar bagi sebuah pilihan raya kecil.

Pada pilihan raya tersebut yang kononnya disifatkan media nasional sebagai paling ganas, Anwar mendapat 31,195 undi.

Manakala calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), Hanafi Hamat hanya memperolehi 92 undi sahaja dan hilang wang pertaruhan.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim berkata, kemenangan calon Pakatan Rakyat membuktikan rakyat Malaysia matang dalam membuat pilihan.

"Mereka mahukan perubahan segera dilakukan terhadap pimpinan negara. Rakyat sudah muak dengan janji-janji kosong yang sengaja diumpan kepada mereka setiap kali pilihan raya diadakan.

"Rakyat mahukan kepada perubahan pimpinan yang cakna kepada kebajikan mereka dan tidak menindas dengan polisi dan dasar yang sengaja dicipta," katanya.

Beliau yang juga Bendahari Dewan Pemuda PAS Pusat berkata, rakyat mulai berani menghukum kerajaan BN selepas mereka berdendam dengan kenaikan kos hidup disebabkan salah urus pentadbiran negara.

Menurut Adun Tanjung Mas, Rohani Ibrahim, kemenangan di Permatang Pauh membuktikan Pakatan Rakyat begitu kukuh dan berpadu dalam meneruskan perjuangan membina kerangka baru politik di Malaysia.

Kata beliau rakyat terus memberi kepercayaan tanpa berbelah bagi kepada Pakatan Rakyat ke arah mewujudkan Malaysia Baru yang lebih serasi dengan kehidupan mereka.

"Rakyat di Permatang Pauh juga tidak mudah terpedaya dengan fitnah yang dilemparkan pemimpin Umno kepada Ketua Umum KeADIlan. Isyarat rakyat sudah jelas sekarang.

"Mereka kini tidak takut lagi menggunakan ruang demokrasi bagi melumpuhkan kepemimpinan BN," katanya.

* sumber dari harakahdaily.net

No comments: