PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Thursday, August 14, 2008

MB Selangor Ulas Isu Kuota Kemasukan Pelajar UiTM

SUBANG JAYA, 12 Ogos - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan pendapat yang dinyatakannya berhubung pengambilan pelajar bukan bumiputera dan pelajar asing ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) tidak bertujuan menghina masyarakat pengajian tinggi.

Beliau berkata ia hanyalah satu cadangan dan beliau memang tiada hak untuk menentukan yang UiTM perlu membuka 10 peratus kuota kemasukan kepada golongan pelajar berkenaan.

“Saya memang tak ada hak…tapi saya hendak mencadangkan, itu saja. UiTM sudah ada pelajar-pelajar bukan Melayu tapi dari luar negeri.

“Kita tidak boleh (minta) dia menerima pelajar dalam negeri atau luar negeri. Apa yang kita katakan ialah supaya UiTM meningkatkan lagi percampuran pelajar,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Sesi Dialog Bajet di Holiday Villa dekat sini petang tadi.

Abdul Khalid berkata kenyataan yang dibuat beliau dua hari lepas adalah kenyataan ikhlas dari orang yang berminat untuk melihat pembangunan masyarakat Melayu, bumiputera dan masyarakat keseluruhan berjaya dalam bidang yang diceburi.

“Kalau cadangan atau saranan saya tidak diterima, saya rasa tidak apa. Ini bukan merosakkan saya tapi serupa juga pada masa-masa tertentu adalah lebih baik kita menerimanya kerana kita ingin bersikap global,” katanya.

Beliau mencadangkan satu perjumpaan antara beliau dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dengan pelajar UiTM diadakan.

Beliau berharap melalui perjumpaan itu, pihaknya dapat berbincang bagaimana meningkatkan lagi keupayaan pengajian tinggi selain mendengar sendiri pendapat pelajar berhubung perkara itu.

Pertemuan itu katanya mungkin boleh diadakan selepas pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos ini.

Abdul Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas perhimpunan secara aman kira-kira 500 pelajar UiTM di hadapan bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam pagi tadi.

Dalam perhimpunan itu kumpulan pelajar berkenaan menyerahkan memorandum bantahan berhubung cadangan yang dibuat Dato’ Menteri Besar itu, yang disampaikan wakil pelajar, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM, Luqmannulhakim Mohamad Idris.

Memorandum itu diserahkan kepada pegawai Pejabat Menteri Besar, Hasril Abu Hassan.

Perhimpunan yang bermula di Padang Kawad, UiTM seawal jam 7 pagi itu kemudiannya mengambil tempat di Dataran Shah Alam sebelum berarak ke Pejabat SUK.

* sumber dari suarakeadilan.com

No comments: