PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Tuesday, August 12, 2008

Kes umat Islam, hanya Mahkamah Syariah beri keadilan - Presiden

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Hrkh) - Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS mahukan isu liwat yang dikait dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim dibawa ke mahkamah syariah dan bukannya dibicarakan di mahkamah sivil.

Beliau berkata, kes liwat yang membabitkan orang Islam adalah perkara jenayah di dalam perundangan Islam sama seperti kes zina dan lain-lain maka ianya perlu dibawa ke mahkamah syariah.

"Negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat seperti Selangor perlu menggubal perundangan tersebut kerana melalui mahkamah syariah sahaja keadilan dapat diperolehi," katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen PAS Pulau Pinang di Dewan SEAMO, RECSAM semalam.

PAS juga, tambah Dato' Seri Abdul Hadi, menolak sebarang bentuk campur tangan kuasa luar dalam penyelesiaan pertuduhan kes liwat terhadap Anwar.

"Kalau Amerika nak campur tangan, biar mereka selesaikan di Gautonama dulu" katanya.

Menurutnya lagi, pertuduhan liwat yang dikenakan terhadap Dato' Seri Anwar adalah satu kezaliman.

Ini kerana, ianya dilihat sebagai taktik Umno untuk memusnahkan masa depan politik mantan Timbalan Perdana Menteri itu.

"Kita perlu bersimpati kepada mereka yang dizalimi walaupun kepada mereka bukan dari ahli parti kita," katanya.

Tambahnya lagi, menurut Islam seseorang itu tidak bersalah selagi dia belum didapati atau berjaya dibuktikan bersalah.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Dr Mujahid Yusuf Rawa; Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Salleh Man; Penyelaras Pilihan raya PAS Pusat di Permatang Pauh, Wan Rahim Wan Abdullah dan beberapa pemimpin PAS lain.

* sumber dari harakahdaily.net

No comments: